Skip to main content

Singapura

M'sia menuju demokrasi matang tapi masih ada ketidaktentuan: Khairy Jamaluddin

Anggota Parlimen pembangkang Malaysia Khairy Jamaluddin yang berada di Singapura berkongsi pengamatannya tentang landskap politik negaranya bersama BERITAMediacorp di Forum Prospek Serantau anjuran Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) pada Rabu (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jan 2019 10:12PM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 10:20PM

SINGAPURA: Anggota Parlimen pembangkang Malaysia, Khairy Jamaluddin dari parti UMNO berkata, peralihan kepimpinan di negara itu menimbulkan landskap politik yang tidak menentu.

Namun, secara keseluruhannya Malaysia sedang melalui satu proses perubahan positif ke arah demokrasi lebih matang di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Encik Khairy yang berada di Singapura berkongsi pengamatannya bersama BERITAMediacorp di Forum Prospek Serantau anjuran Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) pada Rabu (9 Jan).

KETIDAKTENTUAN POLITIK M'SIA KINI

Menyusuli kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Malaysia Mei lalu, sesetengah pemerhati menyifatkannya sebagai permulaan satu era 'Malaysia Baru'.

Topik itu dibincangkan oleh salah satu barisan panel di Forum Prospek Serantau anjuran Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) di Hotel Shangri-La hari ini (9 Jan).

Ahli Parlimen Rembau dari parti UMNO, Khairy Jamaluddin berkata setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan daripada BN, ketidak tentuan politik masih wujud di negara itu.

Namun beliau tidak menolak bahawa Malaysia sedang menuju ke arah pembaharuan dengan kematangan sistem demokrasinya.

"Tidak ada gangguan dan tidak ada rampasan kuasa, tidak ada rusuhan yang berlaku dan ini adalah suatu perkara yang luar biasa di Malaysia sebab tidak pernah berlaku peralihan kuasa di Malaysia selama 60 tahun.

"Tetapi kematangan untuk menerima kekalahan daripada pihak kami Barisan Nasional, kematangan rakyat yang tenang melihat peralihan kuasa, dan kematangan pihak kerajaan Pakatan Harapan juga untuk membentuk kerajaan juga saya rasa harus dipuji, dan Malaysia boleh saya katakan ke arah menjadi demokrasi yang matang," kata Encik Khairy.

Malah beliau berharap dengan kerajaan baru, peluang untuk meluaskan hubungan dengan negara jiran Singapura dapat dimanfaatkan oleh pemimpin kedua-dua negara.

"Ini adalah jiran yang paling penting di Malaysia dari segi politik, dari segi ekonomi, dari segi hubungan strategik sempadan dan isu air dan macam-macam lagi dan kedua-dua negara memahami bahawa kita tidak dapat berjaya tanpa jiran kita. Singapura kalau nak berjaya perlukan Malaysia yang berjaya dan sama juga dengan Malaysia," tambahnya Khairy lagi.

KHAIRY: SAYA TAK AKAN LOMPAT PARTI

Dalam ceramahnya, Encik Khairy menegaskan sekali lagi beliau tidak akan lompat parti, sebaliknya akan terus melakukan reformasi dalam UMNO bagi membentuk sebuah parti pembangkang yang boleh dipercayai untuk membina Malaysia yang lebih kukuh.

Related article image
Khairy Jamaluddin. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Encik Khairy menambah, beliau berharap dapat terus melakukan perubahan dalam UMNO dengan merebut jawatan presiden parti itu buat kali kedua menerusi pemilihan parti pada 2021.

Ini setelah beliau tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan presiden UMNO tahun lalu.

MEMBINA UMNO AKAN DATANG: "BUKAN HANYA BAGI DATO' TUA"

Ditanya pihak BERITAMediacorp apakah langkah seterusnya untuk melaksanakan reformasi ke atas parti UMNO, Encik Khairy berkata salah satunya adalah membawa UMNO kembali ke laluan tengah dan menguatkan semula parti tersebut dengan anggota parti yang berkaliber.

Encik Khairy berkongsi, "Saya tidak mahu UMNO melencong terlalu jauh daripada perjuangan asas iaitu perjuangan yang sangat komited kepada memperkasakan kedudukan orang Melayu dan Islam dalam konteks negara majmuk dalam cara yang progresif dalam cara yang inklusif.

"Kedua ialah bakat UMNO itu sendiri, sebuah parti politik yang dinilai dengan pemimpin dan ahlinya kerana itulah cara rakyat dan pengundi menilai sebuah parti. Jadi, untuk Pilihan Raya akan datang, perlu untuk kita mengetengahkan calon-calon yang ada kewibawaan, yang bersih, yang ada integriti, ada kepelbagaian - dan tidak hanya dilihat sebagai sebuah parti yang merangkumi dato’ tua sahaja," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita