Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LTA semak peraturan untuk pemandu teksi periksa kenderaan selepas setiap perjalanan

Anggaran Waktu Membaca:
LTA semak peraturan untuk pemandu teksi periksa kenderaan selepas setiap perjalanan

(Gambar: Unsplash, Facebook/Ong Boon)

Diterbitkan : 11 Nov 2022 02:04PM Dikemas Kini : 11 Nov 2022 02:05PM
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersetuju untuk menyemak semula satu peraturan, yang mana ia memerlukan para pemandu teksi memeriksa kenderaan mereka bagi barangan yang ditinggalkan oleh para penumpang selepas setiap perjalanan.

Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Swasta Kebangsaan (NPHVA) sudah menghubungi LTA untuk mendapat penjelasan. Ini selepas seorang pemandu teksi menerima satu amaran bertulis daripada LTA kerana "gagal mencari barangan yang ditinggalkan secara tidak sengaja oleh penyewa kenderaannya itu."

Yeo Wan Ling, Pengarah NTUC U SME dan U Wanita dan Keluarga berkata demikian dalam satu catatan di akaun Facebooknya pada Jumaat (11 Nov).

Cik Yeo, yang juga merupakan penasihat bagi NTA dan NPHVA, menambah bahawa persatuan-persatuan tersebut menghubungi LTA selepas para pemandu menerima maklum balas dan meluahkan keprihatinan mereka berhubung insiden tersebut.

LTA menjelaskan bahawa peraturan tersebut sudah lama dikuatkuasakan. Malah, ia disifatkan sebagai amalan yang baik yang dipraktikkan oleh pemandu.

SURAT AMARAN DITARIK BALIK

LTA memutuskan untuk menarik balik surat amaran kepada pemandu teksi tersebut sambil memperjelaskan niat pihaknya untuk "mengingatkan pemandu itu tentang amalan-amalan baik sedemikian," kata Cik Yeo.

Menurut catatan Cik Yeo, LTA tidak pernah menghukum mana-mana pemandu atas pelanggaran peraturan seumpama itu.


"Pada masa akan datang, LTA bersetuju untuk menyemak semula sejauh mana relevannya peraturan ini bersama-sama dengan pihak berkepentingan," jelas Cik Yeo.

Persatuan-persatuan tersebut dan
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) percaya bahawa keselamatan para pemandu harus menjadi keutamaan. Tambah Cik Yeo lagi, keadaan tugas para pemandu seringkali tidak membenarkan mereka untuk "mencari mana-mana barang yang ditinggalkan secara tidak sengaja oleh para penyewa" dengan berkesan.

"Meskipun ia merupakan amalan yang baik, ia tidak sepatutnya dijadikan satu kewajipan yang turut melibatkan hukuman," ujar Cik Yeo.

PEMANDU KEMUKA RAYUAN TERHADAP AMARAN

Satu catatan di Facebook yang dimuat naik oleh Ong Boon sebelum ini, menunjukkan sepucuk surat dari LTA yang bertarikh 26 Oktober. Surat tersebut menyatakan bahawa pemandu tersebut sudah mengemukakan rayuan kepada pihak penguasa pengangkutan itu terhadap amaran yang diberi melalui Anggota Parlimen (AP) Tin Pei Ling pada 11 Oktober.

Menurut surat tersebut, satu siasatan yang dijalankan LTA, menunjukkan bahawa pemandu tersebut gagal untuk mencari barang yang mungkin ditinggalkan oleh seorang penumpang selepas perjalanan tersebut pada 9 Julai sekitar pukul 1.26 petang.

"Oleh itu, siasatan kami mendapati anda bersalah bagi kesalahan 'Gagal memeriksa kenderaan bagi apa-apa barang yang ditinggalkan secara tidak sengaja oleh penyewa' di bawah peraturan 39(1) (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya)," menurut surat tersebut.

Peraturan 39(1) Lalu Lintas Jalan Raya (Kenderaan Perkhidmatan Awam) (Lesen Vokasional dan Kelakuan Pemandu, Konduktor, Penunggang dan Penumpang Beca) menyatakan bahawa pemandu sesebuah kenderaan patut memeriksa kenderaannya bagi mencari barang yang tertinggal sejurus selepas atau sebelum berakhirnya perjalanan tersebut.

Surat tersebut juga menyatakan bahawa amaran bertulis diberikan kepada pemandu tersebut pada 28 September. Ia menyatakan bahawa LTA "berpuas hati" dengan dapatan siasatan tersebut yang mendedahkan bahawa pemandu itu bertanggungjawab atas kesalahan berkenaan, dan lantaran itu, pihaknya tidak membatalkan amaran tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan