Skip to main content

Singapura

M³ selaraskan usaha pertubuhan Melayu/Islam; projek rintis sudah dilaksana

Memperkukuh institusi keluarga, membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang penyayang dan bersatu hati serta memperkasa mereka untuk aktif menyumbang kepada negara.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Aug 2018 09:40PM Dikemas Kini : 21 Aug 2018 07:03PM

SINGAPURA: Memperkukuh institusi keluarga, membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang penyayang dan bersatu hati serta memperkasa mereka untuk aktif menyumbang kepada negara.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkongsi matlamat yang ingin dicapai menerusi gandingan M kuasa tiga (M³), susulan ucapan Perdana Menteri di Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (19 Ogos).

Projek rintis untuk menguji kerjasama tiga badan Melayu/Islam itu sudah dilaksana katanya dan bakal diperluas dalam tempoh enam bulan.

Salah satu langkah permulaan, adalah untuk mengerahkan individu-individu berjaya mendampingi golongan kurang bernasib baik dan membantu mereka memenuhi aspirasi masing-masing.

Encik Masagos berkata saban tahun, semakin ramai orang Melayu/Islam yang lebih berjaya.

Tetapi hakikatnya juga, masih ada golongan yang 'ketinggalan' akibat keadaan kehidupan.

M³ GANDAKAN USAHA, LUASKAN JANGKAUAN

Demi merapatkan jurang sosial itu, gandingan MESRA, MUIS dan MENDAKI, M³ akan menggandakan usaha kepada program sedia ada untuk membangunkan masyarakat Melayu/Islam yang inklusif dan lebih kohesif.

Ini menurut Encik Masagos mampu dilakukan dengan memanfaatkan kekuatan tiga institusi tersebut serta bekerjasama dengan pemerintah dan badan Melayu/Islam lain.

"Jadi sinergi ini adalah satu bayangan di mana kita boleh mengandalkan ketiga-tiga institusi ini - MUIS, MENDAKI, MESRA - supaya mereka lebih jitu, lebih mendatangkan kesan dan luas jangkauan mereka kepada masyarakat kita," ujar Encik Masagos yang juga penasihat MESRA.

"Kita mulakan dengan apakah program-program sudah ada yang tidak jangkau kepada masyarakat kerana kekurangan masing-masing. Umpamanya masjid-masjid, jangkauan mereka hanyalah antara mereka yang berkeperluan zakat ataupun mereka yang sangat minat tentang agama. Bagaimana pula mereka yang perlu zakat tapi tidak mahu ke masjid? Jadi kita juga perlu menjangkau kepada masyarakat tersebut," tekan beliau lanjut.

MANFAATKAN PENGALAMAN INDIVIDU BERBEZA UNTUK PEMBANGUNAN MASYARAKAT

Encik Masagos menyatakan, salah satu cara bermakna yang mungkin mampu melahirkan kesan optima adalah dengan memanfaatkan kepakaran individu-individu berjaya.

Ini lebih-lebih lagi jika mereka pernah melalui pengalaman hidup yang serupa dengan para penerima bantuan.

Apabila mereka turun padang untuk mendekati golongan yang memerlukan, diharapkan cerita-cerita hidup yang mereka kongsikan berserta bimbingan dapat menyuntik azam baru ke arah perubahan lebih positif.

Bagi memastikan kemampanan usaha M³ dalam jangka masa panjang, program yang sudah dirintiskan akan dikaji semula dan diperbaiki sebelum diperluaskan ke skala lebih besar.

MESEJ RAPAT UMUM PM LEE TITIK BERATKAN CABARAN GENERASI AKAN DATANG

Mengulas pelbagai skim yang digariskan PM Lee Hsien Loong dalam ucapannya, Encik Masagos menyifatkan peningkatan berkaitan perumahan dan kesihatan, khususnya, menggambarkan sebuah negara yang berfikiran progresif terutama dalam menangani cabaran jangka panjang.

"Jadi bukan sahaja apa yang kita harus lakukan bagi flat-flat kita atau masalah kesihatan masyarakat sekarang ini tetapi pada generasi-generasi yang akan datang," kata Encik Masagos.

"Hinggakan jangka flat yang 99 tahun yang lama dari sekarang. Mungkin dalam hayat saya pun tidak akan bertemu zaman tersebut tetapi harus juga memikirkannya supaya ia memberikan ketenangan pada masyarakat kita dan keyakinan bahawa kita hidup dalam sesebuah negara yang bukan hanya dapat bangga dengan sejarah kita tapi berani menghadapi masa hadapan yang mungkin tidak menentu," terang Encik Masagos lagi.


Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita