LTA tiada rancangan longgarkan khidmat kereta sewa privet rentas sempadan
Tiada rancangan untuk melonggarkan sepenuhnya pengangkutan rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat melalui khidmat tempah pengangkutan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Ahad (3 Ogos).
Teksi rentas sempadan kini hanya dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di satu lokasi yang ditetapkan di negara jiran – Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi Malaysia. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Namun, LTA menambah ia sedang menimbangkan penggunaan aplikasi tempah khidmat pengangkutan bagi tempahan perjalanan rentas sempadan dengan menaiki teksi-teksi berlesen dan menambah jumlah tempat untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Singapura dan Malaysia.
LTA menarik perhatian kepada laporan media di Malaysia baru-baru ini yang mencadangkan bahawa Singapura sedang menimbangkan untuk memperkenalkan khidmat pengangkutan rentas sempadan melalui khidmat tempah pengangkutan.
LTA menambah ia mahu menjelaskan aturan sedia ada dan perbincangan yang sedang dijalankan.
Para pegawai dari Singapura dan Malaysia mengadakan perbincangan mengenai aturan khidmat rentas sempadan pada Jumaat lalu (1 Ogos).
Isu membenarkan khidmat tempah pengangkutan untuk membawa penumpang merentas sempadan dibangkitkan dalam perbincangan itu.
LTA, bagaimanapun, menyatakan tiada kata putus dibuat berhubung isu tersebut.
"Walaupun kami terbuka kepada idea untuk mempertingkatkan pengalaman merentas sempadan, kami ingin menjelaskan bahawa LTA tiada rancangan untuk melonggarkan sepenuhnya pengangkutan rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat melalui khidmat tempah pengangkutan," menurut LTA.
The Malay Mail melaporkan pada Ahad (3 Ogos) bahawa Johor dan Singapura mencadangkan untuk memperkenalkan khidmat tempah pengangkutan rentas sempadan sebagai mod pengangkutan alternatif bagi para penumpang.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dinukil sebagai berkata usulan itu antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow.
Encik Onn Hafiz juga berkata khidmat yang diusulkan itu akan menawarkan pilihan khidmat tempah pengangkutan yang lebih fleksibel, serta bantu mengurangkan kesesakan.
LTA menyatakan dalam penjelasannya bahawa terdapat skim Teksi Rentas Sempadan Timbal Balik dilaksanakan yang membenarkan sehingga 200 teksi dari kedua-dua pihak untuk membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.
Teksi-teksi berlesen itu buat masa ini dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang hanya di tempat-tempat dikhususkan iaitu - Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi-teksi dari Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi-teksi dari Malaysia.
LTA menyatakan kuota sedia ada bagi skim teksi rentas sempadan itu belum digunakan sepenuhnya.
"Memandangkan terdapat permintaan bagi perjalanan rentas sempadan yang lebih mudah, kami akan menggalakkan pengambilan sepenuhnya kuota teksi-teksi berlesen," menurut LTA.
"Kami juga menimbangkan untuk menambah jumlah tempat untuk mengambil dan menurunkan penumpang di kedua-dua negara, dan menggunakan aplikasi khidmat tempah pengangkutan bagi tempahan perjalanan rentas sempadan menggunakan teksi-teksi berlesen."
LTA menyatakan dalam sebarang penyesuaian kepada rejim pengangkutan rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat, keutamaannya adalah untuk memenuhi pemintaan penumpang dengan lebih baik di samping melindungi kepentingan pemandu teksi dan khidmat sewa kereta di Singapura.
"Memandangkan skim teksi rentas sempadan itu adalah aturan timbal balik, sebarang perubahan memerlukan persetujuan dari kedua-dua pemerintah," ia menambah.
OPERASI BAS
Di mesyuarat itu, LTA menyatakan pihak berkuasa Malaysia juga memohon supaya khidmat bas rentas sempadan Singapura mula beroperasi dari Johor Bahru pada pukul 4.00 pagi.
LTA menyatakan ia sedang mengkaji sama ada waktu operasi khidmat bas itu boleh diubah bagi menangani kesesakan dan kesibukan lalu lintas pada waktu awal pagi.
"Satu pertimbangan utama adalah khidmat bas pertama harus sepadan dengan masa bermulanya perkhidmatan bas dan MRT setempat apabila ia tiba di Singapura.
"LTA sedang meninjau bersama pengendali bas rentas sempadan berhubung berkemungkinan memulakan masa operasi bas lebih awal, serta mendampingi pengendali khidmat bas privet berhubung minat mereka untuk mengendalikan perkhidmatan bas lebih awal pada tambang lebih tinggi."
SBS Transit dan SMRT memberitahu Mediacorp mereka sedang melibatkan kapten-kapten bas mereka berhubung permohonan itu.
Pada masa ini, masa operasi bas rentas sempadan paling awal pada hari biasa bermula pada pukul 5.00 pagi.
SBS Transit menyatakan ia perlu menimbangkan ketersediaan sumbernya manakala SMRT menyatakan ia mahu memastikan khidmatnya memenuhi keperluan penumpang di samping mengekalkan kemampanan operasi.
Keselamatan penumpang dan kesejahteraan bas-bas kapten juga adalah keutamaan utama, menurut SMRT.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.