Skip to main content

Singapura

LTA perkenalkan langkah keselamatan baru di bulatan Marine Parade susulan nahas maut

Beberapa langkah baru akan dilaksanakan bagi mengurangkan had kelajuan kenderaan dan meningkatkan keselamatan pejalan kaki di bulatan Marine Parade. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 May 2019 07:00PM Dikemas Kini : 20 May 2019 09:22PM

SINGAPURA: Beberapa langkah baru akan dilaksanakan bagi mengurangkan had kelajuan kenderaan dan meningkatkan keselamatan pejalan kaki di bulatan Marine Parade. Ini menyusuli satu kemalangan pada Mac lalu, yang meragut nyawa seorang pejalan kaki berusia 82 tahun.

Penguasa Pengangkutan Darat LTA pada Isnin (20 Mei) mengumumkan ia akan menyusun semula jalan masuk ke bulatan itu.

Sudut membelok yang rapat dapat mengurangkan kelajuan kenderaan dan menggalakkan para pemandu memberi laluan kepada kenderaan lain.

Selain itu, penghadang jalan raya juga akan dipasang di sepanjang laluan pejalan kaki di sekeliling bulatan itu.

Menurut LTA, lintasan pejalan kaki juga akan dialihkan ke jarak lebih jauh daripada aliran utama trafik di bulatan tersebut.

Langkah-langkah tersebut adalah tambahan kepada papan tanda amaran dan garisan had kelajuan di jalan raya yang diumumkan menyusuli nahas jalan raya, yang meragut nyawa seorang pejalan kaki berusia 82 tahun.

Para penduduk Marine Parade menggesa agar lebih banyak langkah-langkah keselamatan dilaksanakan. Menurut mereka, ramai pemandu dilihat memandu secara berbahaya di bulatan tersebut, dan kawasan bagi pejalan kaki di sekeliling bulatan tersebut terlalu sempit.

LTA akan menjalankan kerja-kerja naik taraf itu secara bertahap-tahap dan dijadual selesai menjelang hujung Julai.

Sebahagian lorong jalan raya akan ditutup semasa kerja-kerja tersebut dijalankan. Oleh itu, para pemandu dan pejalan kaki dinasihati mematuhi tanda-tanda arah dan maklumat, serta bersikap berhati-hati.

Menurut LTA, ia sudah mengambil kira maklum balas para penduduk serta Anggota Parlimen Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan, mengenai perkara tersebut. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita