LTA sokong khidmat pemasangan OBU di lokasi oleh pemasang bertauliah, termasuk di kondominium
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (17 Okt) menyatakan bahawa pihaknya “menyokong” perkhidmatan pemasangan unit dalam kenderaan (OBU) ERP 2.0 di lokasi-lokasi yang disediakan oleh pemasang bertauliah di tempat-tempat seperti kondominium.
Sebuah unit dalam kenderaan (OBU) ERP 2.0. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)
Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap LTA berkata perkhidmatan sedemikian yang disediakan di lokasi-lokasi seperti kondominium serta “gabungan entiti awam dan swasta”, memberi kemudahan tambahan kepada para pemilik kenderaan dan menggalakkan pemasangan OBU.
Mediacorp difahamkan bahawa entiti berkenaan merangkumi institusi pemerintah dan syarikat swasta.
“Perkhidmatan pemasangan mudah alih tambahan ini disediakan oleh para pemasang yang dilantik dan diiktiraf oleh LTA, termasuk VICOM, Indeco dan STA Inspection. LTA menyokong pengaturan sebegini, yang biasanya dibuat atas permintaan, kerana ia memberikan kemudahan tambahan kepada para pemilik kenderaan,” kata jurucakap berkenaan.
Dalam satu surat pekeliling yang dilihat oleh Mediacorp, sebuah kondominium pada bulan lalu memaklumkan kepada para penduduk mengenai pemasangan di lokasi oleh pemasang yang diiktiraf LTA.
“Walaupun kebanyakan pemasangan dijalankan di bengkel atau pusat pemasangan yang ditetapkan, pemasangan di lokasi boleh diatur jika terdapat permintaan yang mencukupi dalam sesebuah pembangunan dan adanya tapak yang sesuai,” kata jurucakap itu lagi.
“Pemasangan di lokasi ini mesti mematuhi piawaian dan protokol pemasangan yang sama seperti yang dijalankan di pusat-pusat yang ditetapkan.”
Dalam satu catatan Facebook pada Ogos lalu, LTA menyatakan bahawa sekitar 700,000 kenderaan sudah dilengkapi dengan OBU.
Mediacorp sudah mengemukakan pertanyaan kepada LTA mengenai jumlah kenderaan yang masih belum memasang OBU.
Para pemandu boleh menempah janji temu bagi pemasangan OBU secara langsung dengan bengkel bertauliah tanpa perlu menunggu notifikasi rasmi daripada LTA atau menggunakan portal tempahan LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.