LTA kesan lagi 3,200 kenderaan terjejas dalam penarikan balik beg udara Takata rosak
Seorang mekanik memegang modul beg udara yang diperbuat oleh syarikat pengeluar beg udara Jepun Takata pada 19 Feb 2025. (Gambar; AFP/Sebastien Bozon)
Sebanyak 3,200 kenderaan itu dikesan selepas LTA bekerjasama dengan pengedar kenderaan yang sah untuk mengesahkan status penarikan balik bagi kenderaan yang mungkin terjejas, termasuk kenderaan yang diimport melalui pengimport yang kini tidak lagi beroperasi.
Mendiang Michael Ong Kong Meng, 57 tahun, meninggal dunia apabila beg udara yang tidak berfungsi itu diaktifkan dalam kenderaannya semasa nahas berangkai berlaku, dan serpihan logam dari beg udara itu menusuk ke dalam kepalanya.
Honda terpakai milik Encik Ong pada awalnya dibawa masuk ke Singapura oleh pengimport yang sudah gulung tikar sekitar masa penarikan balik bagi kenderaan dengan beg udara yang rosak pada 2015.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, LTA menyatakan pada Isnin (2 Feb) bahawa pihaknya akan mengeluarkan surat kepada pemilik 3,200 kenderaan tersebut mengenai penarikan balik beg udara Takata dan menasihatkan mereka untuk membaiki kenderaan mereka.
Selain itu, kadar pembaikan bagi penarikan balik beg udara Takata di Singapura adalah kira-kira 94 peratus setakat sehingga pertengahan Januari 2026, menurut LTA.
Pengedar kenderaan sudah memaklumkan sekitar 212,000 kenderaan yang terjejas oleh isu itu, dan baki 6 peratus masih ditangani, kata LTA.
Jurucakap itu menambah bahawa pembeli kenderaan perlu mengambil kira keupayaan penjual untuk memenuhi tanggungjawab jangka panjang seperti sokongan selepas jualan, pemberitahuan untuk menarik balik, dan pembaikan kerosakan keselamatan.
“Kami menasihatkan pembeli kenderaan untuk membeli daripada pengedar yang mempunyai rekod kukuh dan keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab ini sepanjang hayat berguna kenderaan itu,” kata jurucakap LTA.
“Selepas menerima notis, pemilik kenderaan perlu bekerjasama dengan pengedarnya untuk membaiki sebarang kerosakan berkaitan keselamatan dengan segera, demi keselamatannya sendiri.”
Dalam dapatan Koroner Negara mengenai kematian Encik Ong, pemilik kenderaan disarankan menyemak kenyataan media LTA bertarikh 4 Ogos 2016 bagi senarai kenderaan yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.