LTA bakal perkenal lebih banyak khidmat digital termasuk permohonan VEP online
Para pemandu kereta dan penunggang motosikal yang berdaftar di luar negara tidak lama lagi boleh membuat permohonan bagi mendapatkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) secara online sebelum memasuki Singapura. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan demikian hari ini (7 Nov).
SINGAPURA: Para pemandu kereta dan penunggang motosikal yang berdaftar di luar negara tidak lama lagi boleh membuat permohonan bagi mendapatkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) secara online sebelum memasuki Singapura. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan demikian hari ini (7 Nov).
Khidmat itu adalah antara beberapa khidmat digital baru yang akan disediakan di laman One.Motoring mulai 26 November.
Para pemandu kenderaan yang berdaftar di luar negara boleh memohon untuk VEP di laman tersebut serta mendapatkannya dan membayar untuk VEP atau kad Autopass dari pejabat-pejabat LTA di Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas setelah permohonan mereka diluluskan, menurut LTA.
Khidmat-khidmat berkaitan seperti kemas kini pada rekod insurans kenderaan, bayaran online dan penghantaran VEP dan kad Autopass akan diperkenalkan pada tahun depan, menurut LTA lagi.
Bagi para pemilik kenderaan di Singapura, para pemandu boleh memindahkan pemilikan kenderaan, Yuran Pendaftaran Tambahan Khas (PARF) dan rebat Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) serta COE Sementara melalui laman tersebut.
Para pemandu juga boleh melungsuri laman itu untuk membatalkan pendaftaran kenderaan atau memberikan pihak ketiga kebenaran untuk membantu menghapuskan kenderaan mereka.
Pengesahan Dua Faktor (2FA) SingPass atau CorpPass diperlukan bagi menggunakan khidmat digital baru. Ia akan digunakan bagi mengesahkan dan memuktamadkan pemindahan menerusi cara yang selamat dan tidak lagi perlu membuat permohonan secara berasingan bagi Nombor Pengenalan Peribadi (PIN), menurut LTA.
MAKLUMAN DIGITAL
Sepanjang enam bulan akan datang mulai bulan ini, LTA tidak lagi akan mengirimkan surat-surat kepada para pemilik kenderaan bagi memberikan maklumat terkini mengenai urus niaga, kecuali surat saman.
LTA sebaliknya akan menghantar makluman menerusi kiriman SMS dan surat dalam bentuk elektronik ke akaun-akaun One.Motoring.
Para pemilik kenderaan akan dimaklumkan mengenai peralihan itu menerusi kiriman surat. Mereka yang memilih untuk menerima makluman menerusi surat menjangkui tempoh enam bulan itu juga boleh berbuat demikian.
Khidmat digital juga akan disediakan di kios-kios elektronik di pejabat Sin Ming.
Menjelang tahun 2020, LTA merancang untuk menyediakan sistem berteraskan janji temu bagi khidmat-khidmat kaunternya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.