Lui Tuck Yew dilantik Duta S'pura ke China
Mantan menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew dilantik sebagai Duta Singapura ke China, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (31 Okt). Encik Lui menerima watikah pelantikannya dari Presiden Halimah Yacob hari ini.

Encik Lui Tuck Yew (kiri) menerima watikah pelantikan daripada Presiden Halimah Yacob pada 31 Okt (Gambar: Facebok/Halimah Yacob)
SINGAPURA: Mantan menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew dilantik sebagai Duta Singapura ke China, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (31 Okt).
Encik Lui menerima watikah pelantikannya dari Presiden Halimah Yacob hari ini.
Graduan Universiti Cambridge itu sebelum ini merupakan duta Singapura ke Jepun sejak 2017.
Encik Lui memegang jawatan Menteri Pengangkutan dari 2011 hingga 2015. Beliau juga ialah Menteri Kedua Pertahanan pada 2015. Beliau menggalas jawatan Menteri Perhubungan, Penerangan dan Kesenian dari 2009 hingga 2011, serta Menteri Kedua Ehwal Luar dari 2011 hingga 2012.
Mantan panglima angkatan tentera laut (RSN) itu mengundurkan diri dari politik setelah memutuskan tidak bertanding bagi pilihan raya 2015.
Sebelum menyertai politik, Encik Lui adalah CEO Lembaga Perumahan dan Pembangunan dan ketua eksekutif Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.
Beliau bakal mengambil alih dari Encik Stanley Loh, duta Singapura ke China sejak Mac 2012.
Encik Loh sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha MFA dan Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Singapura ke Amerika Syarikat. Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Akhbar kepada Encik Goh Chok Tong semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.