Skip to main content

Singapura

Lulusan baharu bidang kejururawatan di SG layak terima bonus S$15,000

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2023 07:41PM Dikemas Kini : 19 Jul 2023 08:58PM
SINGAPURA: Lulusan baharu bidang kejururawatan di Singapura akan layak mendapat bonus berjumlah S$15,000. Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk membangunkan bekalan tenaga kerja jururawat di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (19 Jul).

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengumumkan demikian di majlis Anugerah Merit Jururawat (NMA) pada Rabu (19 Jul).

Bonus tersebut akan diberikan kepada lulusan baharu dari Institut Pengajian Tinggi di Singapura, yang tidak memohon biasiswa atau tajaan.

Untuk layak, mereka haruslah warga atau penduduk tetap Singapura, dan lulus pada 2023 dari Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Institut Teknologi Singapura (SIT); atau dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada Disember 2022.

Bonus tersebut adalah bagi lulusan yang menyertai kelompok jagaan kesihatan awam atau pertubuhan jagaan masyarakat yang dibiayai pemerintah antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.

Jururawat yang layak, akan menerima bonus dalam tiga bahagian iaitu S$5,000 setiap satu, yang dibayar pada permulaan pekerjaan dan penghujung tahun pertama dan kedua perkhidmatan mereka.


MOH menambah bahawa bonus S$15,000 itu akan juga dilanjutkan kepada lulusan jururawat baharu yang bekerja separuh masa di kelompok jagaan kesihatan awam atau pertubuhan jagaan masyarakat yang dibiayai pemerintah, sebelum menjadi pekerja sepenuh masa di institusi yang sama pada 2023.

Lulusan lelaki daripada kohort ITE yang tamat pengajian mereka pada Disember 2020 dan kohort tamat pengajian di politeknik pada Mac 2021, yang menyertai tenaga kerja kejururawatan tahun ini selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS) mereka, juga layak mendapat bonus tersebut.

Ini juga serupa bagi lulusan baharu jururarawat lelaki, yang perlu menjalani NS dan akan hanya menyertai tenaga kerja pada 2025.

"Selagi mereka menerima tawaran pekerjaan bersyarat menjelang 31 Dis, dan menyertai mana-mana institusi yang dinyatakan sebagai jururawat sepenuh masa sejurus selepas menamatkan NS mereka, mereka layak untuk mendapat bonus itu," kata MOH.

Kementerian Kesihatan menyatakan ia dalam landasan untuk mencapai sasaran menarik 4,000 jururawat tahun ini, yang pertama kali diumumkan Encik Ong pada November 2022.


Kementerian itu juga meninjau membangunkan skim untuk mengekalkan tenaga kerja jururawat buat jangka panjang.


LEBIH BANYAK KATIL DI HOSPITAL, RUMAH JAGAAN

MOH juga menyatakan ia akan menangani isu kapasiti katil di hospital jagaan akut dengan menambah 280 katil tahun ini.


Pembukaan Hospital Tan Tock Seng-Hab Jagaan Bersepadu (TTSH-ICH) pada September, dijangka menyediakan 120 katil; manakala 20 lagi akan ditambah di Hospital Alexandra, 100 di Hospital Khoo Tech Phuat dan 40 di Hospital Sengkang.

Sementara itu, hospital-hospital masyarakat, kemudahan jagaan dan rumah jagaan di merata Singapura akan menerima 800 katil baharu menjelang akhir tahun ini.
 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita