Skip to main content

Singapura

LRT Bukit Panjang tidak beroperasi sepanjang hari pada 25 Jan; kerja naik taraf hampir siap

Anggaran Waktu Membaca:
LRT Bukit Panjang tidak beroperasi sepanjang hari pada 25 Jan; kerja naik taraf hampir siap
Menteri Pemangku Pengangkutan Jeffrey Siow bergambar bersama kakitangan SMRT di depot BPLRT. (Gambar: Facebook/Jeffrey Siow)
Diterbitkan : 30 Dec 2025 01:12PM
SINGAPURA: Sistem LRT Bukit Panjang (BPLRT) tidak akan beroperasi selama sehari pada bulan depan, dengan program naik taraf dan pembaharuan laluan itu hampir siap selepas tujuh tahun, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Isnin (29 Dis).

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan minggu lalu bahawa sistem BPLRT tidak akan beroperasi pada 25 Januari bagi kerja-kerja pembaharuan sistem, sedang operasi dipindahkan ke pusat kawalan operasi yang dibaik pulih.

Menerusi catatannya di laman Facebook pada Isnin (29 Jan), Encik Siow berkata penutupan operasi berjadual “kadangkala perlu” semasa menaik taraf sistem lama yang sudah digunakan setiap hari.

Sambil menyatakan bahawa keadaan ini sangat berbeza daripada membina laluan baharu dari mula, beliau menambah: “Pasukan-pasukan kami perlu bekerja dalam ruang yang sempit, susun atur tetap dan tempoh masa yang terhad, menjadikan kerja ini amat mencabar.

“Salah seorang jurutera LTA berkongsi dengan saya bahawa penutupan operasi selama sehari membolehkan kerja dilakukan, setara dengan sepuluh malam.

"Tempoh kerja berterusan ini juga menjadikannya lebih selamat untuk para pekerja melaksanakan tugas-tugas rumit ini.”

Encik Siow juga menarik perhatian bahawa sistem BPLRT kini berada dalam keadaan yang “jauh lebih baik” hasil usaha berterusan pekerja dan jurutera pengangkutan.

LTA menyatakan pada November lalu bahawa kira-kira 88 peratus kerja pembaharuan sistem BPLRT sudah disiapkan dan kerja-kerja tersebut dijadual selesai menjelang suku terakhir 2026.

Kerja-kerja pembaharuan BPLRT bermula pada 2018 bagi meningkatkan keandalan laluan itu, yang merupakan laluan LRT pertama di Singapura.

Kerja-kerja pembaharuan tersebut pada awalnya disasarkan siap pada 2024, namun pandemik COVID-19 kemudian melengahkan tarikh siap ke 2026.

Bahagian utama pembaharuan itu melibatkan penggantian dan peningkatan sistem rel kuasa yang digunakan sejak LRT mula beroperasi pada 1999, selain pembaharuan sistem isyarat LRT serta penyegaran gerabak-gerabak LRT.

Operasi BPLRT ditutup pada dua hari Ahad awal tahun ini bagi memudahkan ujian sistem isyarat baharunya.

“Apabila kami membuat keputusan untuk menaik taraf laluan ini pada 2018, banyak komponen teras sistem sudah menghampiri penghujung jangka hayat.

"Keandalan menjadi kebimbangan sebenar, dan kami tahu pembaharuan besar diperlukan,” kata Encik Siow.

“Kami telah melalui perjalanan yang panjang sejak 2018 ... saya tahu betapa banyak usaha yang telah dicurahkan oleh pasukan-pasukan kami di sebalik tabir sepanjang tujuh tahun lalu untuk sampai ke tahap ini.

"Penghujungnya sudah hampir – terima kasih kepada para penumpang atas kesabaran dan pemahaman anda sedang kami memasuki fasa akhir kerja-kerja ini.”

LTA minggu lalu menasihatkan penumpang yang terjejas oleh penutupan operasi BPLRT selama sehari supaya menggunakan perkhidmatan bas sedia ada.

Ia juga memaklumkan bahawa khidmat ulang-alik - LRT Shuttle B - akan beroperasi mengikut arah Perkhidmatan B BPLRT setiap lima hingga 15 minit.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita