Skip to main content

Singapura

LTA siasat langkah keselamatan, proses respons insiden selepas kematian di landasan LRT

Anggaran Waktu Membaca:
LTA siasat langkah keselamatan, proses respons insiden selepas kematian di landasan LRT

LRT Bukit Panjang. (Gambar: Facebook/LTA)

Diterbitkan : 22 May 2026 04:04PM Dikemas Kini : 22 May 2026 04:05PM
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada Jumaat (22 Mei) bahawa pihaknya sedang menyiasat langkah-langkah keselamatan dan proses tindak balas insiden selepas seorang lelaki berusia 68 tahun terjatuh ke atas landasan LRT di stesen Segar sebelum meninggal dunia.

Siasatan tersebut akan "meneliti sama ada langkah keselamatan serta proses tindak balas insiden yang sedia ada adalah mencukupi dan bersesuaian," kata seorang jurucakap LTA ketika menjawab pertanyaan pihak Mediacorp.

"Berdasarkan hasil siasatan, penambahbaikan lanjut akan dilakukan mengikut keperluan demi meningkatkan keselamatan pengguna," tambah mereka.

Menurut pihak berkuasa, mangsa yang dikenali sebagai Encik Loh Hee Chen, dilihat terjatuh di hadapan tren yang sedang menghampiri stesen pada kira-kira 5.00 pagi Isnin.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mereka menerima panggilan meminta bantuan berhubung kejadian itu pada kira-kira 6.25 pagi.

Insiden tersebut kini turut berada di bawah siasatan pihak polis.

Anggota Parlimen (MP) kawasan Holland-Bukit Timah, Edward Chia, yang hadir melawat mendiang Encik Loh, berkata anak lelaki mangsa ada membangkitkan beberapa persoalan mengenai insiden itu.

"Saya memberi jaminan kepadanya bahawa saya akan melakukan tindakan susulan dengan agensi-agensi berkaitan, sementara kita menunggu hasil siasatan pihak polis," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

LTA menyatakan bersama-sama dengan syarikat pengendali kereta api, mereka sedar akan risiko penumpang terjatuh ke atas landasan MRT dan LRT.

Berbeza dengan stesen MRT, stesen LRT tidak mempunyai pintu skrin platform. Sebaliknya, stesen LRT menggunakan penghadang tetap yang mempunyai ruang kosong di antaranya untuk penumpang masuk dan keluar dari tren.

Jurucakap LTA menjelaskan bahawa pintu skrin tidak dapat dipasang di stesen LRT yang beroperasi tanpa pemandu disebabkan oleh had ruang fizikal.

"Pintu skrin platform mesti disepadukan (dihubungkan) dengan sistem semboyan tren untuk memastikan pintu tren dan pintu skrin platform terbuka dan tertutup secara serentak," kata mereka.

"Jika pintu-pintu ini tidak bergerak serentak, ia boleh mencetuskan risiko keselamatan yang lain," kata jurucakap itu. Sebagai contoh, mereka menjelaskan bahawa pintu skrin mungkin terbuka ketika tren tiada di platform.

"Oleh kerana platform LRT kami jauh lebih kecil berbanding platform MRT, ruang yang ada tidak mencukupi untuk memasang peralatan dan pendawaian bagi menyokong pintu skrin platform yang boleh bergerak serentak dengan pintu tren, tanpa menjejas ruang yang ada untuk penumpang dengan ketara," kata mereka.

LTA dan pengendali rel akan terus meneroka penyelesaian teknologi baharu untuk mengatasi kekangan ini, tambah jurucakap itu lagi.

"Baru-baru ini, LTA dan pengendali rel juga telah mula menggunakan sistem yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) dan analisis video untuk memberikan amaran segera apabila ada individu yang melepasi penghadang tetap dan memasuki landasan LRT," kata mereka.

Syarikat SMRT sudah memasang sistem sedemikian, yang dikenali sebagai iSafe, di stesen-stesen sepanjang laluan LRT Bukit Panjang pada tahun 2023, menurut LTA. Stesen Segar, iaitu lokasi berlakunya insiden maut pada Isnin lalu, terletak di bawah laluan LRT Bukit Panjang.

Sistem yang serupa juga dipasang untuk laluan LRT Sengkang-Punggol, kata jurucakap LTA.

Pihak Mediacorp sudah bertanyakan kepada LTA dan SMRT sama ada sistem iSafe tersebut sudah diaktifkan atau tidak semasa insiden Isnin lalu itu berlaku.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita