Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³@Tampines anjur seminar keibubapaan percuma; beri tumpuan kepada penggunaan Bahasa Melayu, persediaan ke alam persekolahan

Satu seminar keibubapaan dianjurkan secara percuma pada hujung minggu lalu di Kelab Masyarakat Tampines West bagi menyediakan wadah tambahan untuk para ibu bapa meneroka cara-cara baru yang mudah lagi menarik bagi pembangunan anak-anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
M³@Tampines anjur seminar keibubapaan percuma; beri tumpuan kepada penggunaan Bahasa Melayu, persediaan ke alam persekolahan

(Gambar: M³@Tampines/Facebook)

Diterbitkan : 26 Aug 2019 09:17PM Dikemas Kini : 26 Aug 2019 09:19PM

BERITAmediacorp: Satu seminar keibubapaan dianjurkan secara percuma pada hujung minggu lalu di Kelab Masyarakat Tampines West bagi menyediakan wadah tambahan untuk para ibu bapa meneroka cara-cara baru yang mudah lagi menarik bagi pembangunan anak-anak mereka.

Dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh M³@Tampines bersama Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) dan MENDAKI, para ibu bapa serta keluarga yang hadir membawa pulang tips bagaimana untuk menerapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian anak-anak mereka selain persediaan melangkah ke awal prasekolah hinggalah peringkat sekolah rendah.

(Gambar: M³@Tampines/Facebook)

Semua itu dikongsi oleh pensyarah dari Institut Nasional bagi Pembangunan Awal Kanak-kanak, Dr Raudhah Yahya dan Duta Bahasa 2017 iaitu Jumaini Ariff sepanjang tiga jam sesi tersebut berlangsung.

Bukan itu sahaja, para peserta turut mengambil kesempatan untuk saling berkongsi cabaran dan bertanyakan pendapat akan usaha yang boleh disemai untuk menyuntik minat dalam diri anak-anak mereka bertutur bahasa Melayu dalam kegiatan harian.

Dalam wawancara secara langsung di televisyen dengan BERITAmediacorp pada 21 Ogos lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan bahawa peluang untuk anak-anak berjaya dalam pendidikan akan lebih cerah "jika ibu bapa memulakan perjalanan pendidikan (anak-anak) mereka seawal-awalnya".

(Gambar: M³@Tampines/Facebook)

Untuk mencapainya, Encik Masagos berkata para sukarelawan rangkaian M³ akan menjalankan usaha bagi menggalak ibu bapa Melayu/Islam supaya menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah lebih awal lagi iaitu seawal usia 3 atau 4 tahun.

Awal dari itu, sempena ulang tahun M³@Bandar yang pertama di Tampines - dianjurkan di Kelab Masyarakat Tampines West pada 17 Ogos lalu - Encik Masagos berkata kerjasama rangkaian M³ yang menggabungkan tenaga masyarakat bersama-sama MENDAKI, MUIS serta MESRA akan diperkukuhkan lagi bagi memperkasa masyarakat di peringkat nasional. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan