Skip to main content

Singapura

Lydia Azeana Mohd Dahlan sandang Anugerah Ibu Teladan Jamiyah SG, Jean Ling Ching Yee pula Anugerah Ibu Muda Teladan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebagai ibu tunggal kepada tiga anak dengan keperluan khas, Cik Lydia Azeana Mohd Dahlan, 45 tahun, menunjukkan ketabahan dan kekuatan yang luar biasa dalam kehidupan sehariannya.

TABAH HADAPI CABARAN BESARKAN ANAK-ANAK BERKEPERLUAN KHAS

Beliau sendiri telah dibesarkan dengan suasana yang kurang sempurna - tidak melanjutkan pengajian sekolah kerana kekurangan sokongan.

Namun, beliau bertekad untuk tidak membiarkan anak-anaknya melalui nasib yang serupa.

Beliau berusaha keras untuk memberikan sokongan dan dorongan agar anak-anaknya menikmati kehidupan yang lebih baik.
 
Related article image

Cik Lydia mengambil kursus psikologi agar dapat memberikan sokongan emosi yang lebih baik kepada anak-anaknya.

Semua itu dilakukan sambil beliau mengimbangi pengajian dan pekerjaan separuh masa.

Usaha dan ketekunannya dalam menghadapi pelbagai cabaran menjadikan beliau calon terbaik untuk Anugerah Ibu Teladan Jamiyah tahun ini.

Cik Lydia berkata: 'Saya masih belum boleh menerima kenyataan saya pemenang. Saya masih terkejut. Tetapi sebenar-benar pemenang anugerah ini adalah anak-anak saya sebab mereka yang membuka jalan kepada orang sekarang ini melihat saya. Kerana mereka, saya menjadi ibu."

Cik Lydia menyedari bahawa membesarkan anak-anak pasti menimbulkan bebanan emosi.

Namun, beliau melihatnya sebagai pengalaman berharga yang turut memberikan pelajaran penting dalam peranannya sebagai seorang ibu.

"Setiap hari adalah sesuatu pelajaran. Ia bukan sesuatu yang susah tetapi satu fasa kehidupan yang saya perlu tempuh. Ia membuat saya belajar bagaimana untuk mengharunginya. Mungkin hari ini saya boleh gagal tetapi hari esok, saya akan cuba menerapkan apa yang saya lalui. Ia satu pembakar semangat untuk meneruskan kehidupan.


Selain menjalankan tanggungjawab keluarganya, Cik Lydia juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, termasuk menjadi relawan di Khidmat Penjara Singapura (SPS).

Related article image
Cik Lydia terpilih sebagai pemenang daripada lima finalis dan meraih hadiah wang tunai sebanyak S$6,000 serta sebuah piala.

Para finalis lain membawa pulang wang tunai sebanyak S$2,000.
Related article image
PENGORBANAN IBU LUMPUH UNTUK BESARKAN ANAK-ANAK

Anugerah Ibu Muda Teladan diberikan kepada Cik Jean Ling Ching Yee, 40 tahun, yang menerima S$2,000 serta sebuah piala.

Anugerah itu dikhaskan untuk ibu-ibu di bawah usia 40 tahun yang menunjukkan keupayaan cemerlang dalam mengimbangi tuntutan kerja, khidmat masyarakat, dan dedikasi kepada keluarga.

"Saya sangat terkejut dapat menerima anugerah ini. Semua ibu adalah ibu yang cemerlang. Terima kasih kepada Jamiyah Singapura kerana membuat saya rasa istimewa."

Pada usia 30 tahun, Cik Jean, yang gemar bersukan dan melakukan aktiviti lasak, menghadapi ujian berat apabila kecederaan saraf tunjang menyebabkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah.

Namun, beliau tidak membiarkan keadaan fizikalnya menghalang beliau daripada membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Banyak perubahan dan penyesuaian yang perlu dilakukannya untuk mengharungi kehidupan dalam keadaannya itu.

"Secara fizikal, memang saya tidak boleh melakukan banyak perkara. Tetapi saya menggunakan jiwa saya untuk berbual dengan anak-anak saya bagaimana untuk menjadi insan yang baik. Saya mengajar mereka bahawa mereka tidak perlu ada aspek fizikal yang sempurna untuk menunjukkan kebaikan kepada orang lain," kata Cik Jean.

Para finalis lain kategori Ibu Muda Teladan membawa pulang wang tunai S$1,000.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita