Skip to main content

Singapura

LTA bakal teliti bekalan khidmat teksi, kereta sewa dalam semakan industri

Anggaran Waktu Membaca:
LTA bakal teliti bekalan khidmat teksi, kereta sewa dalam semakan industri

(Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Sep 2023 07:48PM Dikemas Kini : 15 Sep 2023 05:59PM
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan meneliti bekalan khidmat teksi dan kereta sewa sebagai sebahagian daripada semakan struktur industri perjalanan dari satu tempat ke tempat lain serta rangka kerja kawal selianya.

Lebih banyak permintaan disaksikan bagi khidmat sedemikian sejak beberapa tahun lalu - dari sekitar 517,000 perjalanan harian pada 2020 kepada 613,000 perjalanan harian pada Julai tahun ini.

Semakan ini akan memberi tumpuan kepada tiga objektif, termasuk ketersediaan dan keutuhan khidmat perjalanan tersebut.

"Kami mahu meningkatkan kestabilan bekalan dari satu tempat ke tempat yang lain sepanjang hari, seperti semasa waktu lewat malam di mana terdapat kekurangan bekalan khidmat perjalanan," jelas LTA.

"Memandangkan khidmat dari tempat ke tempat menjadi lebih penting dalam kehidupan harian rakyat Singapura, para pengendali mesti menyediakan khidmat ini dengan gangguan minimum," tambahnya.

Objektif ketiga adalah untuk memastikan khidmat seumpama itu memenuhi keperluan kumpulan penumpang seperti pengguna berkerusi roda dan keluarga dengan anak-anak kecil.

Sejak pelaksanaan rangka kerja pelesenan sedia ada bagi pengendali teksi dan khidmat kereta sewa pada Oktober 2020, sektor khidmat perjalanan dari tempat ke tempat sudah berubah dengan ketara, menurut LTA.

Ia merujuk kepada pilihan ke arah khidmat kereta sewa dalam kalangan penumpang dan pemandu disebabkan "kecekapan pemadanan dan cara mudah membuat tempahan menerusi aplikasi mudah alih".

Permintaan yang berkurangan bagi khidmat teksi juga menyebabkan jumlah teksi lebih rendah di jalan raya.

Tahap kepuasan penumpang dengan khidmat teksi dan khidmat kereta sewa turun pada 2022, dengan mata bagi masa menunggu pula paling merosot, menurut dapatan tinjauan Majlis Pengangkutan Awam pada Februari.

LTA menyatakan pihaknya akan mendampingi kumpulan penumpang berbeza bagi mendengar pandangan mereka.

Pihaknya juga merancang menamatkan semakan menjelang suku kedua 2024.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita