Skip to main content

Singapura

LTA Abdul Lateef Mohamed Nasim antara 9 dianugerah Biasiswa SAF yang berprestij

Biasiswa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dianugerahkan kepada 9 orang penerima tahun ini. Ia merupakan biasiswa kedua paling berprestij di Singapura, selepas Biasiswa Presiden.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Biasiswa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dianugerahkan kepada 9 orang penerima tahun ini. Ia merupakan biasiswa kedua paling berprestij di Singapura, selepas Biasiswa Presiden.

Anugerah SAF tahun ini disampaikan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dalam satu Upacara Anugerah Biasiswa Pertahanan yang diadakan di Istana hari ini (19 Jul).

Antara penerima biasiswa berprestij itu termasuklah LTA Abdul Lateef Mohamed Nasim, yang memilih untuk melanjutkan pendidikannya di Universiti Oxford.

Related article image
(Gambar: Abdul Lateef Mohamed Nasim)

(Gambar: Abdul Lateef Mohamed Nasim)

Bekas penuntut Institut Raffles (RI) itu merupakan satu-satunya penerima Muslim bagi biasiswa berprestij tersebut tahun ini. Antara tokoh-tokoh negara yang pernah menerima Biasiswa SAF termasuklah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional Teo Chee Hean.

Anak sulung daripada tiga beradik ini sebenarnya tidak pernah membayangkan akan menjadi seorang askar. Malah, beliau membuat keputusan untuk menjadi pegawai SAF sepenuh masa, hanya sebulan sebelum beliau tamat menjalani Perkhidmata Negara atau ORD.

“Motivasi saya adalah pengalaman saya semasa NS sepanjang dua tahun. Saya melihat semangat setiakawan dalam kalangan kawan-kawan, Komander saya, 'Encik' dan 'Sir' saya, dan kerana ini saya ingin bekerja dalam SAF.

“Rasa kekeluargaan itulah. Tidak kira betapa tugas itu amat memenatkan, kami masih boleh saling bergurau. Saya lihat satu nilai yang baik di situ. Itulah yang benar-benar membuat saya tertarik untuk terus berkhidmat,” kata LTA Abdul Lateef, 21 tahun.

MAHU ANGGOTA NSF LAIN RASAKAN PENGALAMAN BERMAKNA YANG SAMA

Lazimnya, bagi seseorang pemegang Biasiswa SAF, setelah pulang dari pengajian nanti, beliau dijangka diberi pendedahan kepada pelbagai jawatan dalam MINDEF, sebelum akhirnya memegang jawatan kanan dan kepimpinan dalam MINDEF dan SAF. Itulah juga laluannya untuk LTA Abdul Lateef.

Related article image

(Gambar: Abdul Lateef Mohamed Nasim)

Apabila ditanya bagaimana pula dengan sijil undang-undang yang bakal diraihnya nanti, LTA Abdul Lateef berkata beliau tidak akan menjadi peguam tetapi ilmu yang dipelajari tetap bermanfaat baginya.

“Semasa di maktab rendah, memang cita-cita saya hendak menjadi seorang peguam. Tapi, selepas itu saya memutuskan bahawa ia bukan untuk saya. Kerjaya dalam SAF ini sesuatu yang menarik, yang saya nampak nilainya.

“Dari segi apa yang saya pelajari di universiti, saya rasa ia masih menarik dan masih boleh dimanfaatkan dalam kerjaya saya pada masa akan datang,” ujar LTA Abdul Lateef.

Menyedari betapa tingginya harapan yang diletakkan ke atas para pemegang biasiswa SAF, beliau berazam untuk tidak mengecewakan masyarakat.

“Pengalaman menjalani NS menjadikan saya seorang yang lebih matang. Saya harap askar-aksar NSF yang di bawah tanggungjawab saya pada masa akan datang juga dapat meraih pengalaman berharga itu dan menjadi askar yang lebih baik, anak lelaki yang lebih baik, saudara lelaki yang lebih baik dan suami serta bapa yang lebih baik,” katanya.

PERTAMA KALI PELAJAR POLITEKNIK, SOTA TERPILIH TERIMA BIASISWA SAF 

Sejarah tercatat tahun ini apabila seorang pelajar dari politeknik dan seorang pelajar dari Sekolah Seni (SOTA) buat pertama kalinya menjadi antara penerima Biasiswa SAF.

MID Allison Tan Sue Min, bekas pelajar SOTA dan kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Laut Singapura, akan melanjutkan pengajian beliau ke luar negara pada tahun depan.

OCT Keefe Lau, lulusan Politeknik Republik juga akan memulakan pengajiannya pada tahun depan. Beliau kini seorang Pegawai Kadet dalam SAF.  Sementara itu, sejumlah 90 belia menerima biasiswa Kementerian Pertahanan (MINDEF) tahun ini - bilangan paling ramai setakat ini bagi satu-satu tahun.

Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp)

Dalam ucapannya, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, mendedahkan bahawa lebih separuh daripada penerima akan melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Buat pertama kalinya juga, kementerian itu memberikan biasiswa kepada penerima yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Information Systems Technology and Design.

Dr Ng menyifatkannya sebagai tepat pada masanya memandangkan ancaman siber yang kian meluas. Sebahagian penerima pula bakal meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang lain seperti ekonomi, psikologi, sains politik dan undang-undang.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita