Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³@Geylang Serai tumpu usaha bina masyarakat prihatin; pupuk pembelajaran sepanjang hayat, galak gaya hidup sihat

M³@Geylang Serai dilancarkan secara rasmi hari ini (23 Jan) dengan pusat sehenti itu merupakan M³@Bandar yang kesembilan ditubuhkan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
02:12 Min
M³@Geylang Serai dilancarkan secara rasmi hari ini (23 Jan) dengan pusat sehenti itu merupakan M³@Bandar yang kesembilan ditubuhkan di Singapura.

SINGAPURA: M³@Geylang Serai dilancarkan secara rasmi hari ini (23 Jan) dengan pusat sehenti itu merupakan M³@Bandar yang kesembilan ditubuhkan di Singapura.

M³@Bandar adalah rangkaian di bawah naungan MUIS, MESRA dan MENDAKI yang menggembleng tenaga, kepakaran dan rangkaian relawan Melayu/Islam untuk membantu masyarakat di estet-estet perumahan dan kawasan-kawasan kejiranan.

Inisiatif tersebut bermatlamat untuk membawa program-program kemasyarakatan ke estet-estet perumahan dan kawasan-kawasan kejiranan di samping membuka peluang kepada para relawan untuk mendampingi dan membantu para penduduk yang memerlukan.

3 BIDANG TUMPUAN M³@GEYLANG SERAI

Bagi M³@Geylang Serai, bidang tumpuannya yang tersendiri adalah untuk membina sebuah masyarakat yang prihatin, di samping memupuk pembelajaran sepanjang hayat dan mengajak penduduk supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis pelancaran itu, Datuk Bandar CDC Tenggara Mohd Fahmi Aliman menyifatkan M³@Geylang Serai sebagai sesuatu yang unik kerana ia dibangunkan di kawasan yang menjadi nadi masyarakat Melayu/Islam iaitu Wisma Geylang Serai.

Lantaran itu, beliau menggesa para relawan supaya mendampingi lebih ramai penduduk Melayu/Islam di kawasan tersebut bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan sebaik-baiknya ekosistem sokongan yang disediakan.

"Bantuan bukan saja datang daripada M³ tetapi kita cuba menyatupadukan atau menggabungkan sumber dan aset yang lain seperti KURNIA, pertubuhan Melayu/Islam yang lain yang ada di sini.

"Dari situ, kami dapat menyatupadukan dan memberikan mereka pertolongan yang agak holistik kepada masyarakat Melayu kita di Singapura, Geylang Serai ini. Jadi itulah yang bagi saya unik dan lain daripada di tempat lain," ujar beliau. 

Encik Fahmi menambah bahawa Jawatankuasa M³@Geylang Serai, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan karyawan, guru dan pemimpin kesatuan, akan menggabungkan sumber-sumber dan tenaga relawan di divisyen Geylang Serai, Kembangan-Chai Chee dan Marine Parade untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan yang akan menepati matlamat yang disasarkan.

Bagi memastikan tiada seorang pun penduduk yang terlepas daripada jaringan bantuan sosial, pasukan M³@Geylang Serai sudah mula melakukan lawatan dari rumah ke rumah di kawasan Eunos.

INGIN JADIKAN M³@GEYLANG SERAI SEBAGAI SEBUAH PUSAT SEHENTI

Pengerusi M³@Geylang Serai Encik Fawzi Ishak berkata usaha mendampingi penduduk sebenarnya sudah dimulakan sejak setahun yang lalu.

Malah, tinjauan isi rumah juga sudah dijalankan bagi memastikan para penduduk yang memerlukan bantuan dapat dirujukkan kepada badan bantu diri yang sesuai.

"Melalui usaha ini, M³@Geylang Serai akan menjadi tempat rujukan mereka yang pertama dan terakhir, atau pusat sehenti or 'one stop centre', tanpa membiarkan para penduduk kita tertanya-tanya atau tercari-cari bantuan yang mereka perlukan," ujar beliau.

Selain itu, Encik Fawzi menambah bahawa pasukannya juga ingin menyokong usaha masyarakat untuk melestarikan budaya warisan Melayu.

Sehubungan itu, Jawatankuasa M³@Geylang Serai akan bekerjasama dengan para penduduk, kumpulan seni dan bakat muda untuk menyemarakkan dan memartabatkan budaya Melayu di Geylang Serai melalui penganjuran acara-acara berunsur seni, tarian, sukan dan muzik.

Ini supaya masyarakat secara amnya lebih menghargai dan dapat terus menikmati dan menghayati kekayaan khazanah budaya Melayu, kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa