LTA akan latih, tauliah teknisyen senggara kenderaan elektrik
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA)akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan untuk melatih dan mentauliah teknisyen automotif dalam bidang berkaitan keselamatan penyenggaraan dan pembaikan kenderaan elektrik (EV).
LTA mengumumkan hari ini (30 Mei) bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja Singapura bagi peralihan kepada kenderaan elektrik dan Pelan Hijau Singapura.
Singapura memeterai memorandum persefahaman (MOU) pada Isnin dengan 21 pertubuhan. Ia terdiri daripada rakan kongsi industri automotif, pemilik armada kenderaan, penyedia latihan dan agensi pemerintah lain.
LTA bersama dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut akan memberi peluang latihan kepada para teknisyen automotif, baik yang baru dan sedia ada.
LTA akan bekerjasama dengan SkillsFuture Singapore (SSG) dan penyedia latihan seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College West, Politeknik Singapura dan Politeknik Ngee Ann untuk membangunkan dan melaksanakan kursus latihan asas berdasarkan senarai kemahiran yang dikenal pasti.
Kursus latihan tersebut dijangka akan disediakan pada separuh kedua tahun ini. LTA juga akan bekerjasama dengan SSG untuk menyediakan subsidi asas yuran kursus sehingga 70 peratus.
PROGRAM BARU PENTAULIAHAN
Program baru pentauliahan peringkat kebangsaan akan diusulkan untuk mengiktiraf para teknisyen automotif yang sudah menamatkan kursus tersebut dan berjaya mencapai kecekapan yang diperlukan, menurut LTA.
Pentauliahan itu, yang diiktiraf oleh kesemua pihak dalam MOU akan membolehkan para teknisyen menjalani latihan khusus selanjutnya dalam penyenggaraan EV.
LTA menyatakan pihaknya juga akan bekerjasama dengan SSG dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk melatih semula kemahiran para teknisyen automotif baik yang baru dan sedia ada untuk memainkan peranan dalam bidang tersebut.
Ia akan dilaksanakan menerusi program-program seperti Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture SSG dan skim Program Penukaran Kerjaya (CCP) WSG. Di bawah CCP, syarikat atau peserta yang layak boleh menerima sokongan gaji sepanjang tempoh latihan.
LTA juga mendedahkan bahawa pihaknya mengambil langkah untuk melatih dan mentauliah para teknisyen dalam penyenggaraan bas bertenaga bersih dalam sektor pengangkutan awam.
Sijil yang dikeluarkan bersama oleh LTA dan Institusi Jurutera Singapura (IES) akan diberikan kepada peserta yang lulus penilaian kecekapan teknikal di bawah skim kebangsaan IES untuk para teknisyen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.