Skip to main content

Singapura

M³ lancar inisiatif perkasa literasi digital, AI dalam masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu inisiatif baharu bagi melengkapkan masyarakat Melayu/Islam dengan kemahiran digital asas dan memperdalam pemahaman tentang pendigitalan dilancarkan hari ini (27 Jan).

Dipanggil Langkah Digital, inisiatif M³ yang diterajui Yayasan MENDAKI itu dilancarkan di Masjid Kampung Siglap oleh Menteri Negara, Penerangan dan Pembangunan Digital, Rahayu Mahzam, dengan tujuan mempersiap setiap anggota masyarakat agar dapat menyertai dan menyumbang dengan yakin terhadap masa depan digital negara.

"Ini adalah satu usaha yang penting kerana kita tahu AI dan pembangunan digital akan terus merubah cara kita bekerja, cara kita belajar dan sebagainya. Jadi, kita perlu ada kemahiran dan pengetahuan tentang hal ini. Kita sudah lihat di peringkat nasional, pemerintah menggalakkan kita mempelajari tentang hal ini dan kita mahu memastikan masyarakat kita tidak ketinggalan dan juga sama-sama meraih manfaat daripada usaha-usaha yang dijalankan di peringkat nasional," kongsi Cik Rahayu kepada pihak media.

"Penting untuk kita membuka mata mereka tentang inisiatif-inisiatif yang sedia ada dan juga membantu dengan mengadakan kursus-kursus yang bersesuaian di mana mereka berada. Jadi itu adalah antara usaha yang kita ingin jalinkan. Jadi, langkah digital ini adalah sesuatu usaha yang berbentuk masyarakat di mana kita memikirkan tentang keperluan masyarakat," tambahnya.

INISIATIF LANGKAH DIGITAL TERAP PERJALANAN PEMBELAJARAN BERSTRUKTUR

Related article image
Langkah Digital dilancarkan di Masjid Kampung Siglap. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Menurut MENDAKI, inisiatif itu menerapkan satu perjalanan pembelajaran yang berstruktur dan merangkumi tiga peringkat progresif:

1. Kenal (Know) - Membina kesedaran dan kefahaman untuk membantu masyarakat memahami apa itu AI, mengapa ia penting dan bagaimana mereka boleh bermula.

2. Guna (Do) - Membimbing masyarakat dalam mengaplikasikan AI dan teknologi dalam situasi harian.

3. Yakin (Confidence) - Membina keyakinan berterusan terhadap teknologi dan memupuk minda pembelajaran sepanjang hayat, supaya masyarakat terus menyesuaikan diri secara berdikari.

Related article image
Para peserta inisiatif Langkah Digital di Masjid Kampung Siglap bersama (dari kiri) CEO MENDAKI, Feroz Akber, Menteri Negara Rahayu Mahzam, Pengerusi PA MESRA, A J Suhani dan CE MUIS, Kadir Maideen. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Hampir 200 individu Melayu/Islam dari masjid-masjid dan program Women@Work (W@W) MENDAKI dijangka akan meraih manfaat daripada program-program di bawah inisiatif itu seperti bengkel AI-Ready serta kegiatan berpandu AI, menjelang akhir Januari 2026. 

LAGI 20 KURSUS LATIHAN, ACARA BERTUMPUKAN AI AKAN DIJALANKAN SEPANJANG 2026

MENDAKI juga akan bekerjasama dengan MUIS dan Persatuan Rakyat MESRA bagi melaksanakan 20 kursus latihan dan acara bertumpukan AI sepanjang 2026 di masjid-masjid dan tempat-tempat di mana masyarakat berhubung.

Related article image
Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital, Rahayu Mahzam di Masjid Kampung Siglap. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Cik Rahayu menjelaskan: "Kita akan bermula dengan badan-badan Melayu/Islam dari masjid-masjid untuk memperkasakan mereka agar mereka mempunyai kemahiran ini."

"Kita juga akan melihat demografi-demografi tertentu kerana kita juga faham bahawa anak-anak muda kita juga mempunyai pemahaman berbeza. Mereka mungkin lebih mahir tetapi mereka juga harus menguasainya. Jadi, kita juga akan berikan perhatian kepada penggunaan yang khusus, yang dapat membantu golongan-golongan yang berbeza."

40 PESERTA SERTAI BENGKEL AI DI MASJID KAMPUNG SIGLAP

Sesi bengkel AI di Masjid Kampung Siglap itu menghimpunkan sekitar 40 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan relawan masjid itu sendiri dan Masjid Al-Ansar serta para peserta program Women@Work (W@W) MENDAKI.

Antara yang meraih manfaat termasuk Cik Rosdiana Alias, yang merupakan Pengurus Kanan Masjid Kampung Siglap.

"Ini menaikkan taraf warga kerja masjid dan pada masa yang sama, kita juga belajar hari ini strategi-strategi di sebalik teknologi yang ada sekarang. Selain daripada menaikkan taraf warga kerja masjid, kita pun meningkatkan diri kita, dengan bekerja dengan lebih bijak," kongsi Cik Rosdiana kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Related article image
Pengurus Kanan Masjid Kampung Siglap, Rosdiana Alias. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Di sini, Cik Rosdiana menambah bahawa beliau dan para peserta lain didedahkan kepada cara untuk menukil laporan masjid dengan lebih profesional menggunakan alat AI.

Ini sekaligus memberinya peluang untuk berkongsi ilmu sedemikian kepada para kakitangan lain.

"Kita juga ingin menghilangkan rasa takut ketinggalan seperti orang kata 'FOMO'. Jadi kita ingin memastikan kakitangan-kakitangan kita ataupun warga kerja masjid kekal relevan di pasaran kerja," ujar beliau.

GUNA AI UNTUK CARI KERJA

Related article image
Peserta dari Program Women@Work (W@W) MENDAKI, Siti Maisara Jazudi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Seorang lagi peserta dari program Women@Work (W@W) MENDAKI juga mengalu-alukan ruang yang disediakan itu.

"Sebelum ini, saya rasa AI itu terlalu pelbagai, atau 'massive'. Jadi terlalu banyak yang saya ingin tahu tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggunakannnya. Hari ini, banyak sekali yang telah saya pelajari seperti aplikasi-aplikasi yang sudah ada dan bagaimana untuk menggunakannya," kongsi Cik Siti Maisara Jazudi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, yang sudah 10 tahun tidak bekerja sepenuh masa, ilmu dan kemahiran yang diraih juga dapat membantunya dalam mencari kerja baharu.

"Semestinya memang banyak kemahiran baharu yang saya pelajari dan dengan memahami teknologi-teknologi baharu sebegini, saya dapat menggunakannya untuk mencari pekerjaan atau resume, temuduga dan segala macam untuk menjadikan diri saya lebih 'updated'" ujar Cik Maisara.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita