Skip to main content

Singapura

LRT Bukit Panjang ditutup awal 2 hujung minggu Ogos bagi kerja naik taraf

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkhidmatan kereta api di LRT Bukit Panjang (BPLRT) akan berakhir lebih awal pada dua hujung minggu Ogos ini bagi kerja-kerja naik taraf.

Kemudahan itu juga akan ditutup sepenuhnya pada 1 Oktober, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (31 Jul).

Pada hujung minggu yang terjejas iaitu 12, 13, 19 dan 20 Ogos, perkhidmatan kereta api akan berakhir sejam lebih awal pada 10.30 malam.

Semasa tempoh tersebut, penumpang boleh mengambil bas sedia ada yang melalui kawasan Bukit Panjang dan Choa Chu Kang, untuk meneruskan perjalanan mereka. Ini termasuk Khidmat 67, 171, 920, 922, 960, 963, 972, 972M, 973, 974 dan 976.

Semasa penutupan penuh pada 1 Oktober, perkhidmatan bas ulang-alik tambahan akan disediakan di sepanjang laluan Perkhidmatan LRT B.

Penutupan itu bagi memudahkan kerja-kerja menaik taraf pusat kawalan operasi LRT Bukit Panjang, dengan kerja naik taraf "dijalankan secara bertahap-tahap untuk mengurangkan kesulitan terhadap penumpang", kata LTA.

Kerja naik taraf itu termasuk memindahkan sementara operasi pusat kawalan untuk membolehkan sistem yang ada sekarang dinaik taraf. Seluruh proses itu dijangka selesai dalam masa tiga tahun.

Pusat itu, yang telah beroperasi sejak 1999, mengawal dan memantau sistem isyarat, bekalan kuasa dan komunikasi.

Selain itu, kerja-kerja naik taraf sistem LRT Bukit Panjang termasuk penggunaan 19 kenderaan kereta api ringan baharu yang akan menggantikan kereta api sedia ada yang telah digunakan sejak 1999.

Kenderaan baharu itu akan dihantar dan diuji secara bertahap-tahap, kata LTA.

Sebanyak 13 kenderaan rel ringan yang diperkenalkan pada 2015 juga sedang dinaik taraf untuk menyokong sistem isyarat baharu, dengan dua telah selesai dinaik taraf dan digunakan semula pada 29 Jul.

Dua lagi akan dihantar untuk kerja naik taraf, dengan sistem isyarat untuk kesemua 13 kenderaan dijangka siap pada 2025, kata LTA.


LTA sebelum ini menyatakan kerja-kerja naik taraf bagi BPLRT mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2024.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita