Skip to main content

Singapura

LTA uji sistem AI bagi kesan secara automatik kenderaan di lorong bas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Aug 2025 06:55PM Dikemas Kini : 23 Aug 2025 09:32PM
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menguji sistem yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang meneliti rakaman kamera bas bagi mengesan dan mengenal pasti secara automatik sebarang kenderaan yang memasuki lorong bas semasa waktu operasi.

"Untuk meningkatkan keandalan dan keselamatan khidmat bas, LTA akan mempertingkatkan langkah-langkah penguatkuasaan terhadap sebarang kesalahan lalu lintas di laluan bas," menurut LTA pada Sabtu (23 Ogos).

Langkah baharu itu dilaksanakan menyusuli gesaan untuk mencari huraian pada 2024.

LTA menyatakan pihaknya akan terus menggalakkan kapten-kapten bas supaya melaporkan sebarang kesalahan melibatkan pemandu lain di lorong bas.

Ini seperti memandu di laluan bas tanpa kebenaran dan menghentikan kenderaan di laluan bas.

Pasukan Bertindak Perikatan Keselamatan Bas yang ditubuhkan pada Julai tahun lalu, mengumumkan saranannya pada Mac lalu.

Pada Sabtu, LTA menyatakan ia sudah bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi perikatan dan pihak berkepentingan lain untuk memperkenalkan perubahan secara berperingkat bagi menyokong para pemandu bas dan meningkatkan keselamatan.

Sejak 4 Ogos lalu, LTA juga merintis pengumuman keselamatan menerusi audio di 11 khidmat bas yang berkhidmat di kawasan dengan ramai penduduk warga emas atau sering digunakan oleh warga emas.

"Pengumuman itu mengingatkan para penumpang supaya memegang susur tangan dan tiang pemegang sebelum bas bergerak dari perhentian bas," ia menyatakan.

"LTA akan meneliti maklum balas dari para penumpang sebelum menilai sama ada inisiatif tersebut perlu diperluaskan kepada semua khidmat bas."

"Ciri-ciri ini dapat membantu meningkatkan kesedaran situasi kapten bas, dan memberi amaran lebih jelas kepada mereka tentang potensi risiko keselamatan, yang dapat bantu mencegah berlak kemalangan serius."

LTA menambah bas-bas sedia ada akan dilengkapi dengan teknologi tersebut "sewajarnya".

KAPTEN BAS

Program ulang kaji pandu selamat kapten bas dilancarkan oleh Akademi Bas Singapura pada Ogos 2022.

Kursus sehari itu bertujuan mengukuhkan budaya pandu selamat dan melengkapkan kapten-kapten bas dengan "sikap yang wajar" bagi menangani pengguna jalan raya yang lain dan situasi trafik yang berpotensi bahaya.

Pada Mac lalu, pasukan bertindak berkenaan menyarankan agar akademi itu menawarkan lebih banyak sesi program itu supaya ia boleh dihadiri oleh lebih ramai kapten bas.

LTA menyatakan pada Sabtu program ulang kaji itu akan ditambah daripada tiga kepada lima sesi dalam seminggu menjelang hujung tahun ini.

Sistem skor latihan selaras industri juga akan diperkenalkan menjelang hujung tahun 2026 untuk memastikan kapten-kapten bas menerima "jumlah latihan minimum setiap tahun".

"Selain itu, bagi mengiktiraf kapten-kapten bas yang secara konsisten mengamalkan/mencatatkan amalan pandu selamat, LTA bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam bagi memperkenalkan insentif pandu selamat yang berperingkat pada 2026," ia menambah.

LTA dan operasi pengangkutan awam mula melanjutkan durasi minimum waktu rehat kapten-kapten bas selama 30 minit.

Ini akan diperluaskan secara berperingkat kepada seluruh tenaga kerja kapten bas "dalam masa beberapa tahun akan datang", menurut LTA.

Encik Murali juga berkata masa operasi maksimum perkhidmatan bas yang baharu diperkenalkan dihadkan kepada dua jam atau kurang.

"Langkah ini dialu-alukan oleh kapten bas kami kerana ia secara langsung menangani keprihatinan mereka. Ini akan mengurangkan keperluan memandu tanpa henti.

"Laluan bas sedia ada yang beroperasi selama lebih dua jam sedang disemak dan akan disesuaikan sewajarnya," katanya.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita