Skip to main content

Singapura

LTA uji kaedah bantu penumpang cari pilihan perjalanan alternatif ketika gangguan MRT

Melakukan perjalanan sewaktu gangguan MRT dijangka menjadi lebih mudah pada masa akan datang.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jan 2026 06:12PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 03:15PM
SINGAPURA: Melakukan perjalanan sewaktu gangguan MRT dijangka menjadi lebih mudah pada masa akan datang.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menguji beberapa langkah baharu demi membantu para penumpang mencari pilihan perjalanan alternatif jika gangguan berlaku.

Ia dicadangkan oleh Pasukan Bertindak Keandalan Kereta Api, dengan tujuan meningkatkan cara-cara gangguan diuruskan.

Tanda arah digital yang digunakan bagi tujuan tersebut mungkin kelihatan sama seperti petanda dan poster yang biasanya dilihat di stesen-stesen MRT.

Tetapi ia dijangka membantu para penumpang tiba di destinasi dengan tepat, jika khidmat MRT terganggu.

Tanda arah digital tersebut sedang diuji di stesen MRT Serangoon, yang dilalui jumlah besar penumpang dari dua laluan MRT.

Turut diuji ialah skrin besar yang menunjukkan khidmat bas ulang-alik yang disediakan serta laluan MRT lain di pusat pertukaran tersebut.

Selain itu, papan tanda digital di bahagian atas yang digunakan juga boleh diubah mengikut keadaan di stesen MRT.

Beberapa peningkatan lain termasuk penggunaan anak panah yang berkelip-kelip, bagi menunjukkan jalan ke pusat perhatian bas yang betul bagi menaiki khidmat bas percuma.

"Penumpang seperti saya selalu mendengar lagu menggunakan 'earphones'. Jadi bila kita nampak petanda yang tertera di papan skrin, jadi saya rasa ia amat berguna dan ia akan membantu kami untuk tahu mana nak pergi," kata seorang penumpang.

"Jika para penumpang perlu menaiki khidmat bas seumpama itu, ia akan menjadi berguna kepada mereka, kerana mereka boleh melihat dengan jelas perjalanan ke arah bas itu," kata seorang lagi penumpang.

"Ia membantu tetapi jika anda tergesa-gesa, saya fikir ia tidak akan begitu membantu," kata seorang lagi penumpang berhubung langkah-langkah yang sedang diuji itu.

Dalam pada itu, langkah-langkah baharu itu juga boleh membantu dari segi pemulihan khidmat kereta api.

Misalnya, lampu yang memberi isyarat mengenai khidmat bas ulang-alik sebelum ini perlu diaktifkan secara manual.

Kini, ia boleh dilakukan dari jarak jauh, membolehkan kakitangan stesen MRT untuk memberi tumpuan kepada usaha untuk menghuraikan kegagalan yang berlaku.

LTA dan dua pengendali pengangkutan awam akan mengumpul maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah-langkah tersebut sebelum memperkenalkannya di stesen-stesen lain.
Sumber : CNA/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita