Skip to main content

Singapura

LTA buka permohonan lesen bagi khidmat kongsi PMD esok

Permohonan lesen bagi khidmat perkongsian alat mobiliti peribadi (PMD) bermotor akan dibuka pada Jumaat (4 Jan), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (3 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jan 2019 07:50PM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 10:53PM

SINGAPURA: Permohonan lesen bagi khidmat perkongsian alat mobiliti peribadi (PMD) bermotor akan dibuka pada Jumaat (4 Jan), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (3 Jan).

Sebagai permulaan, LTA akan menerima permohonan bagi lesen sandbox (ruang ujian tanpa peraturan ketat) untuk jumlah PMD yang kecil.

"Para pengendali yang dianugerahkan lesen sandbox akan mengendalikan jumlah PMD yang kecil supaya LTA boleh menilai operasi dan keupayaan mereka untuk mematuhi syarat-syarat kawal selia, sebelum menimbangkan sama ada mereka layak bagi lesen operasi berskala besar," menurut LTA.

Ini menyusuli pusingan permohonan bagi lesen khidmat perkongsian basikal tahun lalu, yang memperlihatkan lesen penuh ditawarkan kepada ofo, Mobike dan SG Bike, serta lesen-lesen sandbox ditawarkan kepada Anywheel, GrabCycle dan Qiqi Zhixiang.

Para pengendali juga boleh membuat permohonan mulai Jumaat untuk menambah jumlah PMD atau beralih dari lesen sandbox ke lesen penuh.

LTA menyatakan bahawa ia akan menilai permohonan berdasarkan kriteria seperti rancangan mengatasi perbuatan meletakkan PMD sembarangan dan keupayaan untuk mengekalkan "kadar penggunaan PMD yang baik".

Ia juga akan meneliti pematuhan pemohon terhadap kriteria alat mobiliti aktif - misalnya berat dan ukuran alat - serta syarat keselamatan kebakaran bagi PMD bermotor.

Di bawah rangka kerja pelesenan, para pengendali yang menerima lesen sandbox dan lesen penuh bagi khidmat perkongsian PMD bermotor dan basikal, masing-masing akan dibenarkan beroperasi di tempat-tempat awam selama satu dan dua tahun.

"Seperti mana pusingan pertama permohonan, LTA akan terus mengambil pendekatan konservatif dalam menentukan jumlah PMD," menurut LTA.

"Pemegang lesen sandbox yang berupaya menguruskan masalah letak alat sembarangan dengan baik, memenuhi semua syarat lesen dan memastikan kadar penggunaan yang baik akan berpeluang untuk mendapatkan lesen penuh dan meningkatkan jumlah alat di masa akan datang."

Dalam pada itu, para pemegang lesen juga perlu menyepadukan sistem letak alat menggunakan kod QR - yang akan dilaksanakan pada 14 Jan - dalam aplikasi mudah alih bagi para pengguna.

SYARAT-SYARAT BAGI PEMEGANG LESEN PMD BERMOTOR

Para pemegang lesen khidmat perkongsian PMD bermotor juga perlu memenuhi syarat-syarat keselamatan baru, yang memerlukan mereka untuk memastikan alat sedemikian dicas "oleh seorang kakitangan yang sesuai dalam sekitaran yang betul," menurut LTA.

PMD bermotor yang digunakan bagi khidmat perkongsian PMD juga perlu diiktiraf di bawah piawai UL2272 untuk mengurangkan risiko kebakaran.

Di samping itu, para pemegang lesen juga perlu mendapatkan dan mengekalkan insurans bagi melindungi pihak ketiga yang mungkin cedera atau maut akibat menggunakan PMD yang mereka sediakan.

Permohonan perlu diserahkan menerusi laman LTA selewat-lewatnya 11 Feb 2019.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita