Skip to main content

Singapura

LTA umum lebih 90% sistem ETA bas sudah pulih

Anggaran Waktu Membaca:
 LTA umum lebih 90% sistem ETA bas sudah pulih
Sistem Jangkaan Masa Ketibaan rosak sejak 10 Januari 2026. (Gambar: Facebook/Penguasa Pengangkutan Darat)
Diterbitkan : 07 Feb 2026 06:48PM Dikemas Kini : 07 Feb 2026 07:28PM

SINGAPURA: Ketersediaan masa ketibaan bas melalui sistem Anggaran Masa Ketibaan Bas (ETA) kini lebih 90 peratus pulih, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Sabtu (7 Feb).

"Kejadian di mana tiada masa ketibaan disediakan atau jarak masa lebih lama antara ketibaan setiap bas dijangka akan terus berkurangan apabila prestasi sistem Anggaran Masa Ketibaan Bas bertambah stabil," menurut LTA.

Sistem ETA menyediakan anggaran masa ketibaan bas di perhentian bas dan melalui aplikasi pengangkutan.

Ia tidak berfungsi sejak 10 Januari, dengan isu-isu teknikal menyebabkan masa menunggu yang lama dipaparkan.

LTA menyatakan ia sudah bekerjasama dengan kontraktor sistem tersebut untuk memulihkan prestasi sistem ETA, di mana bas-bas tidak dapat menghantar data lokasi kepada server pusat.

"Pemulihan itu melibatkan pembersihan cache memori dan pengemaskinian manual perisian tegar bagi pemancar pada 4,000 bas," menurut LTA, sambil menambah pemancar itu perlu digantikan dalam sesetengah kes.

"LTA juga mula menaik taraf sistem pengurusan tambang dan bas, yang dijangka selesai dalam tempoh dua tahun akan datang," ia menambah.

LTA pada asalnya menyatakan pada 22 Januari bahawa pemulihan sistem itu akan mengambil masa empat hari, menyusuli tetapan semula yang pertama pada 21 Januari.

LTA sebelum ini menyatakan para juruteranya dan kontraktor sistem ETA mengenal pasti "pembinaan cache memori" dalam sistem dalam bas, yang menjejas kira-kira separuh daripada  bas merentasi semua pengendali. 

Ia menambah juruteknik perlu dikerahkan untuk membaiki peranti dalam bas yang terjejas.

Sistem itu dihidupkan semula apabila khidmat penumpang bermula pada 23 Januari, namun anggaran masa ketibaan bas tidak tersedia sepenuhnya atau tepat kerana pemulihan dan ujian diteruskan.

Ia kemudian menyatakan pada 27 Januari bahawa sistem itu tidak dapat dipulihkan sepenuhnya sehingga awal minggu ini.

Ia kemudian menambah bahawa isu yang menjejas kira-kira 3,000 bas itu sudah selesai dan sistem itu akan "kembali pulih kepada 85 peratus" menjelang pagi 28 Januari.

Pada 27 Januari, LTA juga menyatakan lagi 1,000 bas didapati memerlukan kemas kini perisian secara manual.

Bas-bas terus beroperasi pada kekerapan biasa sepanjang tempoh tersebut.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita