M³ mahu tingkatkan lagi daya kerja masyarakat Melayu/Islam, lebih ramai pemimpin kesatuan sekerja dilibatkan
SINGAPURA: Lebih ramai pemimpin kesatuan sekerja akan terlibat dalam usaha mendekati lebih ramai isi rumah Melayu/Islam tahun hadapan.
Rancangan itu didedahkan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman sewaktu berkongsi perkembangan mengenai bidang tumpuan M³ yang diterajuinya iaitu pekerjaan dan daya kerja masyarakat.
Buat masa ini, Encik Fahmi yang juga merupakan Pengarah Sekretariat Operasi dan Divisyen Mobilisasi NTUC berkongsi bahawa hampir 10 pemimpin kesatuan sekerja sudah mendampingi 80 keluarga Melayu/Islam di bandar-bandar M³.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada Bidang Tumpuan 4 (FA4) iaitu Daya Kerja dan Pekerjaan.
Menurut Encik Fahmi, terdapat cabaran dari segi pekerjaan pada masa hadapan lebih-lebih lagi dengan landskap pekerjaan yang berubah dari masa ke masa.
Lantaran itu, adalah penting untuk berfikir dalam jangka masa panjang bagi membantu pekerja Melayu/Islam Singapura.
Untuk pekerja platform misalnya, rangka kerja itu menggalak mereka meraih manfaat daripada beberapa inisiatif negara untuk meningkatkan kemahiran dan merebut peluang dalam industri-industri yang berkembang maju.
LEBIH 4,500 PEKERJA MELAYU/ISLAM SUDAH DIDAMPINGI BAGI PROGRAM DAYA KERJA & LATIHAN
Buat masa ini, seramai 4,500 pekerja Melayu/Islam sudah pun didampingi bagi program daya kerja dan latihan dengan 20 peratus sudah menerima bimbingan kerjaya dan latihan selanjutnya.
"Banyak yang kita boleh membantu antara setiap bidang tumpuan (FA) kerana mereka memerlukan pekerjaan yang lebih tetap. Daripada pemilik perniagaan dan syarikat, mereka juga memerlukan pekerja. Jadi dari situ, kita boleh buat pemadanan kerja," kongsi Encik Fahmi.
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa masyarakat juga perlu peka tentang peluang-peluang pekerjaan yang tersedia dalam sektor-sektor yang berkembang maju.
"Kalau kita lihat, banyak bantuan tetapi mereka tidak tahu bahawasanya banyak kerja di luar yang memerlukan orang. Jadi di sini, kita dapat menggabungkan pekerja gig dengan pekerjaan tetap. Dengan adanya pekerjaan tetap, mereka akan dapat Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan dapat keluar daripada rumah sewa. Jadi kalau kita lihat, ini adalah satu gabungan yang penting untuk memberi mereka kesedaran bahawa pekerjaan yang memberi gaji tetap, dan kesihatan agar mereka dapat bekerja, akan memberikan satu ruang untuk mereka keluar dari rumah sewa," ujar Encik Fahmi.
Lantaran itu, para pemimpin kesatuan sekerja tampil ke hadapan untuk membantu golongan pekerja sedemikian.
10 PEMIMPIN KESATUAN SEKERJA SUDAH DEKATI HAMPIR 80 ISI RUMAH MELAYU/ISLAM
Sejauh ini, hampir 80 isi rumah Melayu/Islam sudah didampingi oleh kira-kira 10 pemimpin kesatuan sekerja.
"Kita memberikan pemimpin-pemimpin kesatuan untuk tampil ke hadapan, turun ke padang membantu mereka yang memerlukan untuk melihat apakah kerja-kerja yang ada, bukan sahaja sektor yang mereka ceburi, tetapi sektor yang lain juga. Jadi, kita menggunakan rangkaian seperti MENDAKI, NTUC e2i, LHUB, SMCCI, WSG, dan seterusnya. Dengan adanya rangkaian ini, banyak lagi peluang-peluang untuk membantu mereka mencari kerja," ujar Encik Fahmi.
"Pada masa hadapan, kita ingin melakukan lebih, kita ingin mendapatkan lebih ramai pemimpin kesatuan, yang berminat, untuk memberi mereka tujuan dan beri mereka menyediakan struktur kepada mereka dengan cara yang lebih tepat agar mereka dapat mendekati masyarakat Melayu/Islam dengan cara yang lebih menyeluruh," tambahnya.
Sepanjang tahun ini, pelbagai kerjasama juga sudah dilakarkan untuk sediakan bantuan buat golongan-golongan yang disasarkan.
Antaranya MoU oleh MENDAKI dengan NTUC untuk kembangkan kerjasama industri untuk berikan lebih banyak sokongan kepada pekerja Melayu/Islam.
Selain itu, MoU antara NTUC LearningHub dan DPPMS juga menggalak masyarakat Melayu/Islam, tenaga kerja dan syarikat untuk menyertai program kerja negara untuk meningkatkan kemahiran dan beralih dalam sektor-sektor berkembang maju.
Dalam kerjasama NTUC, bersama WSG dan MENDAKI pula, hampir 2,400 pencari kerja sudah didekati dari Januari hingga September tahun ini.
LEBIH 110 PESERTA PROGRAM WOMEN AT WORK DIDAMPINGI, LEBIH 50 SUDAH DAPAT PEKERJAAN
Dari Januari hingga September tahun ini, lebih 110 peserta program Women at Work dirujuk kepada e2i NTUC, dengan lebih 50 daripada mereka sudah mendapat pekerjaan.
"Ramai yang dahulu mungkin belum bekerja lagi sudah dapat keyakinan untuk balik dalam pekerjaan. Ini adalah satu inisiatif yang kita dapat terus memberi kepada masyarakat Melayu kita. Sebenarnya, jika kita melihat dari segi pekerjaan, terdapat banyak pekerjaan di sektor-sektor IT, runcit, pelancongan, CARE yang ada di situ tetapi pada mereka yang ingin menukar kepada sektor itu, mereka mesti mempunyai latihan," jelas Encik Fahmi.
"Di sinilah, FA4 akan membawa mereka menjalani latihan bersama badan-badan seperti e2i, LHUB dan seterusnya untuk memberikan mereka satu keyakinan yang mereka boleh lakukannya," tambah beliau.
Untuk golongan belia pula, hampir 660 pelajar sudah meraih manfaat daripada program "Future Of..." Series (FOS) di mana para pelajar Pengajian Tinggi itu dapat raih manfaat dan meneroka sektor-sektor berkembang maju antaranya teknologi, kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan kewangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.