M³ bangunkan struktur sokongan lebih kukuh bagi masyarakat Melayu/Islam; perhalusi data 5 tahun
SINGAPURA: M³ berjaya mewujudkan sebuah rangka kerja yang lebih berstruktur dan teratur bagi bantuan, khidmat dan sokongan untuk masyarakat Melayu/Islam sejak ia ditubuhkan lima tahun lalu.
Ini selain memperluaskan rangkaiannya ke 11 bandar M³ bagi menawarkan khidmat serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bantuan serta sokongan bagi mempertingkatkan lagi kemajuan masyarakat.
"Antara perkara pertama yang kita dapat lakukan ialah menubuhkan ECO (Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³). Pejabat ini membolehkan ketiga-tiga tunggak MENDAKI, MUIS dan MESRA untuk selaraskan kerja-kerja kesemua 11 bandar M³," jelas Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman.
"Ini membolehkan kami fahami kerencaman di kesemua bandar dan untuk kami menyediakan sokongan lebih baik bagi setiap bandar M³ yang berbeza. Jadi setiap bandar M³ ada strukturnya tersendiri, selari dengan struktur ECO," tambah beliau.
Pejabat ECO juga merancang untuk melancarkan satu inisiatif baharu untuk mempermudahkan usaha memantau perkembangan, kemajuan mahupun bidang-bidang tertentu yang boleh diperbaiki menerusi perbandingan dan penilaian data.
"Kami sedang usahakan untuk siapkan 'dashboard' di mana kita melihat pada setiap bandar, apakah perkembangan mereka, apakah statistik yang kita lihat, bagaimana kita tahu selepas setahun, apakah perkembangannya. Ini adalah proses yang kita lakukan dan insya-Allah, pada tahun hadapan, kita akan membuat laporan pertama 'dashboard' M³ menunjukkan perkembangan kita, menunjukkan kebolehan kita, menunjukkan apa yang kekurangannya juga," kongsi Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan.
Selain penyelarasan lebih baik, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata jumlah sukarelawan juga bertambah, dengan golongan karyawan turut menyumbang melalui cara yang tersendiri.
"Sepanjang lima tahun lalu, kami sudah mengembangkan jumlah karyawan yang terlibat dalam M³ dan bandar dalam bidang dan kerjaya itu sendiri. Saya fikir jangkauan itu telah membolehkan kita punyai rangkaian luas," dedah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga itu selanjutnya.
Dengan itu, lebih banyak program dapat dilaksanakan bagi manfaat masyarakat. Ini termasuk program-program oleh kumpulan Lawyers@M³ yang mendidik masyarakat dalam bidang-bidang LPA dan wasiat misalnya, serta Rangkaian Profesional Melayu/Islam dalam Teknologi (MMiT).
Namun, Encik Masagos berkata penilaian akan terus dijalankan bagi memperbaiki sokongan yang ditawarkan menerusi M³.
"Banyak program yang dilakarkan sejak 2015 telahpun berkembang tetapi masih dalam proses untuk dilakukan penilaian kerana terlalu awal untuk memberikan satu laporan bahawa ia sangat berkesan untuk jangka masa panjang," ujar beliau.
Encik Masagos dan Dr Maliki disertai lagi empat pemimpin politik Melayu/Islam bagi memberi kemas kini tentang kelima-lima bidang tumpuan (FA) yang diterajui masing-masing.
SEKILAS KEMAJUAN M³ PADA 2023
Bidang Tumpuan 1: Sokongan Buat Perkahwinan, Keibubapaan dan Pembangunan Awal Kanak-kanak
Projek ARIF - Yayasan Temasek
- Sehingga September 2022, 755 wanita sudah dirujukkan kepada pasukan Pengurusan Kes ARIF bagi sokongan tambahan

- Dalam masa 4 tahun, sudah berhasil bantu 23,000 pasangan
- Sekitar 10 asatizah wanita sudah sertai skim Kumpulan Sumber Bersamamu di bawah kerjasama ROMM dengan PERGAS
"Kita juga telah bekerjasama dengan PERGAS untuk memberi ruang kepada para asatizah wanita untuk menyumbang dalam memberi sokongan kepada mempelai perempuan dan juga kita akan memberikan lebih banyak sokongan kepada mereka yang memerlukan. Jadi saya selalu berjumpa dengan kadi dan naib kadi mereka ni walaupun memikul tanggungjawab berat tetapi saya rasa teruja dengan semangat mereka. Ini kerana mereka mahukan perkahwinan keluarga yang kukuh kerana kalau kita ada perkahwinan dan program kukuh ia akan memberikan ruang untuk memperkasakan masyarakat dan di mana apabila setiap potensi pasangan itu boleh diperkasakan," kata Dr Faishal.
Program KelasMateMatika (KMM)

- Dalam 9 bulan pertama 2023, 1,150 keluarga sertainya dengan 1,300 kanak-kanak dan hampir 1,200 ibu bapa
- Jumlah itu merupakan peningkatan 60% berbanding tempoh yang sama pada 2022
- Sewaktu ia dirintis pada 2018, hanya 100 kanak-kanak dan 80 ibu bapa yang menyertai KMM.
Menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, ini satu kemajuan yang cukup memberangsangkan dan kesan positifnya dapat dilihat menerusi prestasi pelajar Melayu/Islam yang memasuki Darjah 1.
"Kami sudah menggandakan program ini dengan cepat kerana kami menjangkau bandar-bandar dan dapat sokongan daripada bandar M³ dan oleh itu kami ada lebih keupayaan dan akhirnya, apa yang ingin kami lakukan ialah cetuskan impak yang produktif sebab hampir 8 daripada setiap 10 pelajar yang sertai KMM masuk ke Darjah 1 tanpa perlu ikuti Program LSP (Program Sokongan Pembelajaran) kerana sudah ada kemajuan yang baik," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI.
Bidang Tumpuan 2: Sokongan bagi Individu Rentan dan Keluarga Mereka
Program FITRAH
- Sudah punyai 695 relawan FITRAH
- Sudah bantu lebih 100 kes sejak penubuhan khidmat pengurusan kes FITRAH

- Dimulakan pada November 2021
- Bakal anjur persidangan pertamanya pada 25 Januari 2024
- Kadar kebentanan 2 tahun bagi masyarakat Melayu terus merosot kepada 24.7% dan ia turun 10 peratusan mata dalam sedekad
Menurut Encik Masagos, FITRAH dan rangkaian pemulihan itu menunjukkan hasil yang cemerlang dengan kadar kebentanan dua tahun bagi masyarakat Melayu terus menurun pada kadar yang luar biasa.
"Apabila saya di MHA, kadarnya 44 peratus. Kini sekitar 24 peratus, satu penurunan luar biasa. Ini kerana masyarakat tampil ke hadapan bersama," kata Encik Masagos.
Peneraju bidang tumpuan ini, Dr Faishal berharap masyarakat dapat terus bekerjasama untuk memperbaiki prestasi kebentanan 4 tahun pula bagi masyarakat Melayu.
"Apa yang kita nak usahakan adalah bagaimana kita boleh menurunkan kadar kebentanan bagi 4 tahun di mana, kadarnya masih 40% ke atas dan bagaimana kita boleh menurunkan ini dan, dengan adanya usaha-usaha seperti pembentukan FITRAH di mana FITRAH bukan saja meningkatkan bilangan sukarelawan di mana sekarang kita ada sekitar 700 sukarelawan dan juga kita juga telah membangunkan rangkaian MMO," jelas Dr Faishal.
Bidang Tumpuan 3: Memperkasa dan Pementoran Belia
Pejabat Pementoran Belia (YMO)
- Lebih 300 mentor ikuti latihan dan dipadankan dengan lebih 1,150 menti
- Secara keseluruhannya, 1,600 mentor sudah menerima latihan bagi membantu lebih 5,700 menti
- Tubuhkan usaha baharu, YOUth@M3 untuk dampingi pelajar-pelajar Melayu/Islam di peringkat posmenengah
- Luaskan #amPowered@M³Bandar ke M³@Pasir Ris-Punggol dan M³@Jurong

