Lulusan kohort pertama Diploma Seni Bina NYP ini mahu hasilkan reka bentuk masjid di Singapura
Dari menghasilkan pelbagai model LEGO, Aqil Akmal Mohd Fadli, 20 tahun, menyimpan impian untuk membina mahligainya sendiri satu hari nanti.

BERITAmediacorp: Dari menghasilkan pelbagai model LEGO, Aqil Akmal Mohd Fadli, 20 tahun, menyimpan impian untuk membina mahligainya sendiri satu hari nanti.
Itulah tekad lulusan kohort pertama kursus Diploma dalam Seni Bina dari Politeknik Nanyang (NYP) ini.
Minatnya dalam bidang seni bina mula berputik sejak dari kecil lagi.
Dengan menggenggam azam untuk menjadi seorang arkitek, beliau berjaya mendapat tempat dalam kohort pertama Diploma dalam Seni Bina di NYP, pada 2016.
PENGALAMAN 'MEMBUKA MATA' DI TAIWAN
Atas prestasinya yang cemerlang Aqil terpilih menjalani latihan amali di syarikat terkemuka Y.C. Hsu Architects and Associates di Taiwan pada 2019.

(Gambar: Aqil Akmal Mohd Fadli)
Sepanjang tiga bulan di sana, Aqil banyak menimba pengalaman dan ilmu dari rakan-rakan kerjanya walaupun tidak fasih berbahasa Mandarin.
Antara memori yang tidak dapat dilupakan termasuk menyambut Ramadan dan Syawal berjauhan dari keluarga, serta mengalami gegaran bumi sekuat 6.1 skala Richter.
"Ia pengalaman yang sangat menarik dan membuka mata saya dari segi kehidupan dan juga kerjaya. Walaupun saya tidak fasih berbahasa Mandarin, saya tetap menyertai mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Sesuatu yang paling saya suka ialah lawatan ke tapak-tapak binaan.
"Jadi apa yang membuat saya berminat untuk berkecimpung dalam bidang ini ialah saya berpeluang melihat projek-projek dari mula hingga akhir," kata Aqil.
Dengan meraih keputusan cemerlang gred GPA 3.8 mata, langkah seterusnya bagi Aqil adalah untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang yang sama sehinggalah ke peringkat Sarjana.
KHAIRUDIN SAHAROM SUMBER INSPIRASI JADI ARKITEK
Selain sokongan dari keluarga, satu-satunya anak lelaki dari tiga beradik ini juga ingin berkongsi kejayaannya bersama seorang lagi individu yang menjadi sumber inspirasi yang mendorong beliau menceburi bidang seni bina - arkitek dan personaliti tempatan Khairudin Saharom.
"(Tiga tahun lalu) Saya menghubungi Encik Khairudin Saharom melalui Instagram untuk mendapatkan nasihat-nasihat dan tips untuk meningkatkan kemahiran saya sebelum temu duga. Antara nasihat yang beliau kongsi adalah saya harus berpenuh semangat dengan bidang seni bina dan harus menunjukkan ini kepada penemu duga," jelas Aqil.

Turut bangga akan pencapaian Aqil, Encik Khairudin berkongsi harapannya buat pemuda berwawasan ini.
"Bakat yang kita ada sebagai seorang arkitek ini merupakan satu amanah yang dikurniakan oleh Tuhan. Saya gembira kerana dapat memainkan peranan yang kecil dan mendorong Aqil dan mendukung harapan beliau. Saya harap beliau akan terus maju dan berjaya dalam bidang ini," kata Encik Khairudin, yang juga pengasas syarikat seni bina, Kite Studio Architecture.
Aqil merupakan antara pelajar sekolah menengah yang diterima masuk ke kursus diploma di NYP menerusi laluan EAE.
Pendaftaran EAE untuk semua politeknik dibuka sekarang. Untuk para pelajar tahun akhir ITE, mereka boleh membuat permohonan mulai sekarang sehingga 17 Jun manakala pelajar menengah peringkat 'O' pula akan dibuka dari 25 Jun sehingga 1 Julai.
Butiran lanjut mengenai EAE boleh didapati di: https://eae.polytechnic.edu.sg/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.