LTA kenal pasti Asia Piling Co rosakkan kabel gentian dalam gangguan jalur lebar 18 Apr
Asia Piling Co merupakan subkontraktor yang merosakkan kabel gentian optik dan menyebabkan gangguan perkhidmatan jalur lebar pada hujung minggu lalu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (22 Apr).
Sebuah modem yang sedang mengalami masalah sambungan internet. (Gambar fail: iStock)
Sekitar 5,000 pengguna di beberapa kawasan di Ang Mo Kio, Bishan, Sengkang dan Punggol terjejas akibat gangguan pada 18 April itu, yang berlangsung selama hampir 20 jam sebelum perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya pada keesokan pagi.
Gangguan tersebut menjejas perkhidmatan jalur lebar beberapa penyedia khidmat, termasuk Singtel, StarHub, M1 dan MyRepublic.
Awal dari itu, LTA menyatakan bahawa gangguan tersebut, yang turut menjejas sistem Anggaran Masa Ketibaan (ETA) basnya, berpunca daripada kabel gentian yang rosak semasa kerja-kerja “penggerudian cerucuk” (bored pile works) dijalankan bagi projek Koridor Utara-Selatan.
Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, LTA menyatakan kontraktor utama bagi tapak projek itu ialah Hwa Seng - Chye Joo - Ho Lee Joint Venture, yang melantik Asia Piling Co untuk menjalankan kerja penggerudian cerucuk itu.
Kerja sedemikian melibatkan penggerudian yang jauh ke dalam tanah, menggunakan kaedah pemasangan yang menggunakan satu siri cerucuk konkrit yang digerudi dan disusun rapat dalam satu barisan untuk membentuk struktur sokongan.
NetLink Trust, yang memiliki dan mengendalikan prasarana rangkaian gentian pasif Singapura, menyatakan sebagai salah satu daripada soalan yang lazim ditanyakan (FAQ) di lamannya bahawa kebanyakan gangguan berpunca daripada pemotongan kabel gentian yang tidak disengajakan oleh kontraktor pihak ketiga yang terlibat dalam pembinaan prasarana pengangkutan dan projek perumahan.
Di bawah Akta Telekomunikasi, semua kontraktor pihak ketiga yang menjalankan kerja-kerja tanah, seperti penggalian atau kerja cerucuk, mesti memaklumkan NetLink Trust sebelum memulakan sebarang kerja, kata syarikat itu.
Bagi Asia Piling pula, firma tersebut menyatakan di laman webnya bahawa ia terlibat dalam pelbagai projek binaan di Singapura, seperti Loji Pemulihgunaan Air Tuas. Ia juga terlibat dalam kerja-kerja binaan untuk stesen MRT Gek Poh dan Tawas bagi projek Laluan Daerah Jurong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.