M³@Geylang Serai mahu hidupkan semula seni tradisional
Penubuhan M³@Geylang Serai, yang akan dipimpin oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman, akan mempunyai tiga teras tumpuan.
AP GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman. (Gambar: Petikan dari video)
SINGAPURA: Penubuhan M³@Geylang Serai, yang akan dipimpin oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman, akan mempunyai tiga teras tumpuan.
Ketiga-tiga teras tersebut adalah masyarakat penyayang, pembelajaran sepanjang hayat dan gaya hidup sihat, kata beliau kepada media selepas satu sesi online bersama para pemimpin masyarakat Melayu/Islam tempatan semalam (23 Sep).
Encik Fahmi, yang juga merupakan Datuk Bandar Daerah Tenggara, berkata bahawa buat masa ini tumpuan pertamanya adalah untuk "berbalik kepada asas", dengan memastikan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu MAEC di bawah M³@Geylang Serai terus mendekatkan diri kepada masyarakat.
Minggu lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan peralihan kuasa dan tanggungjawab dalam beberapa pertubuhan masyarakat kepada lima AP Melayu.
Ini termasuk tanggungjawab memimpin M³ baru di Geylang Serai yang diberikan kepada Encik Fahmi.
Encik Fahmi menekankan demikian menyusuli perkongsian perancangan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga penasihat Majlis Penyelaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).
Dr Maliki menyatakan bahawa beliau mahu menghidupkan semua "suasana kampung" di mana para sukarelawan akar umbi dilatih untuk lebih mendekati anggota masyarakat di kejiranan mereka supaya dasar-dasar dan skim bantuan pemerintah dapat disampaikan dan dimanfaatkan oleh para penduduk.
Encik Fahmi menekankan ini penting kerana berdasarkan pengalaman beliau dan pasukan M³@Bedok semasa melakukan lawatan ke sebanyak 500 rumah, hanya 50 peratus penduduk yang tahu tentang bantuan yang disediakan pemerintah.
"Ini menunjukkan bahawa ramai yang kurang tahu apakah pertolongan yg ada di luar sana. Apakah agensi yang boleh membantu mereka. Sebab itu kita perlukan MAEC untuk meningkatkan usaha mengenali anggota masyarakat," jelas Encik Fahmi.
Selain itu, Encik Fahmi berharap agar taraf kesenian Melayu dapat terus dijulang tinggi menerusi usaha-usaha yang akan dijalankan di bawah M³@Geylang Serai.
"Yang kedua, untuk mereka (MAEC) mencari semula di manakah kumpulan-kumpulan tradisional dahulu yang mereka banyak seperti ghazal, seperti tarian tradisional untuk mereka terus bergabung kembali (dan) terus dapat mempertingkatkan lagi atau menaikkan lagi institusi atau hiburan di Geylang Serai ini," ujar Encik Fahmi.
Visi beliau adalah untuk menjadikan M³@Geylang Serai sebagai tempat rujukan untuk mengetahui tentang seni dan kebudayaan Melayu.
Encik Fahmi turut merancang untuk menonjolkan keunikan Geylang Serai, di mana "terdapat sekitar 300 pertubuhan agama".
"Saya ingin membawa mereka (para sukarelawan) untuk memahami apakah tempat-tempat yang ada di sini, menggunakan sumber, platform yang ada untuk memberikan mereka pendidikan atau kesedaran mengenai apakah program-program atau agama-agama yang ada di sini. Itu akan mempertingkatkan lagi atau membangunkan lagi fahaman kita kepada agama-agama lain," kongsi Encik Fahmi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.