Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ lancar 'Aid for Gaza', sasar kumpul S$600,000 & bekerjasama dengan RLAF

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian M³ melancarkan sebuah usaha pengumpulan dana bagi mangsa-mangsa perang di Gaza pada pada Sabtu (1 Mac).

Inisiatif yang dipanggil 'Aid for Gaza' itu diadakan sempena SG60 dan bulan Ramadan.

Ia menyasarkan untuk mengumpul S$600,000 yang akan kemudian disalurkan kepada usaha kutipan derma oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Pusingan keempat usaha pengumpulan dana RLAF berlangsung selama sebulan setengah antara 24 Februari hingga 6 April 2025.


Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman berkongsi bahawa usaha itu saling melengkapi usaha pengumpulan dana untuk Gaza yang diterajui RLAF.

"Kita ingin berganding bahu dengan RLAF, memberi peluang kepada masyarakat Melayu/Islam kita dan juga masyarakat bukan Melayu untuk menyumbang kepada proses pengumpulan dana tapi yang penting ialah ia berkaitan langsung dengan SG60 di mana kita ingin memperingati ulang tahun ke-60 kemerdekaan kita.

"Dari segi projek SG60 ini, terdapat tiga tunggak utama. Pertama ialah kita ingin menghubungkan masyarakat. Kedua ialah memberi peluang untuk mereka menyumbang sesuatu dan ketiga ialah untuk menunjukkan bahawa kita begitu prihatin dan menyokong kumpulan-kumpulan yang memerlukan," kata Dr Maliki.

ADA RERUAI DI BAZAR GEYLANG SERAI

Bagi tujuan itu, M³ dan RLAF membuka sebuah reruai di Bazar Raya di Wisma Geylang Serai untuk membolehkan pengunjung untuk menderma langsung di situ.

Ia terletak di gerai nombor 364.

Dalam ucapannya di acara pelancaran 'Aid for Gaza', Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata usaha ini mencerminkan solidariti kukuh yang ditunjukkan masyarakat Melayu/Islam terhadap mangsa-mangsa perang di Gaza.

"Di tengah-tengah tragedi ini, kita telah saksikan sesuatu yang betul-betul menggembirakan iaitu warga Singapura dari pelbagai latar belakang datang bersama, bersatu dengan rasa empati, belas ihsan dan tekad untuk menghulurkan bantuan," kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

"Bantuan kita akan ditumpukan kepada keperluan yang mendesak seperti makanan, perbekalan perubatan dan sebagainya," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar masyarakat terus menyumbang, menunjukkan keihsanan dan bersikap murah hati pada bulan Ramadan ini.

"Saya harap dengan dalam suasana Ramadan yang kita akan sama-sama lalui pada malam ini, kita juga meningkatkan lagi sifat berkongsi kenikmatan dan kelebihan yang kita ada dalam bentuk zakat dan bentuk zakat fitrah dan jangan lupa juga kepada mereka yang sangat memerlukan seperti saudara-saudara kita yang bukan hanya Islam di Palestin," kata Encik Masagos.
(Gambar: Persatuan Rakyat)
S$166,200 SUDAH TERKUMPUL DALAM KURANG SEMINGGU

Pengumpulan dana RLAF yang dimulakan sejak 24 Februari lepas menyaksikan penglibatan aktif daripada rakan-rakan kongsi korporat dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat.

Sejak dilancarkan, jumlah yang terkumpul adalah S$166,200.

Ini diharap dapat menyuntik semangat ihsan dalam kalangan masyarakat untuk terus menderma sepanjang bulan Ramadan ini.

Untuk itu, Dr Maliki berharap ramai akan tampil dan menggunakan wadah 'Aid for Gaza' untuk membantu mangsa yang menderita di sana.

"Walaupun Singapura sebagai satu negara telah menyumbang lebih daripada S$19 juta dolar kepada mangsa-mangsa di Gaza, saya rasa masih ada peluang dan masih ada keperluan bagi mangsa mangsa Gaza untuk mendapatkan bantuan dari kami," kata Dr Maliki.

"Saya harap dengan adanya projek 'M³ Aid for Gaza' ini, ramai yang akan tampil ke hadapan, datang ke bazar kami di Geylang Serai ini, membawa kuih-muih, baju-baru mereka yang ingin mereka sumbangkan supaya kita dapat mengumpul dana yang dapat kita salurkan kepada mereka di Gaza. Suri-suri rumah yang membuat kuih-kuih raya boleh menyumbang dan membawa kuih-kuih raya mereka ke mari dan ini akan dijual untuk mendapatkan dana untuk bantuan untuk Gaza ini," tambahnya.
 
Semasa acara pelancaran, para penderma dari M³@Bandar turut menyampaikan sumbangan mereka melalui cek.

Selain cek, orang ramai juga boleh menderma menerusi PayNow atau pindahan wang menerusi bank.

Mereka yang ingin menderma juga boleh melakukannya di reruai di bazar tersebut sehingga 30 Mac 2025.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan