Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lumba F1 Grand Prix S'pura bakal tarik jumlah penonton terbesar sejak 2008, tiket dijangka habis dijual

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lumba Formula 1 Grand Prix Singapura bakal menerima jumlah penonton terbanyak sejak perlumbaan sebelah malam pertama pada 2008 dengan tiket untuk edisi tahun ini dijangka habis dijual.

Memberikan perkembangan itu pada Sabtu (27 Ogos), Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata penjualan tiket itu adalah isyarat jelas bahawa Singapura "kembali kukuh" dan bersedia untuk menganjurkan acara bertaraf dunia susulan pandemik COVID-19.

"Selepas dibatalkan selama dua tahun, lumba Formula 1 Grand Prix Singapura tahun ini dijangka akan membuat kemunculan semula yang sangat baik. Penjualan tiket setakat ini sangat memberangsangkan," kata Encik Iswaran kepada wartawan di satu acara masyarakat bertemakan F1 di West Coast di mana beliau juga merupakan Anggota Parlimen kawasan undi itu.

"Penjualan tiket tahun ini sudah melebihi jumlah pada 2019. Ini bermakna kami akan menyaksikan jumlah penonton terbesar di Grand Prix Singapura sejak acara sulung perlumbaan itu pada 2008," tambah beliau.

"Saya rasa ini adalah isyarat jelas minat dan permintaan peminat di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi acara sukan dan hiburan seperti ini."

Grand Prix Singapura dibatalkan pada 2020 dan 2021 dek pandemik COVID-19.

Acara tahun ini akan diadakan dari 30 September hingga 2 Oktober selepas kontrak dimeterai pada Januari bagi Singapura menganjurkan perlumbaan Formula 1 Grand Prix untuk tujuh tahun lagi.
"Penganjur SGP menjangkakan tiket habis dijual apabila menjelang hujung minggu berkenaan dan paling penting lagi ia adalah isyarat jelas Singapura sudah kembali teguh," kata Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Encik Iswaran menambah bahawa lebih daripada 40 peratus penonton adalah dari luar negara dan ia tidak dijangka berubah atau mungkin lebih ramai tahun ini.
Merujuk kepada aktiviti yang bertemakan F1 di Kelab Masyarakat West Coast, Encik Iswaran berkata pelibatan masyarakat adalah bahagian penting dalam acara F1.

"Tujuannya ialah untuk membawa keseronokan pengalaman F1 ke semua bahagian Singapura termasuk di kawasan kejiranan," kata beliau.

Tambahnya pameran bergerak trak GP dengan simulator F1 telah singgah ke kira-kira 17 lokasi, termasuk kelab Masyarakat dan sekolah. Tayangan F1 juga diadakan di Suntec City, PLQ Mall serta Dempsey dan . bakal singgah di lebih banyak lokasi.

Encik Iswaran berkata perlumbaan Grand Prix turut menarik aktiviti lain seperti acara mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) dan pelbagai persidangan lain.

Tahun ini, Singapura akan menjadi tuan rumah Sidang Puncak Institut Asia Milken serta Persidangan CEO Global Forbes. Kedua-dua persidangan itu akan diadakan beberapa hari sebelum perlumbaan Grand Prix Singapura.

Encik Iswaran berkata banyak syarikat kecil dan sederhana (SME), kontraktor dan penyedia perkhidmatan tempatan menyokong penganjuran perlumbaan itu, melibatkan kira-kira 30,000 orang.

Menjawab pertanyaan mengenai kesan perlumbaan itu terhadap alam sekitar, Encik Iswaran menekankan bahawa usaha kemampanan adalah objektif utama bagi Singapura.

Beliau menarik perhatian bahawa kebanyakan pasukan F1 sudah membuat aturan dengan pembekal untuk menggunakan bahan api bio dan bahan api mampan yang lain.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan