Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lulusan pengajian tinggi bekerja dalam institusi jagaan kesihatan tidak dibenar hadiri konvokesyen secara fizikal

Pihak berkuasa melarang para lulusan pengajian tinggi yang sudahpun mula bekerja di institusi jagaan kesihatan daripada menghadiri majlis konvokesyen mereka minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lulusan pengajian tinggi bekerja dalam institusi jagaan kesihatan tidak dibenar hadiri konvokesyen secara fizikal

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 07 May 2021 08:34AM Dikemas Kini : 07 May 2021 08:35AM

SINGAPURA: Pihak berkuasa melarang para lulusan pengajian tinggi yang sudahpun mula bekerja di institusi jagaan kesihatan daripada menghadiri majlis konvokesyen mereka minggu ini. Langkah itu diumumkan sejurus sebelum peraturan keselamatan COVID-19 yang lebih ketat dikuatkuasakan pada Sabtu (8 Mei), yang mewajibkan majlis seperti itu ditukar menjadi acara maya.

Para lulusan termasuk mereka yang bekerja dalam peranan menguruskan pesakit secara langsung mahupun sebaliknya.

Arahan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) itu diterbitkan di laman web kesemua politeknik di Singapura.

Ia menyatakan semua lulusan yang bekerja di institusi jagaan kesihatan - seperti hospital, klinik-klinik perubatan dan pergigian, rumah rawatan dan farmasi runcit - tidak dibenarkan menghadiri majlis konvokesyen mereka yang akan diadakan bulan ini.

Mediacorp difahamkan arahan yang dikeluarkan pada hujung minggu lalu menjejas beberapa majlis fizikal yang sudahpun berlangsung sejak Isnin.

Majlis konvokesyen bagi lima politeknik di Singapura sudahpun bermula minggu ini manakala majlis konvokesyen Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) diadakan dari 29 April hingga 6 Mei.

Pada Selasa, pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 mengumumkan langkah-langkah yang diperketatkan berikutan lonjakan pada penularan COVID-19 tempatan. Langkah-langkah itu yang akan berkuat kuasa Sabtu ini termasuk mengecilkan saiz perhimpunan sosial serta juga jumlah tetamu yang berkunjung ke isi rumah setiap hari daripada had lapan orang kepada lima sahaja.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga mengumumkan pada hari yang sama bahawa semua majlis konvokesyen yang diadakan mulai Sabtu perlu ditukar kepada majlis maya. Ini antara siri langkah berjaga-jaga lain yang akan dilaksanakan ke atas semua sekolah.

SUSS mengadakan majlis konvokesyen terakhir bagi kohort graduannya pada Khamis dan universiti itu juga sudahpun memberitahu para mahasiswa serta tetamu terjejas supaya tidak menghadirinya sambil merujuk kepada arahan sama oleh MOH.

Notis itu menyatakan langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga sejajar dengan garis panduan MOH kepada para pekerja jagaan kesihatan untuk mengurangkan interaksi sosial antara pasukan berpecah dan institusi berbeza baik sebelum mahupun selepas waktu kerja.

"Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah dipertingkat menyeluruh ke atas sektor jagaan kesihatan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam masyarakat dan silang institusi jagaan kesihatan," jelasnya.

Tiga daripada lima politeknik di Singapura - Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann dan Politeknik Republik - menawarkan kursus diploma berkaitan jagaan kesihatan.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut majlis konvokesyen terganggu dek pandemik COVID-19.

April lalu, The Straits Times melaporkan sekitar 26,000 pelajar dari lima politeknik dan 6,500 pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tamat pengajian tanpa sebarang majlis sedemikian. Sebaliknya, institusi-institusi itu membuat aturan bagi diploma, sijil dan transkrip untuk dihantarkan kepada para lulusan masing-masing.

Mediacorp sudahpun meminta ulasan daripada institusi pengajian tinggi tentang bagaimana para mahasiswa terjejas oleh arahan MOH tahun ini. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan