Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³@Woodlands ceriakan warga emas sebatang kara, anjur sesi sarapan pada Tahun Baru Cina

Seawal jam 9.00 pagi tadi (25 Jan), lagu-lagu Tahun Baru Cina memeriahkan sekitar kawasan Woodlands Street 83 di mana sekitar 200 penduduk berbilang kaum dan agama berkumpul untuk menikmati sarapan pagi bersama-sama. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal jam 9.00 pagi tadi (25 Jan), lagu-lagu Tahun Baru Cina memeriahkan sekitar kawasan Woodlands Street 83 di mana sekitar 200 penduduk berbilang kaum dan agama berkumpul untuk menikmati sarapan pagi bersama-sama.

Tuan rumah acara itu pula ialah para pemimpin akar umbi Melayu M³@Woodlands. Buat pertama kalinya, inisiatif 'Jom Makan' dijalankannya bagi membawa keceriaan kepada para penduduk Woodlands, terutama sekali warga emas dan mereka yang hidup sebatang kara.

Kalau lazimnya mereka kesunyian pada pagi Tahun Baru Cina, kali ini kehadiran jiran-jiran mereka sedikit sebanyak menyerikan sambutan perayaan mereka.

Encik Lee Cher Seng misalnya, gembira dapat sarapan pagi beramai-ramai. Warga emas itu mengalami masalah kesihatan dan hidup bersendirian.

"Pada Tahun Baru Cina, saya datang sini dan makan. Ada bee hoon, kueh dan banyak lagi," katanya.

Beberapa warga emas lain turut gembira dapat berkumpul di acara itu. Ada juga yang merebut peluang mengucapkan 'Gong Xi Gong Xi' sesama mereka.

Turut hadir menyerikan sambutan Tahun Baru Cina para penduduk ialah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

ACARA DIADAKAN DI TENGAH-TENGAH VIRUS KORONA

Beliau turut menyertai para tetamu mempelajari erti sebenar di sebalik tradisi 'lohei' dan sama-sama melambungkan yusheng.

"Ada yang hidup sendirian dan tidak ada orang yang boleh berbual dengan mereka, mereka kesepian. Jadi sesi seperti ini penting kerana ia menunjukkan bagaimana M³@Woodlands dan juga persatuan akar umbi dapat memainkan peranan," kata Encik Amrin, yang juga Penasihat Akar Umbi Woodlands.

Melihat ramai yang mengalu-alukan acara seperti ini, Pengerusi M³@Woodlands Dr Noorul Fatha As'art melahirkan harapan acara antara agama seperti ini dapat terus diadakan.

"Bilangan warga tua di Singapura semakin meningkat, tidak kira bangsa. Kami mahukan warga tua kami merayakan hari penting bersama-sama," kata Dr Noorul.

Selain menikmati pelbagai hidangan sarapan tempatan, para tetamu 'Jom Makan' turut membawa pulang buah tangan. Dalam setiap beg yang diberikan, ada pembersih tangan (hand sanitizer) dan risalah nasihat kesihatan berkaitan virus korona Wuhan.

Encik Amrin turut meluangkan masa bersama para penduduk untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang virus tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan