Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Luangkan masa pada Hari Kebangsaan dengan kegiatan digital anjuran NHB

Sempena hujung minggu Hari Kebangsaan ini (8 & 9 Ogos), Lembaga Warisan Negara (NHB) menawarkan pelbagai program secara fizikal mahupun online. Namun, ini kali pertama begitu banyak kegiatan Hari Kebangsaannya diadakan di wadah digital.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena hujung minggu Hari Kebangsaan ini (8 & 9 Ogos), Lembaga Warisan Negara (NHB) menawarkan pelbagai program secara fizikal mahupun online.

Namun, ini kali pertama begitu banyak kegiatan Hari Kebangsaannya diadakan di wadah digital.

"WE ARE SINGAPORE" VERSI TRADISIONAL MELAYU, INDIA, DAN CINA

Lagu ikonik Hari Kebangsaan "We are Singapore" diberi nafas segar menerusi alat muzik tradisional Melayu iaitu gambus, rebana dan akordion.

"Gubahan tradisional ataupun dengan unsur-unsur Melayu dapat mendekatkan masyarakat Melayu dengan Hari Kebangsaan kita sendiri dan memberikan sedikit kesesuaian dan perwakilan orang-orang Melayu," kata Encik Ariffin Abdullah, Pengasas dan Pengarah Artistik Sri Mahligai.

Versi Melayu dari pihak Taman Warisan Melayu itu akan digabungkan dengan versi kumpulan pemuzik berbangsa India dan Cina dari Pusat Warisan India (IHC) dan Dewan Peringatan Nanyang Sun Yat Sen (SYSNMH).

Semestinya, kerjasama antara hampir 20 anggota pemuzik itu menimbulkan pelbagai cabaran, ditambah lagi dengan pandemik COVID-19.

Encik Azrin Abdullah, Pengarah Muzik Sri Mahligai berkata: "Cabarannya ialah untuk memasukkan elemen-elemen muzik dari bangsa lain dalam lagu itu dan juga cabaran utama ialah tidak dapat berjumpa dengan mereka untuk menerangkan bagaimana lagu ini akan bergabung, macam mana bunyinya."

Video muzik itu akan dimuat naik ke Facebook ketiga-tiga kumpulan warisan tersebut pada 8 Ogos sempena Hari Kebangsaan.

SAJIAN KEGIATAN DIGITAL

Sekitar 10 kegiatan lain yang dilakukan secara digital termasuk inisiatif Kad Dagangan Digital.

Orang ramai akan dapat mengumpul kad-kad digital itu sambil mengenali sumbangan golongan perintis seperti Zubir Said, Tan Kah Kee dan S Rajaratnam.

Cik Asmah Alias, Pengurus Besar Taman Warisan Melayu berkata: "Kami berharap walaupun di dunia digital, walaupun dari rumah, mereka dapat masih mempelajari dengan lebih dalam mengenai misalnya sumbangan perintis-perintis kami dan juga mengenai sejarah dan warisan masyarakat-masyarakat lain."

Kegiatan-kegiatan lain seperti menonton filem-filem pendek atau mendapatkan pek warisan SG55 secara maya juga dapat dilakukan sepanjang bulan Ogos.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai 'Escape Room' secara maya.

Menerusi kegiatan itu, anda boleh mengenal pasti tugu-tugu negara menerusi permainan teka-teki.

Antara kegiatan lain termasuk 'Peneroka Warisan Edisi 2020' untuk golongan kanak-kanak, pertandingan dan kuiz Hari Kebangsaan, serta '@ Home Truly' yang merupakan pameran digital Muzium Negara Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan