M³@Bandar "tebar sayap" ke Bishan-Toa Payoh dan Jalan Besar- Dr Maliki
Dua lagi M³@Bandar di Bishan-Toa dan Jalan Besar bakal ditubuhkan pada awal tahun depan; yang terbaru selepas M³@Geylang Serai.
SINGAPURA: Dua lagi M³@Bandar di Bishan-Toa dan Jalan Besar bakal ditubuhkan pada awal tahun depan; yang terbaru selepas M³@Geylang Serai.
Ini menjadikan 11 M³@Bandar kesemuanya ditubuhkan di bawah rangkaian kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), M³.
Demikian diumumkan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman dalam satu wawancara bersama pihak media pada Jumaat (18 Dis).
"Kami ingin terus membuka sayap M³ untuk mendekati anggota masyarakat Melayu/Islam kita, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan menerusi M³@Bandar. Pertama, kami akan mendekati mereka yang berada dalam golongan bawahan terutama mereka yang tinggal di flat-flat sewa. Kami ingin memastikan bahawa kita faham apakah cabaran mereka, lebih-lebih lagi dalam pasca COVID-19 ini," kata Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
"Dalam keadaan COVID-19, kita mendapati mereka mempunyai masalah kewangan kerana pekerjaan mereka, anak-anak mereka mungkin terganggu dari segi persekolahan, ramai yang mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekolahan di rumah dan sebagainya," jelas Dr Maliki.
Penubuhan M³@Geylang Serai diumumkan lebih awal sebelum ini dan dipimpin oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman.
Anggota Parlimen bagi GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat masing-masing dilantik selaku penasihat dua rangkaian M³@Bandar terbaru itu.
KESIHATAN MENTAL DAN CELIK DIGITAL ANTARA TUMPUAN DI JALAN BESAR
Berkongsi rancangannya bagi M³@Jalan Besar, Dr Wan Rizal memberitahu BERITAmediacorp bahawa selain soal pendidikan dan pekerjaan, beliau akan juga memberikan tumpuan kepada masalah kesihatan mental dan celik digital.
"Disebab COVID-19 ini ramai yang telah terjejas, jadi kami mahu menjaga kesihatan kesihatan mental mereka. Sekitar 60 peratus penduduk Jalan Besar merupakan warga emas. Jadi penting untuk membantu mereka menjadi celik digital," kata beliau.
Tambah beliau, kawasan tersebut sedang melalui pembaharuan dengan lebih banyak flat baru dibangunkan.
Oleh itu, program M³@Jalan Besar akan disesuaikan nanti untuk memenuhi juga keperluan profil penduduk yang baru.
PENUBUHAN M³@BISHAN-TOA-PAYOH RANCAKKAN USAHA SEDIA ADA
AP bagi Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat berkata beliau sangat mengalu-alukan penubuhan M³@Bishan-Toa Payoh.
"Kami sudahpun menjalankan pelbagai program yang ditawarkan di peringkat nasional seperti pendidikan dan bantuan untuk penduduk yang terjejas akibat COVID-19."
"Kami akan dapat memanfaatkan rangkaian M³@Bandar serta rakan-rakan kongsi seperti masjid-masjid di kawasan ini untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha yang sedia ada untuk penduduk Melayu/Islam khususnya," kata beliau.
Selain itu, beliau bercadang untuk menarik lebih ramai golongan karyawan Melayu/Islam dari kawasan itu untuk melibatkan diri dalam usaha membantu masyarakat di kawasan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.