LTA beri kontrak kerja sivil bagi stesen MRT Hume di Laluan Downtown
Kontrak kerja-kerja sivil diberikan bagi stesen MRT Hume yang baru di Laluan Downtown, yang dijadual dibuka pada 2025, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (14 Jan).
SINGAPURA: Kontrak kerja-kerja sivil diberikan bagi stesen MRT Hume yang baru di Laluan Downtown, yang dijadual dibuka pada 2025, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (14 Jan).
Kontrak bernilai S$34.3 juta itu diberikan kepada JSM Construction Group, menurut LTA dalam satu kenyataan media.
Terletak di Upper Bukit Timah Road antara stesen Hillview dengan Beauty World, stesen Hume akan memudahkan penduduk di sekitar Hume Avenue dan menyediakan akses ke Koridor Rel (Tengah) dan bangunan Bekas Kilang Ford, jelas LTA.
"Kontrak baru ini merangkumi pembinaan pintu masuk stesen, saluran pengaliran udara dan kerja pemasangan bagi stesen baru itu," tambah LTA.
Sebilangan besar kerja-kerja sivil akan dilakukan pada waktu kejuruteraan, tulis LTA dalam catatan Facebook yang mengumumkan kontrak tersebut.
"Oleh kerana stesen Hume berada sepanjang laluan yang beroperasi, kebanyakan kerja sivil akan dilakukan selama waktu kejuruteraan setelah perkhidmatan kereta api berhenti dan ketika penyelenggaraan rutin tidak dilakukan."
Menurut LTA, JSM Construction Group mempunyai "pengalaman luas dalam sektor binaan, termasuk rekod baik dalam kerja-kerja peningkatan stesen MRT".
Syarikat itu kini sedang melakukan kerja-kerja tambahan dan pembaikan bagi stesen Pasir Ris di Laluan Timur-Barat dan sebelumnya membina platform tambahan di stesen MRT-LRT Choa Chu Kang.
Selain kerja sivil, sistem rel di stesen Hume juga akan dipasang dan dan diuji serta juga perkhidmatan elektrikal dan mekanikal stesen tersebut.
Kontrak bagi perkhidmatan elektrik dan mekanikal akan dikeluarkan "lewat suku ini", sementara sistem rel akan diperoleh daripada kontraktor yang sebelumnya membekalkannya bagi Laluan Downtown, tambah LTA.
"Setelah kerja-kerja pemasangan disiap, ujian juga akan dijalankan sebelum stesen itu dibuka kepada penumpang," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.