Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ lakar 5 tumpuan utama kesihatan bagi masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam tempoh kira-kira sembilan bulan ia dilancarkan, pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah bidang tumpuan kelima M³ bagi membangunkan sebuah masyarakat yang lebih sihat.

Ini termasuk meluaskan program Saham Kesihatan ke semua 11 bandar M³.

Di bawah rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah pula, lebih banyak kerjasama boleh dijangka bagi mewujudkan sekitaran yang menyokong usaha masyarakat mendakapi gaya hidup yang lebih sihat.

LIMA TUMPUAN UTAMA KESIHATAN MASYARAKAT

Bagi tujuan itu juga, lima tumpuan utama dikenal pasti dan ia akan dilakukan sejajar dengan usaha nasional iaitu SG Lebih Sihat.

Lima tumpuan itu ialah:

1. Sokong penuaan sihat - galak warga emas sertai gerakan SG Lebih Sihat,
2. Perbaiki kadar saringan kesihatan - pengesanan awal penyakit bagi rawatan berkesan
3. Dakapi gaya hidup sihat - galak masyarakat sertai program Saham Kesihatan dan program lain bagi tangani kadar kegemukan
4. Kurangkan kadar perokok - tingkatkan kesedaran tentang bahaya rokok dan 'vape'
5. Perbaiki kesejahteraan mental - guna dan perhalusi model M³@Jalan Besar iaitu Bangkit Bersama

PENDUDUK YANG SEMAKIN MENUA

Singapura dijangka akan mencapai status 'super aged' pada 2026 dengan 1 dalam 4 penduduk berumur 65 tahun ke atas pada 2030.

Justeru, golongan tersebut perlu diutamakan bagi memastikan penuaan yang sejahtera.

Ini juga sejajar dengan apa yang dilakukan di bawah gerakan SG Lebih Sihat yang mengutamakan warga emas.

"Pertama kita ingin menjurus kepada warga tua, dan ini seiring dengan usaha SG Lebih Sihat. Untuk kita mulakan dengan golongan yang lebih tua dahulu untuk memasukkan mereka dalam skema ini jadi tumpuannya selari," kata Cik Rahayu Mahzam.
Senaman rutin di "Health Fiesta: Let's Be Healthy - Say No to Diabetes", 25 Sep 2016. (Gambar: PA)
SARINGAN KESIHATAN

Di samping itu, FA5 juga berharap dapat galakkan lebih ramai masyarakat Melayu/Islam untuk lakukan saringan kesihatan.

Ini kerana jumlah penduduk Melayu/Islam yang mendapatkan saringan kesihatan dan pemeriksaan awal masih rendah berbanding kaum lain.

"Ini sebenarnya menjadi satu isu dalam masyarakat kita. Jumlah yang dapatkan pemeriksaan adalah lebih rendah berbanding masyarakat lain dan ini sejajar dengan SG Lebih Sihat kerana ia adalah
kesihatan pencegahan. Maknanya kita mahu melihat lebih awal apa yang kita boleh lakukan," kata Cik Rahayu.

Saringan kesihatan dan pemeriksaan awal juga boleh bantu berikan pesakit rawatan yang lebih berkesan.
Gambar fail seorang rakyat Singapura menjalani pemeriksaan kesihatan. (Gambar: TODAY)
GAYA HIDUP SIHAT

Pemahaman dan kesedaran berhubung gaya hidup sihat yang lebih menyeluruh juga akan dipertingkatkan.

"Sebenarnya dalam masyarakat kita peratusan penglibatan tinggi juga lebih daripada 70 peratus tetapi masih rendah berbanding dengan sebelum COVID-19. Sebelum COVID-19 80 peratus. Kita lihat banyak yang mungkin libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti senaman sebagainya tetapi mereka kurang faham bagaimana untuk memastikan gaya hidup yang lebih sihat secara keseluruhan. Kadang-kadang selepas bersenam, pergi makan prata ramai-ramai," ujar Cik Rahayu Mahzam.

"Juga informasi ini semakin meluas kita ada usaha usaha dalam peringkat nasional seperti petanda-petanda bagaimana mahu memilih makanan yang lebih sihat. Bagaimana kami ingin mengurangkan garam dan gula sebagainya jadi ini semua dapat membantu dan kita akan selaraskan dengan usaha itu," kata Cik Rahayu.

TURUNKAN KADAR PEROKOK

Dalam Tinjauan Kesihatan Penduduk, kadar perokok di Singapura tahun lalu ialah 9.2 peratus.

Namun, kadar bagi masyarakat Melayu jauh lebih membimbangkan iaitu 19.5 peratus.

Maka itu, lebih banyak usaha perlu digiatkan lagi bagi mencapai hasil yang diinginkan.

"Adanya program-program tertentu di hospital seperti IQuit dan sebagainya yang akan membantu mereka untuk mengurangkan tabiat ini. Kita mahu lihat bagaimana kita boleh gunakan 'touchpoint' di mana ada ramai masyarakat Melayu kita tahu dapat mengambil mesej itu," tambah Cik Rahayu.
Gambar fail seorang perokok. (Gambar: AFP/ERIC FEFERBERG)
KESEJAHTERAAN MENTAL

Tumpuan kelima pula ialah kesejahteraan mental yangjuga menjadi sesuatu yang menjadi keprihatinan di peringkat nasional.

Cik Rahayu juga berbangga dengan usaha sama anggota parlimen, Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Nadia Samdin yang menggembleng tenaga dalam usaha ke arah memperbaiki kesihatan mental masyakarat Melayu/Islam.

"Kita ada strategi negara untuk tangani kesihatan mental. Jadi itu juga dapat membantu kita untuk membesarkan usaha dalam masyarakat kita. Misalnya yang terbesar yang diterajui oleh Dr Wan Rizal, beliau telah mengadakan program Bangkit Bersama. Secara rambang, ia adalah untuk membina satu kumpulan yang dapat membantu. Ini juga selaras dengan 'Mental Well being Circles'," jelas Cik Rahayu.
Gambar hiasan: iStock/Chaay_Tee
PROGRAM MASYARAKAT YANG DILAKARKAN

Untuk memperhebat inisiatif itu, M³ melakarkan beberapa program termasuk 'Saham Kesihatan' dan 'Jaga Kesihatan, Jaga Ummah'.

Program 'Saham Kesihatan' menggalakkan masyarakat kekal sihat dengan menubuhkan kumpulan minat dalam masyarakat untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sihat buat para penduduk.

Antara aktiviti yang dilancarkan di bawah usaha ini adalah kelas Zumba, 'piloxing' serta sesi-sesi perbincangan berhubung gejala rokok.

Usaha tersebut turut melibatkan MUIS dan MENDAKI untuk mendekati rakan-rakan kongsi di masjid-masjid, pertubuhan-pertubuhan dan sukarelawan.

M³ juga bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk menyokong inisiatif gaya hidup sihat dan usaha mendekati masyarakat Melayu/Islam berhubung kesihatan.

Tahun hadapan, HPB akan menumpukan perbincangan dengan anggota JKJU untuk perancangan seterusnya buat aktiviti-aktiviti sihat di bawah FA5.
Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli bersama Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam di Festival Keluarga Saham Kesihatan M³. (Gambar-gambar: HPB)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan