LTA bakal nilai kebolehlaksanaan laluan rel baru timur laut-selatan S'pura
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mengkaji kemungkinan membina laluan rel baru untuk penduduk kawasan utara dan timur laut Singapura.
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mengkaji kemungkinan membina laluan rel baru untuk penduduk kawasan utara dan timur laut Singapura.
Laluan baru itu akan menambah rangkaian pengangkutan di kawasan-kawasan tersebut bagi menampung permintaan di bandar-bandar baru dan sedia ada yang buat masa ini tidak mempunyai akses langsung ke rangkaian kereta api.\
Demikian menurut LTA di bawah Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 (LTMP 2040) yang dikeluarkan hari ini (25 Mei).

Laluan-laluan yang diusulkan itu bakal meliputi kawasan seperti Woodlands, Sembawang, Sengkang dan Serangoon North serta Whampoa, Kallang dan kawasan pesisir pantai di selatan atau Greater Southern Waterfront, tambah LTA.
Sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan itu, LTA akan menilai isu-isu seperti permintaan, lokasi stesen dan berapa lama untuk membangunkan laluan-laluan baru itu. Ia juga akan menimbangkan penggunaan tanah di sepanjang laluan itu buat jangka masa sekarang dan masa depan.
"Apabila selesai kelak secara bertahap-tahap, laluan berkenaan boleh memanfaatkan lebih 400,000 keluarga dengan para penumpang di kawasan utara Singapura dapat menjimatkan masa sehingga 40 minit untuk ke kawasan bandar," menurut LTA lagi.
Selain itu, laluan baru tersebut juga boleh mengurangkan permintaan yang kian meningkat di laluan timur laut dan mengukuhkan ketahanan rangkaian MRT.
Timbalan Ketua Eksekutif LTA Jeremy Yap berkata kajian kebolehlaksaaan itu akan bermula dalam masa terdekat ini dan mengambil sehingga dua tahun.
PENTINGNYA TEMPAT KERJA DI DAERAH PERUMAHAN
Salah satu sasaran LTMP 2040 adalah untuk memastikan para penumpang lebih cepat sampai ke bandar, dan tempat kerja iaitu hanya 45 minit untuk ke tempat kerja dan 20 minit untuk ke kemudahan-kemudahan di kawasan perumahan.

Encik Yap menjelaskan kunci utamanya adalah dengan menyediakan lebih banyak pusat pekerjaan daerah berbanding di kawasan pusat bandar.
Beliau memberi contoh Daerah Digital Punggol, Daerah Tasik Jurong, Daerah Inovasi Jurong dan Pusat Daerah Woodlands, yang "membawa tempat kerja lebih dekat dengan kediaman penduduk".
Menurut laporan LTMP 2040 itu lagi pusat-pusat sedemikian akan disokong inisiatif-inisiatif pengangkutan lain bagi "memastikan ketersambungan yang lebih baik dan akses lebih mudah bagi penduduk".
LAPORAN BERKATIAN: Rangkaian laluan berbasikal dilanjutkan kepada 1,000km jelang 2040
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.