Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M Raihan Halim menang Lakon Layar Terbaik Singapura di Anugerah Akademi Kreatif Asia bagi SR115

Pengarah filem tempatan M. Raihan Halim menang anugerah bagi Lakon Layar Terbaik (Best Original Screenplay) kategori Singapura di Anugerah Akademi Kreatif Asia (AAA) yang diadakan di Cannes baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengarah filem tempatan M. Raihan Halim menang anugerah bagi Lakon Layar Terbaik (Best Original Screenplay) kategori Singapura di Anugerah Akademi Kreatif Asia (AAA) yang diadakan di Cannes baru-baru ini.

Beliau yang merupakan pengasas bersama syarikat penerbitan Papahan Films, memenangi anugerah tersebut bagi siri drama Mediacorp SR115 yang disiarkan di saluran Suria Disember lalu.

Siri lapan episod berunsur 'sci-fi' itu mengisahkan misteri sebuah pesawat yang hilang 30 tahun lalu dan tiba-tiba muncul semula dan mendarat di tanah air.

'TERUS CABAR DIRI SEBAGAI PENULIS'

Berkongsi perasaannya memenangi anugerah itu bersama BERITAmediacorp Encik Raihan menekankan ia satu pengiktirafan bagi rakan-rakan sekerjanya yang memerah keringat bagi menjayakan siri itu.

"Sejujurnya, saya memang benar-benar ingin menang. Ini kerana kami (penerbitannya) bekerja keras untuk menghasilkan drama ini - untuk imbangi unsur-unsur sci-fi, unsur emosi, to get it right," kongsi beliau dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp.

Namun, sutradara yang juga terkenal sebagai pengarah filem ‘Banting’, yang dijulang sebagai filem komersil Melayu pertama dihasilkan sejak penutupan Jalan Ampas, berkata pengiktirafan tidak bermakna beliau sudah di kemuncak pencapaian ('we've made it') sebagai seorang penulis.

"Pertama sekali, saya melihat diri saya sebagai seorang penulis. Anugerah ini tidak merubah apa-apa, saya perlu terus mencabar diri untuk menghasilkan karya lebih baik," kata Encik Raihan dari set penggambaran filem terbarunya berjudul 'Ibu'.

"Yang lebih istimewa lagi, saya dapat khabar baik (kemenangan ini) genap setahun selepas saya mulakan penggambaran bagi SR115, pertengahan Oktober lalu," tambah beliau.

PAPAHAN MENANG 2 ANUGERAH, MEDIACORP 'BOLOT' 28

Kemenangan Raihan bagi siri drama SR115 merupakan antara 28 Anugerah Kebangsaan yang digondol Mediacorp daripada 47 kategori.

Mohammad Shahril Dzuikeply, pengarah fotografi dari Papahan Films, membawa pulang anugerah Sinematografi terbaik bagi siri 'Silo' lakonan Danial Ashriq, yang ditayangkan di wadah Toggle.

AAA mengiktiraf industri-industri kreatif atas pencapaian rekaan kandungan dan penerbitan media. Ia juga meraikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang media termasuk televisyen, digital, pengstriman dan dalam bentuk teknologi baru dari pelbagai negara seantero dunia.

Para pemenang anugerah kebangsaan itu akan berentap dengan 15 negara lain pada 6 dan 7 Disember ini di Singapura sempena Pesta Media Singapura bagi trofi emas AAA.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa