Skip to main content

Singapura

LTA terbitkan lebih banyak penunjuk keandalan MRT, beri penumpang 'gambaran penuh' prestasi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Nov 2025 01:59PM Dikemas Kini : 21 Nov 2025 11:36PM
SINGAPURA: Tiga penunjuk tambahan bagi keandalan MRT akan diterbitkan untuk memberi gambaran yang "lebih menyeluruh" mengenai prestasi rangkaian MRT Singapura kepada pengguna.

Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (14 Nov).

Penunjuk-penunjuk ini dijejaki oleh LTA, tetapi tidak didedahkan kepada umum sehingga Jumaat.

Ia dibentangkan bersama dengan laporan keandalan MRT penguasa itu, yang kini dikeluarkan setiap bulan berbanding setiap suku tahun sebelum ini.

Antara petunjuk tambahan yang diterbitkan, Penyampaian Khidmat MRT mengukur jarak sebenar yang dilalui oleh MRT berbanding jarak yang dijadualkan, manakala metrik lain, Ketepatan Masa MRT, mengukur sejauh mana perjalanan MRT tamat tepat pada masanya.

Metrik ketiga mengukur anggaran jumlah dan perkadaran pengguna yang terjejas oleh gangguan melebihi 30 minit.

Ini menambah kepada metrik biasa Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF), yang mengukur purata jarak perjalanan MRT sebelum mengalami kerosakan yang menyebabkan kelengahan.

Sejak 2016, keandalan MRT dijejaki melalui MKBF, serta jumlah kelengahan perkhidmatan melebihi 30 minit.

Berbeza dengan MKBF, yang mempunyai sasaran 1 juta km untuk rangkaian MRT, petunjuk yang baru diterbitkan ini tidak disertakan dengan tanda aras (benchmark) atau sasaran.

Penelitian awam sudah meningkat selepas beberapa siri gangguan MRT awal tahun ini.

Pada bulan September, diumumkan bahawa pasukan bertindak keandalan MRT yang terdiri daripada LTA dan pengendali MRT SMRT dan SBS Transit akan ditubuhkan untuk menangani gangguan khidmat.

Pada lewat bulan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata di parlimen bahawa walaupun penunjuk baharu boleh menjadi "agak teknikal", beliau sudah meminta LTA untuk berkongsi mengenainya kepada umum.

"Kami akan bersikap telus, kerana kami mempunyai sistem yang baik, dan tiada apa-apa untuk disembunyikan," katanya ketika itu.

PENYAMPAIAN KHIDMAT MRT

Penyampaian Khidmat MRT mengukur jarak sebenar yang dilalui oleh MRT berbanding jarak yang dijadualkan, dinyatakan dalam bentuk peratusan.

Ini bermakna semakin tinggi Penyampaian Khidmat MRT itu, semakin tinggi keandalannya, kerana ini bermakna lebih banyak perjalanan MRT beroperasi mengikut jadual.

Walaupun MKBF merekodkan kilometer antara kegagalan, Penyampaian Khidmat MRT mencatat tahap gangguan khidmat.

Contohnya, gangguan yang lebih lama akan mengurangkan jarak perjalanan yang dilalui MRT mengikut jadual, justeru menurunkan angka tersebut.

Antara 2020 hingga 2023, angka penyampaian khidmat MRT adalah antara 99.71 peratus dengan 99.99 peratus merentasi lima laluan: Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur-Barat (EWL), Laluan Timur Laut (NEL), Laluan Circle (CCL), dan Laluan Downtown (DTL).

Bagaimanapun, bagi keseluruhan 2024, Penyampaian Khidmat MRT EWL menurun kepada 99.42 peratus.

Laluan lain berada pada 99.80 peratus atau lebih tinggi.

Tahun itu menyaksikan gangguan EWL selama enam hari yang menjejas kira-kira 500,000 perjalanan MRT.

Angka terkini untuk Penyampaian Khidmat MRT bagi September menunjukkan bahawa DTL mempunyai peratusan tertinggi pada 99.94 peratus, dan CCL mempunyai yang terendah pada 99.60 peratus.

Angka pada Ogos menunjukkan Penyampaian Khidmat MRT NEL merosot kepada 99.07 peratus.

Pada bulan itu, tiada khidmat MRT disediakan di sebahagian besar NEL selama tiga jam akibat masalah bekalan tenaga.

Di seluruh rangkaian pada September, angka Penyampaian Khidmat MRT adalah 99.83 peratus.

Ini lebih rendah daripada angka terkini bagi metro di bandar-bandar China (99.99 peratus) dan MTR Hong Kong (99.9 peratus), dan lebih tinggi daripada sistem lain seperti Metro Paris (99.35 peratus), Metro Melbourne (99.2 peratus), Kereta Api Bawah Tanah New York City (95.5 peratus), dan U-Bahn Berlin (93.15 peratus).

Laluan Thomson-East Coast (TEL) dikecualikan daripada metrik baharu itu, kerana ia masih dalam pembinaan dan peluasan dan "akan mengambil masa untuk stabil", menurut LTA.

KETEPATAN MASA MRT

Ketepatan Masa MRT mengukur peratusan perjalanan MRT yang menamatkan perjalanannya "tepat pada masanya" pada akhir setiap laluan atau di perhentian bagi menukar halanya, iaitu lebih kurang dua minit daripada yang dijadualkan.

Ketepatan Masa MRT dipengaruhi oleh gangguan khidmat, serta masalah operasi lain yang tidak mengakibatkan khidmat dihentikan sepenuhnya, seperti kelajuan perjalanan yang lebih perlahan disebabkan oleh kerosakan kecil pada isyarat atau landasan, tambah LTA.

Oleh itu, kadar Ketepatan Masa MRT yang lebih tinggi bermakna lebih banyak perjalanan tiba dalam tempoh masa yang ditetapkan, dan ini bermakna MRT adalah lebih andal.

Dari 2020 hingga 2024, Ketepatan Masa di laluan MRT Singapura adalah antara 98.85 peratus dan 99.93 peratus.

Antara 2021 hingga 2024, NEL mempunyai markah ketepatan masa terendah daripada lima laluan tersebut.

LTA menyatakan bahawa angka untuk NEL biasanya lebih rendah daripada laluan yang lebih panjang, kerana ia adalah laluan terpendek dalam rangkaian kereta api.

"Lebih mencabar untuk mengekalkan Ketepatan Masa MRT pada laluan yang lebih pendek, kerana pengendali mempunyai hanya sedikit masa untuk menyesuaikan kelajuan perjalanan," menurut LTA.

Secara keseluruhan, MRT Singapura mempunyai kadar Ketepatan Masa MRT 99.16 peratus pada September.

Ini adalah lebih rendah berbanding angka terkini dari metro di bandar-bandar China (99.99 peratus), Metro Seoul (99.99 peratus), MTR Hong Kong (99.9 peratus) dan Metro Taipei (99.41 peratus).

Kadar Ketepatan Masa MRT adalah lebih tinggi daripada Metro Tokyo (99 peratus), U-Bahn Berlin (98.88 peratus), Metro Melbourne (94.5 peratus), London Underground (91.6 peratus) dan Kereta Api Bawah Tanah New York City (85 peratus).

IMPAK KE ATAS PENUMPANG

Untuk gangguan melebihi 30 minit, LTA juga memberi anggaran tambahan mengenai bilangan penumpang yang terjejas, sama ada dalam angka mutlak dan sebagai perkadaran daripada jumlah penumpang harian untuk laluan yang terjejas.

Ini kerana tahap teruk gangguan boleh diukur bukan sahaja melalui tempohnya, tetapi juga bilangan dan perkadaran penumpang yang terjejas, menurut LTA.

Sebagai contoh, untuk gangguan NEL selama tiga jam pada bulan Ogos, lebih 50,000 penumpang terjejas, merangkumi 9.7 peratus daripada penumpang harian di sepanjang laluan itu.

Semasa gangguan CCL pada Mac, antara 5,000 dengan 50,000 penumpang terjejas, merangkumi 1.4 peratus daripada penumpang harian.

ANGKA BAHARU TANGANI KESAN PENGGUNA SECARA LANGSUNG: PENGANALISIS

Mengalu-alukan langkah terbaharu ini, Profesor Madya Raymond Ong, seorang penyelidik prasarana pengangkutan di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata penunjuk MKBF sedia ada "tidak memberikan terlalu banyak maklumat kepada pengguna".

Walaupun penunjuk itu memberitahu pengguna berapa lama operasi normal berlangsung antara kegagalan, ia tidak memberi petunjuk mengenai sejauh mana teruk setiap gangguan itu.

Angka baharu itu "menangani secara langsung" potensi kesan ke atas penumpang, seperti dalam mengukur peratusan khidmat MRT yang disampaikan, sama ada ia tepat pada masanya, dan bilangan pengguna yang terjejas dalam gangguan teruk.

Ditanya sama ada angka-angka itu - agak rapat, iaitu antara 96 dan 100 peratus untuk laluan MRT Singapura - tidak akan mempunyai banyak makna kepada pengguna, Profesor Madya Ong berkata bahawa tidak boleh dilupakan bahawa MRT "sepatutnya beroperasi pada 100 peratus".

Beliau berkata bahawa perbandingan perlu dibuat dengan laluan metro negara lain untuk menjadikannya lebih bermakna. Beliau menyatakan bahawa beberapa bandar Asia mempunyai angka yang lebih tinggi daripada Singapura.

Beliau menambah bahawa walaupun Singapura berjaya mengekalkan angka yang sihat bersama rakan-rakan Asia, laluan metro yang lebih lama seperti di New York dan London melihat peratusan yang lebih rendah pada lingkungan 90-an rendah dan bahkan 80-an.

Angka-angka ini menunjukkan bagaimana isu-isu seperti prasarana lama dan kekurangan tenaga kerja, sebagai contoh, boleh menyebabkan angka itu menurun. "Jangan ambil mudah angka-angka ini (di Singapura)," katanya.

Mengenai sama ada ia akan bermakna bagi LTA untuk menetapkan sasaran untuk angka baharu itu seperti yang dilakukan untuk MKBF, Profesor Madya Ong berkata bahawa adalah lebih penting untuk memahami faktor-faktor yang boleh menyebabkan penunjuk yang berbeza itu turun naik.

Beliau berkata terdapat "faktor semula jadi" yang boleh menyebabkan angka itu turun naik, yang boleh berkaitan dengan penyenggaraan, sistem operasi MRT, dan juga strategi operasi pengendali, seperti bagaimana mereka bertindak balas dan pulih apabila terdapat gangguan.

"Memahami punca adalah lebih penting daripada meletakkan sasaran atau peratusan minimum kemudian cuba mencapainya," katanya.

ANGKA MKBF TERKINI

LTA turut mengeluarkan angka MKBF bulanan terkini pada Jumaat.

Purata jarak terkini dalam kilometer yang dilalui antara kelengahan lebih lima minit untuk keseluruhan rangkaian MRT menurun kepada 1.671 juta pada September, daripada 1.74 juta pada Ogos.

Bagi setiap laluan pula, NSL menyaksikan penurunan bulanan terbesar dalam MKBF, daripada 1.648 juta pada Ogos kepada 1.236 juta pada September.

Peningkatan terbesar adalah pada CCL, yang menyaksikan MKBF laluan itu meningkat daripada 1.245 juta pada Ogos kepada 1.489 juta pada September.

Angka untuk TEL yang lebih baharu dipaparkan pada jadual berasingan. MKBF laluan itu menurun daripada 311,000 pada Ogos kepada 287,000 pada September.

LTA menyatakan bahawa laluan baharu seperti TEL "akan mengambil masa untuk stabil".
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita