LTA minta pandangan pemain industri bina prasarana mengecas kenderaan elektrik
Dalam usahanya untuk memasang lebih 60,000 tempat mengecas kenderaan elektrik menjelang 2030, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mendapatkan pandangan industri mengenai rancangan tersebut.
Tempat mengecas kenderaan elektrik di Jalan Permimpin berhampiran estet Sin Ming. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Dalam usahanya untuk memasang lebih 60,000 tempat mengecas kenderaan elektrik menjelang 2030, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mendapatkan pandangan industri mengenai rancangan tersebut.
LTA, yang melancarkan Permohonan Mendapatkan Maklumat (RFI) pada Khamis (8 Apr) menyatakan ia berharap para pemain industri akan mengongsi pandangan mereka berhubung:
- Pemasangan dan operasi tempat-tempat mengecas
- Penyediaan dan kos khidmat mengecas terhadap para pengguna
- Kerja-kerja naik taraf yang perlu dijalankan bagi menyokong prasarana bekalan elektrik seperti bilik suis dan stesen pencawang
Maklumat yang dikumpul itu, di samping tender perintis yang ditawarkan bagi memasang 600 tempat mengecas, akan membantu untuk memperhalusi kandungan tender bagi prasarana mengecas pada masa akan datang, menurut LTA.
LTA menyatakan, RFI yang akan dijalankan sehingga 31 Mei adalah langkah penting dalam usaha Singapura untuk memasang 60,000 tempat mengecas menjelang 2030.
Sebanyak 40,000 daripada tempat-tempat mengecas itu akan ditempatkan di tempat-tempat letak kereta awam sementara bakinya pula akan dipasang di premis-premis privet.
Sebelum ini lapan bandar diumumkan sebagai antara yang pertama di Singapura untuk menyediakan stesen-stesen mengecas di tempat-tempat letak kereta Lembaga Perumbahan dan Pembangunan (HDB) menjelang 2025, iaitu Ang Mo Kio, Bedok, Chua Chu Kang, Jurong West, Punggol, Queenstown, Sembawang dan Tengah.
Menurut LTA, sasarannya adalah untuk mempersiapkan setiap bandar bagi memastikan bandar-bandar itu bersedia menyambut kenderaan elektrik menjelang 2030 dengan stesen-stesen mengecas di semua tempat letak kereta HDB.
Encik Lam Wee Shann, ketua pegawai inovasi dan teknologi pengangkutan LTA berkata, rancangan tersebut bakal menjadi teras utama dalam strategi seluruh negara untuk menggalak kegunaan kenderaan elektrik.
Mengulas tentang pentingnya kerjasama dengan sektor privet untuk membina rangkaian mengecas kenderaan elektrik di Singapura, Encik Lam berkata, Pusat Kenderaan Elektrik Nasional berharap ia dapat memanfaatkan pandangan dan kepakaran pihak-pihak berkepentingan dalam sektor privet untuk "membentuk ekosistem mengecas kenderaan elektrik yang mampan dan berkesan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.