LTA Muhammad Amin Isa dinobat sebagai kadet terbaik kursus Komander Rota ke-23
Keinginan berbakti kepada masyarakat mendorong LTA Muhammad Amin Isa meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera dan menjadi anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
SINGAPURA: Keinginan berbakti kepada masyarakat mendorong LTA Muhammad Amin Isa meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera dan menjadi anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Tekadnya terbukti berbaloi apabila beliau muncul sebagai kadet terbaik dalam majlis pentauliahan bagi kursus Komander Rota (RCC) ke-23 hari ini (30 Jun).
Meskipun tidak dapat disaksikan bersama orang tersayang, upacara penutup Kursus Komander Rota (RCC) hari ini tidak kurang maknanya bagi kesemua 41 kadet yang menerima pentauliahan mereka.
Ini merupakan tahun kedua acara itu diadakan tanpa kehadiran anggota keluarga dan rakan-rakan disebabkan pandemik COVID-19.
Namun bagi Encik Amin, semangat dan restu keluarganya lebih nikmat terasa di hatinya apabila dinobatkan sebagai kadet terbaik keseluruhan tahun ini.
"Saya rasa gembira dan amat bersyukur kerana dinobatkan sebagai kadet RCC terbaik. Keluarga saya juga amat bangga atas kejayaan ini. Sebenarnya saya tidak menjangkakan untuk dipilih kerana saya hanya membuat kerja yang terbaik di kursus komander rota ini," menurut Encik Amin.
KRITERIA PEMILIHAN KADET TERBAIK KURSUS RCC
Namun, pengiktirafan yang diraih pegawai berusia 27 tahun ini tidak datang bergolek begitu sahaja.
LTA Muhammad Amin Isa
Antara kriteria pemilihan bagi kadet terbaik kursus RCC ini termasuk meraih markah cemerlang dalam ujian bertulis dan praktikal serta memiliki sifat kepimpinan yang berwibawa.
Untuk itu, latihan yang konsisten bagi membentuk kekuatan fizikal dan mental diperlukan sepanjang kursus tujuh bulan itu.
Bagi Encik Amin, semua kerja kerasnya itu berbaloi setelah mengambil langkah berani untuk meninggalkan kerjayanya dahulu di sebuah syarikat perunding kejuruteraan demi mengejar minatnya itu.
"Saya ingin kerja yang mencabar dari segi fizikal dan saya juga mahu berbakti kepada masyarakat. Ibu bapa saya juga menyokong keputusan saya untuk meneruskan kerjaya saya di SCDF kerana ia pekerjaan yang mulia," ujar Encik Amin lagi.
PENGALAMAN BERLATIH KETIKA BULAN PUASA
Selain itu, beliau berkongsi bahawa pengalaman menjalani kursus itu semasa bulan Ramadan antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan.
"Kami tetap menjalani latihan jasmani dan fizikal yang sama meskipun bulan Ramadan. Ia amat mencabar dan memenatkan memandangkan kami tidak boleh minum dan makan sepanjang hari," kata Encik Amin.
Bagaimanapun menurutnya, pegawai jurulatih tetap mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan para pegawai yang berpuasa dengan mengingatkan mereka untuk makan atau minum sekiranya mereka tidak boleh menahan rasa lapar atau dahaga.
Beliau berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa dalam masa terdekat ini, beliau bakal melanjutkan kerjayanya sebagai Komander Rota di balai bomba.
Bahkan, beliau juga menyimpan harapan untuk menjadi komander balai bomba satu hari nanti.
AYAH LTA (NSF) MUHAMMAD NAUFAL SULAIMAN BEKAS ANGGOTA BOMBA
Selain pegawai sepenuh masa, kursus tersebut turut disertai para anggota perkhidmatan negara yang tergolong dalam kumpulan 10 peratus pegawai terbaik bagi kohort kursus komander seksyen mereka.
Antara lapan yang terpilih itu adalah LTA (NSF) Muhammad Naufal Sulaiman.
LTA (NSF) Muhammad Naufal Sulaiman bersama ayahnya.
Bagi Encik Naufal, kenaikan pangkatnya itu lebih membanggakan ayahnya yang pernah berkhidmat sebagai anggota bomba selama 32 tahun.
Namun, itu juga memberi sedikit tekanan pada dirinya kerana sering dibandingkan dengan ayahnya, lebih-lebih lagi oleh para pegawai yang mengenali beliau.
"Tekanan ini walaupun membuat saya tertekan, tapi saya selalu berfikiran positif kerana ayah saya selalu beritahu saya untuk bekerja keras. Saya memberitahu diri saya untuk menjadikan tekanan ini sebagai dorongan untuk saya selalu bertungkus-lumus dan cuba sedaya upaya untuk melakukan sesuatu perkara," kata Encik Naufal.
AYAH DIJADIKAN SUMBER INSPIRASI
Selain menjadikan ayahnya sebagai sumber inspirasi, beliau berkata bahawa tugas sebagai seorang anggota bomba memberi kepuasan yang amat tidak ternilai harganya.
Justeru ia mendorongnya untuk tidak berputus asa tidak kira apa jua cabaran yang datang merintangi.
Malah menurutnya, tugas sebagai anggota bomba seringkali memerlukan mereka bertaruh nyawa dalam situasi berbahaya.
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan beliau sehingga hari ini merupakan satu insiden di mana beliau dan anggota bomba yang lain perlu melaksanakan operasi mencari dan menyelamat seseorang yang terkandas dalam hutan.
Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dek keadaan hutan yang mencabar, beliau dan pasukannya berjaya menyelamatkan individu itu dan membawanya ke hospital.
PERBEZAAN ANTARA TUGAS SEBAGAI KOMANDER SEKSYEN BERBANDING KOMANDER ROTA
Berbanding Encik Amin, pengalaman Encik Naufal sedikit berbeza kerana beliau sebenarnya dikerahkan dahulu ke Balai Bomba Tampines sebagai Komander Seksyen sebelum menjalani kursus RCC.
LTA (NSF) Muhammad Naufal Sulaiman
Namun, peralihan itu juga membawa tanggungjawab yang lebih berat buatnya.
"Ketika menjalankan operasi semasa bertugas sebagai komander seksyen, saya hanya mengetuai satu seksyen sahaja. Namun, sebagai komander rota, saya harus mengetuai sekurang-kurangnya 30 pegawai," ujar Encik Naufal lagi.
Malahan menurutnya, tanggungjawab yang dipikulnya itu lebih besar kerana perlu membuat keputusan yang lebih penting dan memberikan arahan kepada lebih ramai pegawai.
Beliau memberitahu BERITAmediacorp bahawa pengalaman mengharungi kursus RCC itu membulatkan lagi tekadnya untuk mengikut jejak langkah ayahnya sebagai pegawai sepenuh masa di SCDF satu hari kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.