Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³@Jalan Besar fokus kepada usaha pertingkat celik digital, kesihatan mental penduduk

Sebuah pusat sehenti bagi memenuhi dan menampung keperluan penduduk yang kian berubah-ubah telah dilancarkan di bahagian tengah Singapura pada Ahad (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah pusat sehenti bagi memenuhi dan menampung keperluan penduduk yang kian berubah-ubah telah dilancarkan di bahagian tengah Singapura pada Ahad (7 Feb).

M³@Jalan Besar bermatlamat untuk saling melengkapi dan menyelaraskan usaha ketujuh-tujuh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di GRC Jalan Besar.

Rangkaian terbaru di bawah naungan MUIS, MESRA dan MENDAKI itu bertujuan untuk menyatukan kepakaran dan pengalaman relawan Melayu/Islam untuk mencetuskan inspirasi kepada satu usaha kolektif.

Gabungan itu bagi membantu masyarakat dan para penduduk di estet-estet perumahan dan kawasan-kawasan kejiranan.

Tenaga seramai 39 relawan dari pelbagai badan Melayu/Islam termasuk masjid dan pertubuhan sosial digembleng untuk mewujudkan program-program kemasyarakatan lebih khusus yang berupaya memenuhi keperluan para penduduk Jalan Besar.

Antaranya termasuk Persatuan Bertindak Ginjal Masyarakat Islam (MKAC), Favtech Media, Pertubuhan Antara Agama (IRO), MifSha Kids, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

KEPIMPINAN SHAH REZA DIHARAP BANTU CAPAI MATLAMAT

Di samping menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan, M³@Jalan Besar juga bermatlamat untuk meningkatkan tahap celik digital dan kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut yang kebanyakannya adalah warga emas.

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat Zahid and Shah Group, Encik Mohamed Shah Reza sebagai pengerusi M³@Jalan Besar diharap akan memastikan matlamat tersebut tercapai.

Anggota Parlimen GRC Jalan Besar yang juga Penasihat M³@Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah juga yakin dengan kebolehan beliau.

"Saya rasa Shah Reza itu dengan pengalaman beliau di media digital seumpamanya akan menolong kita dalam pelan-pelan celik digital kita dan saya rasa ini adalah penting.

"Sebenarnya M³ ini akan menambah dari segi pengalaman yang mereka ada di dalam jawatankuasa itu untuk lebih menolong organisasi yang sudah sedia ada. Seumpamanya mereka di masjid, kita sudah menggunakan kolaborasi ini dengan idea-idea baru mungkin. Ataupun kita akan menggunakan program yang sedia ada untuk meningkatkan lagi prestasi," ujar Dr Wan Rizal.

"Ketika melakukan lawatan dari rumah ke rumah, berkunjung, berbual dengan penduduk-penduduk Jalan Besar, kami mendapati mungkin ada masalah berhubung akses kepada bantuan-bantuan yang ada. Di sini M³@Jalan Besar mula mengambil peluang untuk memperkenalkan kepada mereka apakah program-program yang sedia ada. Kami juga mengambil peluang ini untuk melakarkan program-program baru atau inisiatif-inisiatif baru yang dapat membantu mereka dengan lebih baik lagi," kata Encik Shah Reza yang juga pengasas bersama Forum Belia Islam (MYF).

'MARI KITA #DOGOOD' PUPUK KEHARMONIAN ANTARA MASYARAKAT BERBILANG KAUM, AGAMA

Sempena pelancaran M³@Jalan Besar, satu acara amal silang agama turut dianjurkan.

Diberi nama 'Mari Kita #DoGood 2021', para penasihat pertubuhan akar umbi GRC Jalan Besar, Cik Josephine Teo, Dr Wan Rizal, Encik Heng Chee How dan Cik Denise Phua bersama dengan para relawan melakukan lawatan dari rumah ke rumah di dua blok flat sewa 61 dan 62 di Geylang Bahru.

Seramai 250 keluarga menerima pek habuan berisi beras, gula, biskut, mi segera dan barangan keperluan yang lain.

Inisiatif tersebut bertujuan menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama untuk sama-sama membantu jiran tetangga yang kurang bernasib baik di Jalan Besar.

Mengalu-alukan usaha murni tersebut, Dr Wan Rizal menambah: "Matlamat kita adalah bukan sahaja untuk memberi penduduk-penduduk makanan seumpamanya, tetapi untuk menyatukan ramai di antara masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk bekerjasama menolong penduduk-penduduk di GRC Jalan Besar. Ini adalah penting kerana sebagai rakyat Singapura, kita tidak boleh lari dengan fabrik agama dan bangsa. Jadi kalau boleh memang saya mahukan semua bergabung dan menolong penduduk-penduduk." 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan