Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ perkenal program mentor baharu, sasar libatkan 1,000 belia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian M³ akan memperkenalkan sebuah program mentor baharu dengan konsep yang unik.

Program yang dinamakan "Cool Yah Conversations" itu akan menggunakan pendekatan pementoran kilat yang melibatkan jangka masa lebih pendek.

Semasa berkongsi inisiatif baharu itu di Parlimen pada Rabu (6 Mac), Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang), Rahayu Mahzam berkata ia akan diperkenalkan ke bandar-bandar M³ serta masjid dan institut pengajian tinggi.

"Pementoran kilat mengambil masa lebih pendek dan menggabungkan kegiatan-kegiatan berdasarkan minat seperti sukan dan permainan dengan interaksi pementoran yang ada impak. Kami berharap ia akan disenangi golongan belia untuk turut terlibat sama," jelas Cik Rahayu.

Beliau berkata M³ menyasarkan untuk menjangkaui 1,000 belia dalam masa setahun menerusi program tersebut.

Ini tidak termasuk golongan belia yang didampingi menerusi program-program pementoran sedia ada di bawah Pejabat Pementoran Belia.

"Para pelajar pengajian tinggi boleh menyertai program #amPowered sebagai mentor kepada murid-murid Program Tuisyen MENDAKI, ataupun program “Cool Yah” di M³@Bandar," kata Cik Rahayu.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Sharael Taha tentang usaha mempersiapkan golongan belia dalam memahami perubahan landskap pekerjaan, Cik Rahayu menjelaskan bahawa terdapat usaha seperti program-program Future Ready oleh MENDAKI untuk sediakan landasan untuk golongan belia teroka peluang pekerjaan dalam sektor-sektor berkembang.

Beliau berharap mentor-mentor belia akan terus memberi inspirasi kepada rakan sebaya untuk menyokong mereka kecapi aspirasi masing-masing.
(Dari kiri ke kanan) Sesi perbincangan panel tersebut menampilkan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat selaku moderator bersama dengan Cik Anis Abdul Karim, pengurus projek dari Institut Kemampanan Bahan Kimia, Tenaga dan Alam Sekitar A*STAR, dan Cik Nafisah Mohd Rafiq,jurutera penyelidikan dari Institut Penyelidikan Bahan dan Kejuruteraan A*STAR. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
GANDAKAN USAHA PERKASA MASYARAKAT JAGA KESIHATAN

Menjawab Anggota Parlimen Dr Wan Rizal Wan Zakariah tentang usaha mendorong masyarakat menjaga kesihatan, Cik Rahayu memberikan perkembangan usaha yang diterajui beliau iaitu Saham Kesihatan dan Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU).

"Tahun lalu, lebih 500 peserta menyertai program-program Saham Kesihatan. Mereka memberi maklum balas bahawa mereka seronok dapat turut serta kumpulan masyarakat yang memupuk semangat saling menyokong satu sama lain agar menjalani gaya hidup sihat," jelas Cik Rahayu.

Beliau juga mendedahkan rancangan untuk menggandakan jumlah itu kepada 1,000 peserta tahun ini.

Bagi tujuan itu, Cik Rahayu mengajak lebih ramai individu memanfaatkan Saham Kesihatan supaya program-program kesihatan dapat mendekati lebih ramai masyarakat Melayu/Islam.
 
Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli bersama Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam di Festival Keluarga Saham Kesihatan M³. (Gambar-gambar: HPB)
Jelasnya, "Menerusi Saham Kesihatan, mereka boleh menerima sokongan daripada agensi M³ seperti PA MESRA dan Lembaga Penggalak Kesihatan, atau HPB, untuk melaksanakan program-program kesihatan, termasuk untuk kesejahteraan mental"

Bagi JKJU pula, lebih 40,000 penduduk meraih manfaat program-program di bawah usaha itu pada tahun lalu.

Jumlah itu dijangka akan naik tahun ini dengan lebih banyak program JKJU boleh dijangkakan sepanjang tahun.

"Menerusi JKJU dan Saham Kesihatan, masyarakat Melayu/Islam juga menyumbang kepada kempen negara, SG Yang Lebih Sihat yang bertujuan membantu rakyat Singapura menjaga kesihatan. Saya berharap kita terus mendakap amanah menjaga kesihatan sedang kita sama-sama membina masa hadapan yang lebih bermakna," kata Cik Rahayu.

LEBIH BANYAK SUKARELAWAN DIPERLUKAN

Dalam melakar pelbagai rancangan bagi masyarakat seperti JKJU dan pementoran belia, Cik Rahayu berkata lebih ramai sukarelawan digalak untuk tampil membantu jayakan inisiatif M³.
 
Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITA Mediacorp
"Kita terus berusaha memastikan para sukarelawan dilengkapi kemahiran dan ilmu mendekati masyarakat secara berkesan. Tahun lalu, kita telah mempertingkatkan Rangka Kerja Pembangunan Keupayaan Sukarelawan menerusi Siri Seminar M³," jelas Cik Rahayu.

Beliau juga mengumumkan satu rancangan kerjasama dengan Institut Kepimpinan Masyarakat Kebangsaan untuk menganjurkan bengkel bagi sukarelawan.

"Melalui bengkel sebegini, mereka boleh mempelajari cara-cara mendampingi penduduk dengan lebih bermakna ketika melakukan lawatan rumah ke rumah. Para sukarelawan juga dapat meningkatkan pemahaman tentang khidmat di peringkat nasional, lantas, membolehkan mereka menyokong penduduk untuk membina keluarga teguh dan berdaya bingkas," kata Cik Rahayu.

"Mulai tahun ini, rakan-rakan korporat juga diundang bekerjasama dengan M³ untuk memupuk budaya menyumbang di pertubuhan anda di mana para pekerja yang berminat boleh berkhidmat sebagai sukarelawan di M³@Bandar semasa waktu bekerja," tambah beliau.

Beliau juga berkata M³ akan menjalankan sesi-sesi pengambilan sukarelawan sepanjang tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan