Skip to main content

Singapura

LTA siasat punca gangguan MRT selepas tiga insiden dalam kurang seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
LTA siasat punca gangguan MRT selepas tiga insiden dalam kurang seminggu

Sebuah kenderaan kejuruteraan rosak dalam perjalanan pulang ke Depoh Bishan selepas kerja-kerja penyelenggaraan pada 7 Februari 2024 (kiri) dan kawasan transit dari Laluan NSL ke Laluan Circle di stesen Bishan pada 11 Februari 2025 (kanan). (Gambar: Facebook/SMRT; pembaca mediacorp)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 10:31PM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 10:34PM
SINGAPURA: Penguasa Pengakutan Darat (LTA) sedang bekerjasama dengan pengendali kereta api SMRT dan SBS untuk mengenal pasti punca tiga insiden gangguan MRT dalam tempoh kurang seminggu - di Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur Lautg (NEL) dan Laluan Circle.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (13 Feb), LTA menyatakan pihaknya memandang serius insiden-insiden tersebut, sambil menambah tiga gangguan itu tiada kaitan antara satu sama lain.

Gangguan itu berlaku pada 7 Februari, 10 Februari dan 11 Februari, menjejas perjalanan pada waktu sibuk.

NSL: KENDERAAN KEJURUTERAAN ROSAK DI DEPOH BISHAN

Insiden 7 Februari di Laluan Utara-Selatan bermula sekitar pukul 5.15 pagi apabila sebuah kenderaan kejuruteraan rosak di landasan di Depoh Bishan selepas kerja-kerja penyenggaraan rutin.

Ini menghalang kereta api lain daripada bergerak untuk mengambil penumpang.

"Apabila SMRT cuba mengalih kenderaan yang rosak itu menggunakan kenderaan penyelamat, sebahagian roda kenderaan kejuruteraan terlepas ke landasan," menurut LTA pada Khamis, memberi butiran dapatan awal siasatan.

SMRT melencongkan sebahagian kereta api dari Laluan Timur-Barat ke NSL untuk memastikan NSL boleh memulakan operasi.

Ini membolehkan khidmat kereta api beroperasi sepanjang hari di kedua-dua laluan, dengan jarak masa lebih panjang antara kereta api semasa waktu sibuk.

Para penumpang pada pagi itu dinasihatkan menambah masa perjalanan 10 minit antara stesen Ang Mo Kio dengan Jurong East menghala ke Jurong East.

Untuk mengawal kapasiti kereta api semasa waktu sibuk sebelah pagi, SMRT menyediakan bas-bas biasa dan bas penyambung perjalanan percuma antara Woodlands dengan Bishan.

Gangguan itu berlarutan sehingga lewat petang. Kenderaan kejuruteraan yang rosak itu dapat dipindahkan menjelang pukul 5.30 petang, membolehkan SMRT melancarkan khidmat kereta api dari depoh Bishan dan secara berperingkat mengembalikan khidmat biasa bagi waktu sibuk sebelah petang.

"LTA dan SMRT sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca insiden ini," menurut LTA.

LTA juga menekankan bahawa insiden itu "berbeza sekali" daripada gangguan EWL pada September tahun lalu apabila sebuah kereta api kosong tergelincir semasa kembali ke depoh.

Gangguan di Laluan Timur-Barat pada September itu berlarutan selama enam hari, menjejas sekitar separuh juta penumpang setiap hari.

Sebuah komponen kereta api yang sudah rosak terjatuh ke landasan, menyebabkan kerosakan teruk kepada landasan dan peralatan lain. Ia menjejas perkhidmatan antara sembilan stesen dari Boon Lay hingga Queenstown.

Khidmat biasa di laluan Utara-Selatan, Timur-Barat disambung semula selepas kenderaan kejuruteraan yang rosak itu dipindahkan.

INSIDEN KEDUA DI NEL

Para penumpang pada 10 Feb terjejas oleh kelengahan di Laluan Timur Laut (NEL) disebabkan kerosakan isyarat di stesen MRT Buangkok, yang berlaku pada pukul 6.08 pagi.

Semasa insiden itu, SBS Transit menyediakan khimat percuma bas biasa dan bas penyambung perjalanan antara Punggol Coast dengan Dhoby Ghaut.

Gangguan itu berlaku selama lebih sejam dengan khidmat biasa kereta api disambung semula secara berperingkat dari pukul 8.00 pagi.

"Siasatan awal menunjukkan insiden itu disebabkan kerosakan pada peralatan isyarat, yang disebabkan oleh kad elektronik tidak berfungsi," menurut LTA.

"SBS Transit menggantikan kad elektronik yang rosak itu pada pagi yang sama dan memulihkan operasi sistem. Komponen yang rosak itu sudah dihantar ke Alstom, iaitu pembikin sistem tersebut, untuk pemeriksaan lanjut."

KEROSAKAN ISYARAT DI CCL

Pada 11 Februari pukul 8.15 pagi, kerosakan isyarat berlaku antara stesen Paya Lebar dengan Marymount di Laluan Circle.

Menurut LTA ini menyebabkan bekalan elektrik terputus sekali gus menjejas 17 kereta api dan menyebabkan kelengahan semasa waktu perjalanan sebelah pagi.

Tenaga elektrik itu kemudian dipulihkan dan gerakan kereta api disambung semula secara bertahap-tahap pada pukul 8.20 pagi.

"Semasa memulihkan operasi, SMRT mendapati Sistem Penyeliaan Kereta Api Automatik Berpusat (CATS), yang mengawal gerakan kereta api tanpa pemandu, kurang responsif daripada biasa," menurut LTA pada Khamis.

"Ini menyebabkan kelengahan kepada usaha menyambung semula operasi biasa."

Menurut LTA, kali terakhir ini berlaku terhadap sistem CATS adalah pada September 2024.

LTA dan SMRT sedang bekerjasama dengan Alstom, yang merupakan pengeluar sistem itu, dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menghasilkan perisian yang dikemas kini untuk menangani isu berkenaan.

"Perisian tersebut dijadualkan untuk dipasang hujung minggu ini, selepas selesai ujian menyeluruh," menurut LTA.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita