Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ anjur sesi galak masyarakat Melayu/Islam daftar LPA, pertama kali dilakukan secara elektronik

Anggaran Waktu Membaca:
M³ anjur sesi galak masyarakat Melayu/Islam daftar LPA, pertama kali dilakukan secara elektronik

(Gambar: Nurfazirah Azman)

BERITAMediacorp: Buat pertama kalinya, sesi Permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) percuma diadakan tanpa sebarang borang fizikal yang perlu ditandatangani para pemohon - semuanya secara elektronik.

Usaha yang diterajui oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands Galaxy, M³@Woodlands dan Peguam@M³ itu memudahkan lagi urusan para pemohon melakukannya secara digital menerusi Sistem OPGO.

Ini lebih-lebih lagi buat para penduduk warga emas dan menggalakkan mereka membuat permohonan secara digital.

Selain mendapat bantuan bagi membuat permohonan tersebut, para hadirin juga boleh bertanyakan langsung kepada 12 peguam tentang LPA dan mendapatkan nasihat secara percuma.

Para peguam Lawyers@M3 (Gambar: M kuasa 3 GRC Sembawang)
Salah seorang daripada peguam rangkaian itu, Matin Razak juga berkongsi dengan BERITAMediacorp bahawa pendekatan online sebegitu juga diharap dapat mengurangkan kesilapan dalam pengisian borang-borang permohonan.

"Ada maklum balas yang diberikan MSF kepada para peguam kami, sejumlah kesilapan dalam mengisi borang itu termasuk kesalahan dalam ejaan nama, alamat ataupun tiada tandatangan yang lengkap. Kesilapan ini semua boleh dikurangkan dengan pengenalan borang online," kata Encik Matin.

"Borang online ini dipautkan dengan MyInfo dan diisi secara automatik. Ini mengurangkan risiko daripada kesilapan berbanding borang fizikal. Bagi yang lebih muda dan celik teknologi, mereka lebih suka buat secara online," tambah beliau.

Sesi perkongsian para peguam bersama penduduk di kawasan GRC Sembawang mengenai LPA pada Ahad (5 Feb) di Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy itu juga menerima sambutan hebat dengan lebih daripada 400 orang mendaftar.
(Gambar: M kuasa 3 GRC Sembawang)
Surat Kuasa Berkekalan (LPA) adalah dokumen perundangan yang membolehkan waris seseorang yang berusia 21 tahun ke atas untuk membuat keputusan penting bagi pihak mereka dari segi kebajikan, harta pusaka dan sebagainya
sekiranya mereka kehilangan keupayaan mental untuk berbuat sedemikian.

Acara tersebut juga mendapat sokongan dan kerjasama Masjid Assyafaah, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Yusof Ishak.

Ia bertujuan untuk mendekati para penduduk dalam masyarakat Melayu Islam yang tinggal di kawasan GRC itu untuk mendaftar bagi LPA secara percuma dengan bantuan peguam sukarela.

Para peguam juga menjelaskan lebih mendalam mengenai LPA dan menjawab pertanyaan yang membelenggu penduduk sekaligus mendampingi warga emas yang berdepan masalah mendaftar secara online.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
DAFTAR LPA SEBAGAI PERSEDIAAN HADAPI USIA SENJA

Antara mereka yang mendaftar pada Ahad (5 Feb) ialah pasangan suami isteri, Buang Ahmad Bakri, 72 tahun dan Norhaya Muhammad Ariffin, 67 tahun.

Encik Buang pada mulanya hadir pada acara yang sama di Wisma Geylang Serai sebelum ini namun memutuskan untuk mendaftar dalam LPA bersama isteri di Woodlands Galaxy kerana menetap di kawasan tersebut.

Beliau juga mendorong anak saudaranya, Suriani Abdul rashid, 56 tahun dan ibu kepada wanita itu, Sadiah Binti Ahmad Bakri, 76 tahun untuk mendaftar bersama.

Encik Buang timbul kesedaran untuk mendaftar dalam LPA sebagai persediaan pada masa hadapan kerana usianya dan keadaan kesihatan beliau dan isterinya yang semakin membimbangkan.
Dari Kiri: Suriani Abdul Rashid, Buang Ahmad Bakri, Norhaya Muhammad Ariffin, Sadiah Binti Ahmad Bakri. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Buat pasangan ibu dan anak, Sulastri Amat, 54 tahun dan Suhaila Sumanti, 23 tahun mereka sudah lama sedar akan kewujudan LPA.

Cik Suhaila merupakan anak tunggal sejak kematian bapanya sewaktu beliau berusia 4 tahun. Beliau bersedia menjadi waris kepada ibunya.

Cik Sulastri sedar akan keadaan kesihatannya yang semakin mengkhuatirkan, beliau memutuskan untuk mendaftar bagi LPA. Mereka bersyukur acara sebegini diadakan di Kelab Masyarakat dan pendaftaran adalah percuma.

"Selalunya orang risau hendak ke pejabat peguam kerana wang yang harus dikeluarkan untuk membayar peguam. Inisiatif ini sangat dialu-alukan," kata Cik Sulastri.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Seorang lagi warga muda yang membawa orang tuanya ialah Ahmad Hamizan, 23 tahun.

Beliau juga merupakan pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT) dan menceburi bidang perubatan dan radiografi, datang bersama dengan ibu dan makciknya bagi mendaftar.

Berdasarkan pengalaman bekerja di sebuah hospital, Encik Ahmad sering melihat pesakit lanjut usia yang tidak mampu membuat keputusan untuk diri sendiri. Dengan itu, timbul kesedaran untuk mendaftar bagi LPA.

"Jikalau ada kecemasan, kami boleh membuat keputusan buat ahli keluarga berbanding dengan orang lain di sisi undang-undang yang sah", kata Encik Ahmad.

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar juga turun padang untuk tingkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan LPA dan menyokong usaha itu.

"Sekarang kami tidak tahu apa akan jadi di masa hadapan, jadi saya rasa sangat penting, terutama sekali sekarang ramai yang ada penyakit seperti demensia. Dalam Sesi Berjumpa dengan Penduduk (MPS), ramai yang datang untuk membuat rayuan kerana mereka tidak boleh mengakses akaun perbankan atau CPF mereka kerana sudah terlupa kata laluan atau sudah pada tahap demensia yang kritikal," ujar beliau.
(Gambar: M kuasa 3 Sembawang GRC)
"Saya rasa lebih baik untuk kita membuat persiapan dan dengan mengadakan sesi begini terutama sekali dengan peguam-peguam yang boleh berbicara dalam bahasa Melayu untuk membantu mereka dalam masyarakat Melayu/Islam," tambah Cik Mariam.

Beliau juga berharap agar lebih banyak akan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perancangan jagaan akhir hayat di kalangan penduduk Melayu/Islam di Singapura.

Pihak MAEC dan M³@Woodlands juga berharap dapat menganjurkan lebih banyak sesi sedemikian bagi meluaskan lagi jangkauan dalam kalangan penduduk di kawasan GRC tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan