Skip to main content

Singapura

M³+ bakal lancar direktori online, perkukuh kerjasama pertubuhan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
M³+ bakal lancar direktori online, perkukuh kerjasama pertubuhan masyarakat

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata direktori itu merupakan sebahagian daripada fasa baharu M³+. (Gambar: M3 ECO)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 12:36AM
SINGAPURA: Sebuah direktori M³+ akan dilancarkan bulan depan bagi memudahkan pertubuhan masyarakat, M³+@Bandar dan rakan-rakan masyarakat mengenali program, kepakaran serta rangkaian antara satu sama lain, sekali gus membantu membina kerjasama baharu dan menghubungkan penduduk kepada sokongan yang sesuai.

Dalam direktori online itu, pertubuhan-pertubuhan yang disenaraikan akan disusun mengikut bidang utama perkhidmatan masing-masing bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat yang diperlukan. Direktori tersebut akan dibuka kepada orang ramai apabila ia siap kelak.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata direktori itu merupakan sebahagian daripada fasa baharu M³+, yang memberi penekanan kepada usaha membangunkan penyelesaian secara bersama.

Encik Zaqy mengumumkan demikian semasa Sesi Bina Rangkaian M³+ yang kedua di Wisma Geylang Serai pada Khamis (30 Jul), yang menghimpunkan 180 pemimpin daripada pertubuhan Melayu/Islam (MMO), pertubuhan India Islam (IMO) serta agensi-agensi M³+, termasuk PA MESRA.
Related article image
Sesi itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam kalangan pertubuhan masyarakat menerusi sesi perbincangan panel. (Gambar: M3 ECO)
Buat julung-julung kalinya, sesi tersebut dianjurkan bersama oleh Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dengan kerjasama Pejabat Penyelarasan Pelibatan M³ (M³ ECO) yang diterajui Persatuan Rakyat (PA).

Sesi itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam kalangan pertubuhan masyarakat menerusi sesi perbincangan panel, yang memberi peluang kepada pertubuhan untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan meneroka peluang kerjasama baharu.

Menurut Encik Zaqy, M³ kini bersedia memasuki fasa baharu selepas usaha sepanjang tahun lalu memberi tumpuan kepada mendengar keperluan, kebimbangan dan aspirasi masyarakat.

"Jika sebelum ini kita memberi tumpuan kepada mendengar dan memahami keperluan masyarakat, kini tiba masanya untuk kita bersama-sama membina penyelesaian," kata Encik Zaqy.

"Kita mahu terus bekerjasama, saling melengkapi kekuatan masing-masing dan memastikan usaha kita benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat," tambahnya lagi.

DIREKTORI DIJANGKA MUDAHKAN RUJUKAN DAN KERJASAMA

Mengulas mengenai inisiatif terbaharu itu, Encik Arifeen Kamaluddin daripada Thuckalay Muslim Association Singapore berkata direktori tersebut akan membantu penduduk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan yang diperlukan.
Related article image
Encik Arifeen Kamaluddin. (Gambar: Hidir Ezat)
"Direktori ini akan merangkumi pelbagai perkhidmatan kerana ada penduduk yang tidak tahu di mana untuk mendapatkan khidmat seperti rumah jagaan, pusat bagi golongan kurang upaya atau pusat belia sekiranya keluarga mereka menghadapi masalah. M³+ akan menjadi satu platform untuk mereka mendapatkan bantuan," kata Encik Arifeen.

Menyifatkan direktori tersebut sebagai penting, Pengarah Eksekutif Emaan Catalyst Community, Encik Hafiz Othman, berkata ia mampu memperluaskan ekosistem sokongan masyarakat.

"Direktori sebegitu sangat penting kerana ada beberapa inisiatif akar umbi yang baharu yang biasanya tidak begitu menonjol tetapi sangat berkesan di peringkat akar umbi," kata Encik Hafiz.
Related article image
Pengarah Eksekutif Emaan Catalyst Community, Encik Hafiz Othman. (Gambar: Hidir Ezat)
"Dengan adanya direktori ini, kita dapat melihat bukan hanya organisasi yang besar sahaja, tetapi juga mereka yang nampak kecil tetapi memberi impak yang sangat berkesan dalam bidang masing-masing. Dengan M³+ ini, kita dapat melihat ekosistem yang lebih luas dan juga lebih mendalam yang boleh membantu masyarakat kita maju ke hadapan," tambahnya lagi.

Bagi Pengurus Kempen dan Projek New Life Stories, Cik Suriati Jamil, kerjasama yang lebih rapat antara pertubuhan dapat membantu keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan dengan lebih awal.
Related article image
Pengurus Kempen dan Projek New Life Stories, Cik Suriati Jamil. (Gambar: Hidir Ezat)
"New Life Stories ingin bina sistem rujukan bersama. Bila kami jumpa keluarga dalam 72 jam pertama, kami boleh terus rujuk mereka kepada M³+ untuk sokongan jangka panjang. Kami juga boleh kongsi latihan tentang cara tangani keluarga dalam krisis," kata Cik Suriati.

Maklumat lanjut mengenai Direktori M³+, termasuk tarikh pelancarannya, akan diumumkan kelak.

M³+ BAKAL PERKENAL IDENTITI, LOGO BAHARU

Selain Direktori M³+, Encik Zaqy turut mengumumkan bahawa M³+ akan memperkenalkan identiti dan logo baharu sejajar dengan perkembangan ekosistemnya yang kini merangkumi pertubuhan masyarakat, sukarelawan, M³+@Bandar dan agensi awam.

Menurut beliau, identiti baharu itu bukan sekadar sebuah logo, malah melambangkan fasa seterusnya M³+ serta komitmen bersama untuk membangunkan penyelesaian baharu secara bersama.

Encik Zaqy turut menggesa pertubuhan-pertubuhan masyarakat supaya mengemukakan idea, berkongsi kekuatan masing-masing dan mengenal pasti bidang yang ingin mereka sumbangkan.

Beliau berkata masa depan M³+ tidak akan ditentukan oleh mana-mana agensi atau pertubuhan sahaja, sebaliknya melalui apa yang dapat dibina bersama oleh semua pihak, selaras dengan semangat "Bersatu Hati, Maju Bersama."
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita