Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lulusan NYP mahu berbakti menerusi bidang khidmat sosial

Semangat relawan dalam diri lulusan Politeknik Nanyang, Adilah Mohamed Nur Azli, 19 tahun, mendorong beliau untuk menceburi bidang perkhidmatan sosial.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semangat relawan dalam diri lulusan Politeknik Nanyang, Adilah Mohamed Nur Azli, 19 tahun, mendorong beliau untuk menceburi bidang perkhidmatan sosial.

Tambahan pula, tugas kedua-dua ibu bapanya sebagai wira-wira barisan hadapan juga membakar semangat untuk belia tersebut berbakti kepada masyarakat.

"Kedua-dua ibu bapa saya bekerja sebagai paramedik. Jadi sejak kecil saya dengar cerita-cerita mereka selamatkan orang. Dan saya rasa saya juga ingin membuat begitu tapi bukan cara medikal tapi melalui perkhidmatan sosial.

"Ibu saya merupakan seorang sukarelawan yang sangat aktif. Dan dari kecil saya dibawa ke lawatan-lawatan rumah warga emas pada setiap Ramadan. Dan merekalah yang merupakan sumber inspirasi saya kerana mereka mendidik saya untuk merasa tanggungjawab kepada masyarakat," kata Adilah, anak sulung tiga beradik.

BELAJAR DI INSTITUSI SAMA

Adilah mengambil kursus Diploma dalam Sains Sosial (Kerja Sosial) di Politeknik Nanyang (NYP).

Selain tertarik dengan modul-modul yang ditawarkan, beliau juga mahu mengikut jejak langkah kedua-dua ibu bapanya yang pernah melanjutkan pelajaran mereka dalam peringkat diploma dan diploma lanjutan, beberapa tahun yang lalu.

"Mereka (ibu bapa) selalu kata bahawa pensyarah-pensyarah di sini selalu sangat menarik, memahami dan budaya di NYP selalu menarik.

"Diploma ini sangat bermakna kerana saya dapat berkhidmat balik kepada masyarakat dan saya rasa bila saya pergi ke rumah terbuka dan saya bercakap dengan pensyarah dan mereka berbincang tentang apakah modul-modul yang kita akan belajar, teori-teori, kemahiran kaunseling, saya rasa tertarik," ujarnya.

Bapanya, Encik Mohamed Nur Azli Mohamed Ramli, 47 tahun pernah mengambil program Diploma Lanjutan dalam Sains Kesihatan (Para-perubatan) secara sepenuh masa pada 2016.

"Apa yang kita memberitahu Adilah adalah pengesahan. Jadi kami yakin kepada pendekatan holistik NYP. Kami sedia maklum tentang kolaborasi dengan industri-industri setempat. Dan kami juga bangga dengan infrastruktur NYP seperti perpustakaan dan makmalnya," kata Encik Azli.

MASIH TERUS LAKUKAN KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN

Adilah antara kohort pelajar pertama yang langsung perlu melakukan pengajian dari rumah apabila masuk ke NYP disebabkan langkah-langkah keselamatan COVID-19.

Walaupun sibuk mengimbangi tuntutan sekolah pada ketika itu, beliau pastikan beliau masih dapat menyumbang masa dan tenaga bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Dalam tahun pertama saya di politeknik, saya menjadi relawan M³. Jadi saya membuat lawatan-lawatan rumah kepada keluarga di flat-flat sewa. Dan di tahun kedua dan ketiga di politeknik, saya bersama Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Ang Mo Kio dan Pusat Perkhidmatan Masyarakat Fei Yue untuk mengajar kanak-kanak yang kurang bernasib baik bagaimana untuk membaca dan mengajar tuisyen," ujar Adilah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Berkat usaha dan kecemerlangannya sepanjang tiga tahun pengajian, Adilah dianugerahkan diploma dengan merit baru-baru ini.

Beliau juga tercalon bagi Anugerah Kesihatan dan Sains Sosial Tay Eng Soon untuk tahun ini juga.

Antara insan yang paling berbangga atas pencapaian Adilah ialah ibunya, Cik Maisya Abdul Karim, 45 tahun.

"Harapan saya bagi dia supaya dia menjadi seorang insan yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Dan apa yang dia telah pelajari di NYP ini dan harus sentiasa merendah diri bila dia mendekati masyarakat. Dan InsyaAllah, terus belajar setinggi langit," kata ibunya, Cik Maisya Abdul Karim.

AKAN LANJUTKAN PELAJARAN DI NUS

Cik Maisya yang sedang mengikuti kursus ijazah dalam peringkat pekerjaan sosial berkongsi kepada BERITAmediacorp, pencapaian anaknya itu sendiri adalah inspirasi untuknya meneruskan pelajaran dalam bidang yang sama.

Adilah sudah diterima tawaran menuntut di Universiti Nasional Singapura dan akan memulakan pengajian di Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS) tidak lama lagi.

Beliau berazam untuk terus menyumbang dan berkhidmat dalam bidang pekerjaan khidmat sosial demi memperkasakan lebih ramai golongan yang memerlukan.

"Saya harap saya akan terus berbakti kepada masyarakat sebagai sukarelawan dan juga berinteraksi dengan lebih banyak golongan masyarakat seperti golongan kurang upaya ataupun warga emas dan saya harap saya boleh menghasilkan penyelidikan tentang sektor pekerjaan sosial ini," jelasnya.

Adilah merupakan antara 1,450 lulusan Sekolah Kesihatan dan Sains Sosial di NYP yang menerima diploma mereka tahun ini.

Secara keseluruhan, NYP menghasilkan lebih 5,000 lulusan peringkat diploma, diploma kepakaran dan diploma lanjutan daripada lebih 102 kursus.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan