LTA beri kontrak uji bas tanpa pemandu kepada khidmat 191 dan 400
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberi kontrak untuk menguji bas tanpa pemandu bagi khidmat 191 dan 400, dengan tempoh percubaan awal dijadual bermula pada separuh kedua 2026.
Gambaran artis bagi bas tanpa pemandu yang akan diuji. (Gambar: LTA)
Kontrak itu diberikan kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada MKX Technologies, Zhidao Network Technology (Beijing) dan BYD Singapore dengan nilai sekitar S$8.14 juta.
LTA menerima empat cadangan secara keseluruhan bagi percubaan kenderaan tanpa pemandu (AV) tersebut.
Cadangan-cadangan itu dinilai berdasarkan tahap kematangan teknologi AV tersebut, rekod pencapaian pemajunya di dalam dan luar negara, serta keupayaannya untuk memenuhi keperluan operasi perkhidmatan bas awam.
“Konsortium yang diberi kontrak itu mempunyai rekod pencapaian yang terbukti di luar negara dalam mengendalikan perkhidmatan bas tanpa pemandu di jalan raya awam dengan trafik pelbagai kenderaan dan operasi dari jarak jauh,” menurut LTA dalam kenyataan media pada Khamis (2 Okt).
Menurut LTA, Zhidao Network Technology yang pernah mengendalikan bas tanpa pemandu di bandar-bandar China termasuk Beijing, akan menyediakan perisian dan perkakasan AV termasuk kamera, serta sistem pengurusan armada dan operasi jarak jauh.
MKX akan menerajui usaha penyelidikan, pembangunan tempatan dan pengurusan projek, manakala BYD akan membekalkan bas elektrik.
Mulai pertengahan 2026, enam bas elektrik tanpa pemandu dengan kapasiti 16 penumpang akan diuji bagi khidmat bas awam 191 dan 400, yang melalui one-north dan Marina Bay, untuk tempoh percubaan awal selama tiga tahun.
Bas-bas tersebut akan beroperasi bersama bas biasa dengan pemandu untuk membentuk armada hibrid. Tambang yang dikenakan adalah sama dengan perkhidmatan bas awam sedia ada.
Kemudahan di dalam bas juga sama dengan bas awam lain, termasuk ruang khas dan tanjakan naik turun bagi pengguna kerusi roda serta alat bantuan mobiliti peribadi.
Percubaan itu “akan menambah kepada usaha keseluruhan kami dalam mempertingkatkan rangkaian pengangkutan awam dan meluaskan pilihan mobiliti bagi para penumpang,” menurut LTA.
Ia menambah bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan konsortium untuk memastikan bas tanpa pemandu serta sistem sokongannya siap beroperasi.
FASA PERCUBAAN
Menurut LTA, dalam fasa awal percubaan, seorang pengendali keselamatan akan berada di dalam bas pada setiap masa.
Bas tersebut juga akan dipantau secara masa nyata untuk “memastikan prestasi bas yang dipandu sendiri itu konsisten dan mematuhi peraturan”.
Mediacorp difahamkan bahawa pengendali keselamatan boleh mengambil alih kawalan bas jika perlu.
SBS Transit, sebagai pengendali bas, juga akan menimbangkan maklum balas penumpang untuk menilai dan menambah baik operasi bas tanpa pemandu.
“Selepas bas tanpa pemandu membuktikan keupayaannya untuk beroperasi dengan lancar dan selamat, ia akan mara ke fasa seterusnya di mana seorang pengendali dari jarak jauh akan memantau operasinya secara berterusan dari sebuah pusat kawalan,” jelas LTA.
Seorang pegawai khidmat pelanggan akan bertugas di dalam bas, menggantikan pengendali keselamatan, bagi membantu penumpang.
Konsortium itu akan bekerjasama dengan SBS Transit untuk “membangunkan konsep dan pelan operasi” bagi armada hibrid tersebut, menurut LTA.
Ia juga akan bekerjasama dengan Akademi Bas Singapura untuk melatih kapten bas sedia ada supaya dapat mengambil alih peranan baharu sebagai pengendali keselamatan, di samping mengendalikan bas tanpa pemandu dengan cekap dan yakin, tambah LTA.
LTA menyatakan pihaknya akan turut bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) untuk membangunkan program latihan bagi peranan baharu dalam industri AV, termasuk pengendali keselamatan, pegawai khidmat pelanggan, pengurus armada dan fungsi-fungsi teknikal lain.
“Melalui pelaksanaan percubaan ini, LTA menyasar untuk menilai kesesuaian teknikal teknologi AV bagi perkhidmatan bas awam, serta mendapatkan pandangan berhubung aspek operasi mengendalikan bas tanpa pemandu dari segi perkhidmatan dan armada."
Menurut LTA, selepas percubaan ini, pihaknya mungkin akan memperoleh sehingga 14 lagi bas tanpa pemandu dan memperluaskan percubaan untuk melibatkan lebih banyak perkhidmatan bas awam.
“Pendekatan berperingkat ini membolehkan LTA untuk meningkatkan pelaksanaan bas tanpa pemandu secara progresif, sambil memastikan operasi bas kekal diyakini dan selamat.
“Bas AV akan melengkapi bas sedia ada, membolehkan kita mengekalkan laluan dengan jumlah penumpang yang lebih rendah atau memperkenalkan perkhidmatan baharu yang sebelum ini sukar dilaksanakan akibat kekangan tenaga kerja.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.