"Saya bangga, kita ada banyak wakil Melayu/Islam dalam panel belia. Apa yang kami ingin lakukan di bawah bidang tumpuan 3 ini adalah juga membina keupayaan jadi mereka boleh tembusi tampuk kepimpinan dalam bidang lain. Bukan sahaja bagi masyarakat Melayu/Islam tetapi juga di peringkat nasional mahupun antarabangsa," jelas Cik Rahayu.
Projek DIAN@M³
- Sudah dampingi 400 keluarga Melayu/Islam di flat-flat sewa di 6 bandar M³
- Dengan peluasan projek DIAN@M³ ke tiga lagi bandar@M³ iaitu Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines, lebih 500 keluarga diharap akan dapat dibantu
"DIAN mendahului usaha-usaha Comlink yang kita umumkan. Walaupun ia program nasional, saya akan katakan Dr Maliki mulakan program ini lebih awal daripada Comlink di peringkat nasional," kata Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Kesihatan.
Meskipun kini terdapat program seperti Comlink+ yang juga membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang menetap di flat-flat sewa, Dr Maliki menjelaskan DIAN@M³ ada keistimewaannya yang tersendiri dan kekal relevan.
"400 keluarga yang telah kita dekati, kita sudah fahami apakah keperluan mereka. Bukan semua blok-blok yang telah kita dekati sama dengan blok ComLink+, jadi apa yang akan kita lakukan ialah kita akan bekerjasama dengan ComLink+ untuk memastikan bahawa jika terdapat kesinambungan antara blok-blok ataupun keluarga yang akan didekati ComLink, kita akan bekerjasama dengan mereka tapi dalam masa yang sama juga jika blok-blok yang kita dekati belum menjadi sasaran ComLink kerana ComLink mempunyai sasaran untuk mendekati semua keluarga di semua keseluruhan negara Singapura, tapi ini akan memerlukan masa," jelas Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan.
Bidang Tumpuan 4: Daya Kerja dan Pekerjaan
Kerjasama Strategik
- Menerusi kerjasama ini, seramai 4,500 pekerja Melayu/Islam didampingi bagi program daya kerja dan latihan
- Lebih 110 peserta program Women at Work dirujuk kepada e2i NTUC, dengan lebih 50 daripada mereka sudah mendapat pekerjaan
- Hampir 10 pemimpin kesatuan sekerja dampingi 80 keluarga Melayu/Islam.

"Bidang tumpuan 4 ini memainkan peranan yang penting di mana kita memberikan mereka kesedaran, memberikan mereka ruang kerja untuk mereka bekerja dalam sektor-sektor yang berkembang. Jadi dalam bidang tumpuan 4 ini, sebenarnya apa yang kita lakukan pada tahun ini ialah kita memberikan 'Union Leaders', pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja kita untuk tampil ke hadapan, turun ke padang membantu mereka yang memerlukan untuk melihat apakah kerja-kerja yang ada, bukan sahaja dalam sektor yang mereka ceburi, tetapi sektor yang lain juga," ujar Pengarah Sekretariat Operasi dan Divisyen Mobilisasi NTUC, Fahmi Aliman.
Bidang Tumpuan 5: Masyarakat Lebih Sihat untuk Semua
Program Saham Kesihatan
- Kesemua 11 bandar M³ kini tawarkan program Saham Kesihatan
Rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah
- Lima tumpuan bagi kesihatan masyarakat dikenal pasti iaitu menyokong penuaan yang sihat, perbaiki kadar saringan kesihatan, dakapi gaya hidup sihat, kurangkan kadar perokok dan perbaiki kesejahteraan mental

Beliau menjelaskan, "Lima tunggak yang kita telah letakkan dalam FA5, pertama kita ingin menjurus kepada warga tua dan ini seiiring dengan usaha SG Lebih Sihat. Kedua, fokus kita adalah kepada pemeriksaan dan ini sebenarnya menjadi satu isu dalam masyarakat kita. Jumlah yang pergi dapatkan pemeriksaan adalah lebih rendah berbanding masyarakat lain."
"Ketiga kita lihat tentang aktiviti yang kehidupan yang lebih sihat. Sebenarnya dalam masyarakat kita peratusan pelibatan tinggi juga lebih daripada 70% tetapi masih rendah berbanding dengan sebelum COVID-19. Sebelum COVID-19, 80%. Keempat adalah kesihatan mental yang juga menjadi sesuatu yang menjadi keprihatinan di peringkat nasional. Jadi banyak yang kita lakukan sebenarnya kita selaraskan dengan usaha itu," tambah Cik Rahayu.
Cik Rahayu juga menarik perhatian kepada kadar perokok dalam masyarakat Melayu/Islam iaitu 19.5 peratus. Kadar ini jauh lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 9 peratus.
Oleh itu, beliau berharap kadarnya dapat diturunkan dalam tahun-tahun mendatang menerusi pelbagai rancangan di bawah bidang tumpuan 5 tersebut.
Ini di samping program-program di peringkat nasional yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat juga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.