LTA perkenal pelekat bantu penumpang dengan masalah kesihatan dapat tempat duduk
Di bawah satu inisiatif baru Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), para penumpang yang mengalami masalah kesihatan boleh mendapatkan tempat duduk dengan lebih mudah tidak lama lagi.
SINGAPURA: Di bawah satu inisiatif baru Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), para penumpang yang mengalami masalah kesihatan boleh mendapatkan tempat duduk dengan lebih mudah tidak lama lagi.
Bermula hari ini (1 Okt), mereka yang tidak boleh berdiri lama disebabkan masalah kesihatan, boleh mendapatkan pelekat khas sebagai cara untuk memaklumkan penumpang bas atau kereta api bahawa mereka memerlukan tempat duduk.
Antara mereka yang boleh mendapatkan pelekat khas itu termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik, masalah jantung, mereka yang sedang beransur pulih daripada serangan angin ahmar atau kecederaan fizikal, mereka yang menjalani rawatan barah, mereka yang memakai anggota tubuh palsu mahupun wanita yang hamil peringkat awal.
Pelekat-pelekat ini akan disediakan secara progresif di semua stesen MRT, pusat pertukaran bas dan pejabat-pejabat tiket TransitLink.
Para penumpang boleh menggunakan sijil perubatan atau surat doktor semasa membuat permohonan untuk mendapatkan pelekat khas tersebut, jika mereka tidak keberatan, menurut LTA.
"Para penumpang secara konsisten menunjukkan sifat ihsan kepada warga emas atau wanita hamil dalam pengangkutan awam," kata Timbalan Pengarah Kumpulan (Pengangkutan Awam) di LTA, Cik Priscilla Chan.
"Namun, ada juga penumpang yang mengalami masalah kesihatan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mereka juga memerlukan tempat duduk.
"Selepas mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pertubuhan kebajikan, kami mengorak langkah untuk mengatasi jurang yang ada agar para penumpang kini tidak perlu teragak-agak jika seseorang memerlukan tempat duduk."
Inisiatif serupa dijalankan di negara lain seperti di London dan Jepun, tambahnya.
Para penumpang digalak agar memberikan tempat duduk tidak hanya kepada mereka yang menggunakan pelekat tersebut tetapi juga mereka yang memerlukan - seperti warga emas, wanita hamil dan ibu bapa dengan kanak-kanak kecil, menurut LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.